“Budak zaman sekarang ni lembab betul! Tarikh dalam buku latihan pun ditanya nak tulis dekat mana. Semua benda kena spoonfed. Common sense takde.”
Asalnya, saya tak nak percaya benda ni. Maklumlah, tiap-tiap generasi akan ada je benda yang orang-orang tua pada zamannya tak puas hati. Jadi pada hemat saya asalnya, ini mungkin antara kes-kes terpencil yang dibesar-besarkan untuk memenuhi ego orang-orang tua.
Tetapi semakin lama, semakin banyak saya mendengar kes-kes yang serupa dengan pelajar tak tahu nak tulis tarikh dekat mana dalam buku latihan. Jadi saya pun semakin faham yang ini bukan kes minoriti. Ini bukan kes nila setitik rosak susu sebelanga.
Tetapi saya tetap tidak mahu menyalahkan sesiapa. Terutamanya kanak-kanak, dan generasi muda. If anything, segala masalah yang mereka hadapi merupakan cerminan kepada kita yang dewasa; tentang bagaimana kita membina struktur hidup mereka.
Jadi saya pun mula memerah kepala untuk menjawab satu persoalan; kenapa hal ini terjadi?
Perah punya perah otak ni, saya dapat fikirkan sekurang-kurangnya satu faktor yang menyumbang kepada hal ini.
Trust Issues dengan Semua Orang

Sebenarnya… Gen Alpha susah nak percaya dengan semua orang dan semua benda.
Dengan ibu bapa mereka. Dengan cikgu-cikgu mereka. Dengan orang-orang dewasa di sekeliling mereka. Dengan Internet dan media sosial. Dengan kawan-kawan mereka sendiri. Dengan masyarakat mereka yang asyik melabel dan semakin menjadi individualistik. Dengan kerajaan. Dengan satu dunia.
Dan akhirnya… dengan diri mereka sendiri.
Can we blame them? Look at the world right now. Look at us.
Mereka membesar dengan media sosial sejak kecil; di mana mereka diperingatkan berkali-kali supaya tidak percaya dengan semua yang mereka nampak. ‘Kawan’ media sosial mereka boleh jadi orang-orang dewasa yang berniat jahat. Scammer berleluasa.
Mereka juga sudah terlalu masak mendengar cerita kawan-kawan mereka dirogol ahli keluarga mereka sendiri seperti abang, ayah, pakcik, atau sepupu.
Semasa pandemik, segala sistem yang mereka bergantungkan selama ini runtuh. Orang-orang dewasa bergaduh sesama sendiri. Berita palsu dan sentimen melampau tersebar luas dek emosi yang orang dewasa sendiri tak boleh kawal, apatah lagi mereka. Nyawa mereka yang tidak bersalah menjadi taruhan.
Macam mana mereka nak tahu apa yang betul dan apa yang salah? Orang dewasa saling menuding jari sesama mereka. Google—tidak seperti 10 tahun lalu yang mengoptimakan kebenaran dan kerelevanan—kini hanya mengutamakan iklan-iklan. Nak guna AI? Kita jugak yang asyik melalak dekat mereka, kata AI banyak salah.
Apabila mereka tidak dapat percayakan sesiapa atau apa-apa pun, mereka tidak akan dapat percayakan diri sendiri. Dalam teori perkembangan psikososial Erikson, fasa memupuk kepercayaan terhadap ibu bapa atau penjaganya ialah fasa pertama yang akan dilalui oleh seseorang manusia.
Jika kepercayaan tidak dapat dipupuk seperti yang sepatutnya dalam fasa ini, hal ini akan memberi kesan kepada autonomi dan keyakinan mereka. Hasilnya, mereka akan sentiasa meragui diri mereka sendiri dan memiliki kemahiran hidup yang rendah. Termasuk antara kemahiran tersebut ialah, kemahiran mempercayai diri mereka sendiri.
Sebab itu mereka tanya dekat mana nak tulis tarikh dekat buku latihan tu. Bukan mereka tak nampak perkataan ‘Date’ dan garisan di sebelahnya dalam buku tu. Bukan mereka tak tahu makna perkataan ‘Date’ itu ialah tarikh (dan semestinya merujuk kepada ‘tarikh’ dan bukannya ‘kurma’). Bukannya mereka tidak boleh fikirkan apa yang perlu dilakukan.
