[Berikut merupakan bab bonus daripada buku Yakinlah, Allah Ada.]
Perjanjian Hudaibiyah: ‘Kegagalan’ yang Mengubah Dunia

Tahukah anda tentang Perjanjian Hudaibiyah? Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah… yang ‘menggagalkan’ umat Islam?
Begini ceritanya.
Setelah kedudukan umat Islam semakin terjamin di Madinah, Rasulullah telah bermimpi satu mimpi indah. Dalam mimpi itu, Baginda melihat dirinya dan para sahabat memasuki Masjidil Haram, mengambil kunci Ka’bah, lalu menunaikan tawaf dan umrah. Ada di antara mereka yang mencukur rambut dan ada yang mengguntingnya. Rasulullah menceritakan mimpi ini kepada para sahabat, lalu merancang untuk ke Mekah menunaikan umrah. Para sahabat turut sama bergembira dan bersiap sedia untuk berangkat ke Mekah.
Namun dipendekkan cerita, mereka tidak dapat masuk ke Mekah walaupun sudah hampir sampai ke sana. Sebab para Musyrikin Mekah tidak percaya Rasulullah mahu ke Mekah hanya untuk beribadah secara aman. Mereka risau itu hanyalah helah baginda untuk memerangi mereka. Maka, perjanjian Hudaibiyah dimaterai sebagai satu jaminan daripada pihak baginda bahawa mereka tidak akan berperang.
Berikut merupakan antara isi-isi perjanjian tersebut:
- Rasulullah hendaklah pulang pada tahun itu dan tidak boleh masuk ke Mekah. Pada tahun hadapan, orang-orang Islam boleh masuk ke Mekah dan menetap di situ hanya selama tiga hari. Mereka hanya boleh membawa senjata orang berperjalanan sahaja iaitu pedang yang disarungkan, sementara pihak Quraish tidak boleh menghalang mereka dengan apa jua cara sekalipun.
- Hah? Dah masing-masing sudah dalam ihram daripada Madinah lagi, dengan hati yang berbunga-bunga datang ke Mekah. Mereka disuruh pulang begitu sahaja?
- Orang Quraish yang datang kepada Muhammad tanpa kebenaran walinya- iaitu melarikan diri kepada Muhammad- hendaklah dikembalikan kepada mereka. Orang yang bersama Muhammad jika datang kepada Quraish- iaitu melarikan diri daripada Muhammad- tidak akan dikembalikan.
- Jadi kalau ada orang Islam dalam tawanan orang musyrik, nak dibiarkan saja? Kenapa berat sebelah betul?
Kekeliruan, Kekecewaan, dan Soalan yang Menggoncang Hati

Pendek kata, ada pelbagai perkara dalam butir perjanjian itu yang tampak merendah-rendahkan umat Islam. Kenapa Rasulullah seakan-akan tunduk kepada mereka? Adakah Rasulullah takut? Kenapa baginda perlu takut sedangkan baginda berada di pihak yang benar?
Sayyidina Umar sendiri bertanyakan hal ini kepada baginda.
“Wahai Rasulullah, bukankah kita di atas agama yang benar dan mereka dalam kebatilan? Bukankah orang kita yang terbunuh berada dalam syurga dan orang mereka berada dalam neraka? Justeru mengapa kita serahkan kerendahan dalam agama kita dan kita berpatah balik, sedangkan Allah belum memutuskan keputusan antara kita dan mereka?”
Apa hikmahnya semua ini?
Hikmah di Sebalik “Kegagalan”

Berikut merupakan pengamatan peribadi saya.
Hakikatnya, nabi yang sepertinya mengadakan perjanjian yang gagal itu, ialah nabi yang sama dipilih di Gua Hirak dulu. Itulah Nabi yang telah berusaha 10 tahun berdakwah di Mekah, dan pengakhirannya hanya disakiti. Baginda diboikot, dicederakan, dipulau dan disisihkan. Tambahan pula, bagindalah yang lebih tahu para Musyrikin Mekah itu macam mana perangainya. Bukan setakat kerana Nabi itu orang Mekah sendiri. Bahkan mereka jugalah sanak saudara dan jiran tetangga Nabi suatu ketika dulu.
Apabila baginda mendapat tempat sebagai ketua di Madinah, adalah lebih baik untuk baginda berdepan dengan para Musyrikin Mekah sekali lagi dengan identiti ketua Madinah, bukannya identiti ‘pesuruh tuhan’ yang memang mereka akan tolak.
Hal ini dapat dilihat ketika proses penulisan perjanjian Hudaibiyah ini:
Baginda memanggil Ali untuk menulis perjanjian itu. Ali pun menulis di bahagian atas perjanjian dengan kalimat “Bismillahirrahmanirrahim”. Lantas Suhayl berkata: “Demi Allah, kami tidak faham apa yang dimaksudkan dengan “al-Rahman”? Tuliskan sahaja: “Bismikallahumma”. Nabi pun menyuruh Ali menulis seperti yang dipinta.
Kemudian Ali menulis: “Inilah perjanjian yang dibuat oleh Muhammad Rasulullah”, lantas Suhayl berkata: “Kalau kami yakin bahawa kamu adalah Rasulullah, tentulah kami tidak menghalang kamu datang ke Baitullah dan kami tidak memerangi kamu. Tulislah Muhammad bin Abdullah.” Nabi berkata: “Bagaimanapun kamu mendustai, namun aku tetap Rasulullah.” Kemudian baginda menyuruh Ali menulis Muhammad bin Abdullah dan memadam perkataan Rasulullah. Tetapi Ali enggan memadam perkataan itu, lantas Nabi Muhammad SAW sendiri yang memadam dengan tangannya. Setelah itu, ditulislah butir-butirnya sehingga selesai penulisan perjanjian itu.
Baginda menegaskan bahawa memang baginda ialah rasul, kerana hal tersebut memang benar. Namun pada masa yang sama, baginda turutkan saja permintaan Suhayl wakil Musyrikin Mekah itu. Sebab apalah sangat isu memadam gelaran berbanding membina perjanjian yang dapat disepakati oleh kedua-dua pihak.
Berikut merupakan hikmah-hikmah perjanjian ini yang sebenarnya. Pertama, ini kali pertama pihak Musyrikin Mekah sudi membuat perjanjian dengan orang-orang Islam secara bertamadun, terutamanya para Muhajirin. Ingat, para Muhajirin kebanyakan terdiri daripada hamba-hamba dan orang miskin para Musyrikin Mekah dulu. Para Musyrikin ini sudah terlebih biasa menyiksa, memperlekeh, menghina, bahkan membunuh mereka. Jadi ini sebenarnya ialah satu kemenangan apabila mereka akhirnya sudi mengiktiraf kedudukan para Muhajirin sebagai setara dengan mereka, dengan kesudian mereka membuat perjanjian bersama-sama.
Kita pada masa hadapan ini dapat tahu bahawa akhirnya para Musyrikin Mekah sendiri yang akhirnya melanggar perjanjian ini, bukannya orang Islam. Hal ini membawa kepada pembukaan secara aman, dan tertunai mimpi Rasulullah yang benar itu. Saya kita, barangkali jika perjanjian Hudaibiyah tidak terjadi, barangkali kita masih takkan dapat menunaikan haji dan umrah dengan aman seperti sekarang. Mekah mungkin akan masih berada di kawalan mereka yang bukan Islam, dan kita takkan sebebas sekarang dalam menunaikan ibadah di Tanah haram. Contohnya seperti Masjid Al-Aqsa sekarang yang dikawal oleh Israel.
Hikmah yang kedua adalah, tersebarnya Islam di Mekah tatkala Madinah sedang membangun kuat. Ingat balik isi perjanjiannya: Orang yang bersama Muhammad jika datang kepada Quraish–iaitu melarikan diri daripada Muhammad–tidak akan dikembalikan. Apa yang saya belajar adalah, dengan tidak dapatnya orang Islam kembali ke Madinah, mereka senyap-senyap mengamalkan Islam dan mengajarkannya di Mekah. Hal ini membawa kepada lebih ramai orang Mekah memeluk Islam secara senyap-senyap juga. Semua ini berlaku tanpa pengetahuan pembesar Mekah, malah Rasulullah sendiri.