“Aku rasa kena tulis tarikh dekat sini. Tapi baik tanya cikgu betul-betul untuk pastikan.”
Apa pula respons cikgunya apabila ditanya begitu? Dituduh mereka lembab pula. Makin mereka rasa rendah diri dengan diri sendiri.
Dunia Akhir Zaman Memerlukan Kita untuk Sentiasa Betul

Makin banyak benda yang salah, makin kecil ruang untuk kita bereksperimen. Kita perlu sentiasa ikut apa yang betul, supaya kita tidak jatuh ke dalam lautan perkara-perkara salah pada zaman ini.
Dan terutamanya untuk Gen Alpha, mereka dibesarkan dalam alam media sosial yang merupakan antara alat utama dalam surveillance culture yang akan mendatang. Era takut cringe dalam alam media sosial yang semulajadinya bersifat performative, membuatkan anak-anak muda kita semakin takut dan tidak mampu untuk bereksperimen.
Mereka takut salah, dalam dunia yang mereka tidak mampu untuk buat salah.
Kita yang dewasa kadang-kadang terlupa macam mana common sense itu terbentuk. Ianya terbentuk melalui trial & error. Masa kecil, kita dulu pun bodoh. Tak tahu apa-apa. Macam mana kita belajar? Daripada orang-orang dewasa yang tidak dipercayai. Kemudian, daripada salah dan silap mereka sendiri.
Lepas tu kita marah, “Diorang ni, zaman sekarang Internet ada, tapi tak nak cari!”
Kita terlupa yang kita ada kemahiran mencari di Internet itu, hasil daripada kita membesar bersama-sama Internet sendiri. Internet terbentuk berdasarkan feedback kita, lalu kita membentuk common sense dalam dunia maya, jadi kita tahu bagaimana untuk meredah alam ini.
Tetapi anak-anak Gen Alpha ni, lahir-lahir terus dicampak masuk alam ini. Pada masa yang sama, mereka diberitahu pula bahawa 99% alam ini tidak betul pun. Macam mana mereka nak tahu apa yang betul dan apa yang salah?
Jadi mereka tak mampu untuk percaya apa-apa atau sesiapa, termasuk diri mereka sendiri.
Lalu, bagaimana kita nak mengatasi hal ini?
Macam Mana Nak Bina Common Sense dalam Gen Alpha
1. Sabar.
Mula-mula saya rasa macam cikgu-cikgu kena buat something extra. Ibu bapa kena buat benda baru. Kerajaan kena rombak silibus pendidikan.
Tetapi apabila saya cuba patah balik ke isu utama, mungkin sebenarnya apa yang terbaik untuk kita sebagai orang dewasa boleh buat, adalah bersabar dengan mereka.
Kita kena redha dengan hakikat bahawa mungkin kekurangan common sense ini akan menjadi antara satu kelemahan besar generasi ni. Yalah, generasi mana yang sempurna pun? Jadi, mungkin kita akan perlu sabar tang sini.
Saya dah redah era generasi saya dituduh koyak sebab tiba-tiba ramai anxiety dan depression. I’d argue that it’s always there in the first place, we are just the ones brave enough to address it. Tapi kalau tak pun, era sekarang ni pun sudah familiar dengan hakikat bahawa memang generasi saya ada ramai orang depression & anxiety. Akan ramai yang ke terapi. Akan ramai yang ambil cuti mental health day. That’s just a part of who we are, you know?
Saya bersyukur hal ini semakin diterima untuk generasi saya. Kenapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama untuk Gen Alpha?
Bukanlah saya nak kata sabar *sahaja.* Nombor 2 & 3 nanti saya terang lagi.
Cuma langkah pertama yang saya percaya kita perlu buat ialah sabar, dan shift our mentality.
Mungkin ibu bapa dan guru-guru sekarang boleh ada sudut pandang yang baru sekarang apabila budak-budak bertanya nak tulis tarikh dekat mana. Bukannya mereka tak ada common sense. But they are just being cautious over and over. Dan mereka tak boleh hilangkan rasa berhati-hati tu, jadi mereka akan tanya banyak benda yang kita rasa basic. Jadi kita kena sabar dengan hal ini.