Dan akhirnya pada pembukaan Mekah hanya setahun kemudian, larangan ini berakhir dan orang-orang Islam bebas kembali ke Madinah sekiranya mereka mahu. Jika tidak pun, Mekah kini sudah menjadi kawasan Islam. Win-win!
Inilah antara hikmah-hikmah besar daripada sebuah perjanjian yang tampak menggagalkan. Namun, semua ni orang lain tak nampak, sehinggalah setahun kemudian.
Rasulullah dan Kepimpinan dalam Saat Disalah Faham

Pada saat Rasulullah membuat perjanjian itu, semua orang marah dengan baginda. Sayyidina Umar sendiri. Dan Sayyidina Abu Bakar juga, yang jarang marah tu. Sehingga apabila baginda minta para rombongan bertahallul (tanda bahawa mereka memang takkan dapat ke Mekah pada waktu itu), tak ada seorang pun yang ikut.
Ya, para sahabat yang sama-sama berjuang dalam Perang Badar, Uhud dan Khandak itu. Para sahabat yang tidak asing lagi ikrar mereka untuk taat kepada Rasulullah, walaupun nyawa mereka sendiri perlu menjadi taruhan.
Saya tidak memandang hal ini sebagai sebuah keaiban. Bahkan, hal ini hanya menunjukkan betapa manusiawinya para sahabat itu sendiri. Kesemua hal yang berlaku ini terlalu mengejutkan. Mereka kewalahan dengan emosi, lalu mereka tak dapat berfikir dan membuat apa-apa.
Saya percaya Rasulullah juga faham perkara ini. Namun, ketua mana yang tak sedih apabila melihat anak-anak buat yang selama ini taat, kini langsung tidak bergerak? Apabila seruannya untuk bertahallul sebanyak tiga kali tidak disahut, baginda masuk ke dalam khemahnya. Lalu baginda meluah rasa kecewanya kepada isterinya yang sedang menemaninya ketika itu, Ummu Salamah.
Ini sebenarnya adalah antara satu kesakitan menjadi ketua. Apabila anda kena buat keputusan yang anak-anak buah anda takkan faham, tapi sebenarnya hal itulah yang terbaik pada ketika itu. Terutamanya untuk Rasulullah ketika itu, saya bayangkan hal ini mesti sangat sakit buat baginda. Semasa di Mekah dulu pun, baginda bukanlah antara orang yang berpengaruh tinggi untuk diikuti. Jadi baginda pasti amat bersyukur dengan mereka yang awal-awal mengikuti baginda, walaupun sedikit bilangannya. Namun kali ini baginda sudah punya autoriti dan autonomi yang selayaknya. Dan kali ini… mereka tak mahu ikut kata-katanya?
Saya nak tanya anda sekali lagi. Adakah dalam kes ini, Rasulullah ialah seorang yang gagal?
Terkadang kita lebih takut ‘tampak gagal’ daripada gagal yang sebenar-benarnya.
Takut Gagal vs. Takut Nampak Gagal
Rasulullah di posisi ini juga kecewa dan sakit apabila mengalami hal ini. Tetapi dalam kesakitannya, baginda tetap tidak berganjak daripada keputusannya. Bukan kerana ego, tetapi kerana itulah keputusan yang terbaik. Walaupun orang lain tak faham. Bahkan walaupun sahabat baginda sendiri yang paling rapat pun tak faham.
Baginda perlu melalui kesakitan tampak seperti seorang yang gagal, walaupun hakikatnya baginda membuat satu keputusan yang akhirnya mencapai kemenangan.
Akhirnya, baginda dipujuk oleh Allah sendiri. Turun surah Al-Fath.
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).
Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya). (Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Allah melakukan yang demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan – ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan adalah yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka). – Al-Fath 1-5
Ayat ini menegaskan bahawa Allah sendiri memandang perjanjian tersebut sebagai kemenangan, bukan sebagai kegagalan.
Yang indahnya, Allah juga menganugerahkan kemenangan kepada para Muslimin bersama-sama. Ya, mereka yang sama yang tidak mengikut arahan Rasulullah sebentar tadi.
Saya sangat tersentuh mengenangkan validasi Allah terhadap perasaan semua orang di sini. Adalah normal untuk kita rasa sedih, kecewa, bahkan mungkin dikhianati, apabila ketua kita membuat keputusan yang seakan-akan memudaratkan kita. Tak hairan kalau kita sudah tidak mahu taat. Sebagai seorang ketua pula, hendak membuat keputusan itu sendiri bukan mudah. Terkadang, realiti semasa tidak memberi ruang untuk keadaan dijelaskan. Para pengikut akan kekal terperangkap dengan persepsi bahawa kita ketua yang telah berpaling padah. Sangat sakit perasaan ini.
Namun dalam gelojak emosi, masing-masing tidak melampaui batas. Tiada kata-kata pertuduhan atau nista diungkapkan. Masing-masing masih menyimpan kepercayaan, pertama-tamanya kepada Allah. Allah yang memberi izin kesemuanya untuk berlaku, pasti ada hikmahnya. Para Muhajirin mungkin ragu-ragu hendak bertahallul, tetapi sedikitpun mereka tidak meragui Rasulullah sebagai seorang rasul. Mereka berusaha sedaya upaya menahan sabar atas sesuatu yang mereka tidak sepenuhnya fahami.
Dan Rasulullah sendiri tidak menuduh mereka kurang iman kerana tidak mengikuti kata-katanya. Segala kekecewaannya juga tidak dihambur begitu saja. Baginda menguruskannya dengan tidak menyalurkan kemarahan kepada mereka, tetapi dengan mendapatkan sokongan emosi daripada isterinya. Pendek kata, baginda juga berusaha untuk bersabar dengan emosinya.
Maka atas usaha dan kesabaran mereka itu, Allah mengampunkan dosa-dosa silam mereka. Kesemuanya.
Bukankah itu kejayaan yang paling nyata? Apabila Allah sendiri memberitahu Dia telah mengampunkan kita.
Kesimpulan: Jangan Takut Gagal, Apatah Lagi Takut Nampak Gagal
Ini juga satu pengajaran besar kepada umat Islam secara keseluruhannya. Apabila hidup berjemaah, akan ada sesetengah perkara yang kita tak faham kenapa ketua kita buat. Benar, tiada sesiapa yang sesempurna Rasulullah. Tetapi selagi hal tersebut tidak menyalahi syarak secara nyata, Allah akan memberikan ganjaran kepada kita sekiranya kita bersabar dan tidak melulu menentang begitu saja. Ruang untuk bersoal jawab dan berdiskusi boleh dibuka pada masa hadapan, tetapi pada saat itu kita perlu mengawal gelojak emosi kita.
Pengajaran yang paling besar di sini ialah, jangan sandarkan kegagalan pada persepsi manusia, termasuk persepsi kita sendiri. Apa-apa saja keputusan yang kita buat, perlu didasarkan ilmu dan keikhlasan. Dan kita takkan sempurna pun dalam melakukan keputusan tersebut. Namun selagi kita berusaha dengan baik, Allah akan mengganjari kita lalu akan memberi hidayah tentang jalan apa yang paling benar sebenarnya.
That is what matters.
Dapatkan “Yakinlah, Allah Ada” di sini!

Bab ini asalnya tidak termasuk dalam naskhah asal “Yakinlah, Allah Ada,” tetapi ianya terlalu berharga untuk disimpan begitu saja. Maka saya kongsikan di sini buat tatapan semua.
Jika anda berminat dengan penulisan ini, maka anda wajar mendapatkan buku saya juga.
Kerana buku ini ditulis untuk mereka yang sedang takut gagal, rasa tidak cukup, atau disalahfahami dalam perjalanan hidup.
Jika anda sedang mencari ketenangan dalam setiap “kegagalan” hidup, buku ini akan menemani anda dengan penuh empati.
✨ Kerana kadang, apa yang kita sangkakan adalah kegagalan… sebenarnya merupakan sebuah jalan menuju kemenangan.
Dapatkan buku “Yakinlah, Allah Ada” di sini!
[Rujukan cerita: “Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – BAYAN LINNAS SIRI KE-157 : SULH AL-HUDAIBIYAH : FIQH, PENGAJARAN DAN IKTIBAR.” Muftiwp.gov.my, muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2898-bayan-linnas-siri-ke-157-sulh-al-hudaibiyah-fiqh-pengajaran-dan-iktibar. ]