2. Berikan peluang kepada mereka berkreativiti, kemudian tunjukkan mereka cara untuk salurkannya dengan sesuai.
Gen Alpha sebenarnya ada sangat banyak kelebihan dan potensi, seperti mana generasi-generasi sebelumnya. Disebabkan mereka hidup dalam alam maya yang sangat fluid seperti ikan yang hidup di lautan, kreativiti mereka sangat di luar kotak. They can do anything, really.
Sebab itu, tugas kita sebagai orang dewasa adalah untuk membimbing mereka untuk menyalurkan kreativiti mereka dengan cara yang sesuai. Dan dalam proses ini, adalah normal untuk mereka buat perkara yang tidak sesuai dulu. Apabila kita tunjuk, barulah mereka buat apa yang sesuai. Itulah belajar namanya.
Saya nak cakap ‘normal untuk buat silap’ sebenarnya. But in the grand scheme of things, mereka tak adalah buat silap pun sebenarnya. Mereka cuma meletakkan kreativiti mereka di tempat yang mungkin kurang sesuai.
Contoh, anda sebagai seorang guru mungkin akan berikan tugasan menulis karangan. Mungkin karangan mereka akan guna bahasa bercampur baur, akan guna slang TikTok, dan format pun entah ke mana. Jangan pandang hal ini sebagai ‘salah,’ tetapi sebagai ‘kreativiti yang kurang sesuai tempatnya.’
Berikan maklum balas mereka seperti ini, “Biasanya orang buat macam ni kalau dalam karangan, XYZ. Bahasanya lebih formal. Biasanya kita buat karangan ni untuk peperiksaan, jadi pemeriksa nak tengok ABC.”
Sebab cuba tengok penulisan ini sendiri. Saya campur saja ayat Melayu dan Inggeris. Ada penggunaan bahasa saya tak tepat. Kenapa? Sebab dalam penulisan ini, saya nak pastikan mesej itu sampai. Ketepatan daripada sudut bahasa itu nombor dua. Tetapi kalau saya diminta untuk menulis semula penulisan ini mengikut standard karangan SPM, saya pastilah akan ubah.
Inilah maksud saya “jangan pandang kesilapan sebagai ‘salah,’ tetapi sebagai kreativiti yang kurang sesuai tempatnya.”
Disclaimer: saya bukan cikgu. Contoh karangan ni ialah contoh yang saya terfikirkan. Saya tak minta ikut metod ni bulat-bulat sebab saya pun tak tahu keberkesanannya bagaimana.
What I aim is, I hope you can see the point here: the principle of letting them ‘be wrong.’ And then guide them to the most well-suited way.
3. Jadikan Allah sebagai safe space.
Normal untuk kita orang dewasa buat silap, apatah lagi kanak-kanak. Despite all that, normal juga kita orang dewasa kadang-kadang hilang sabar apabila kanak-kanak buat silap. Dan, betul juga kalau kita memang marah kanak-kanak itu ekstra sebab kesalahan mereka memang besar dan mereka perlu faham besarnya kesalahan tersebut.
Mereka memang perlu ditegur dan dimarahi apabila perlu waktunya. Dan mereka sendiri perlu membina daya tahan apabila ditegur (sama ada dengan baik ataupun dengan lebih tegas) supaya mereka tidak mudah ‘koyak.’
Maka dalam situasi ini, amatlah indah dan sempurna untuk kita memperkenalkan Allah kepada mereka sebagai tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Yang memahami mereka luar dan dalam. Yang lebih sabar dan lebih tepat penghakimanNya berbanding kita walaupun sebagai orang dewasa.
Ajar mereka untuk menjadikan Allah sebagai tempat sandaran mereka, apabila mereka rasa dikecewakan oleh orang-orang dewasa di sekeliling mereka (ya, temasuk anda), dikecewakan situasi yang menjerut hati, dan sebagainya.
Tak kisahlah apa yang ditegur tu betul atau salah, sama ada ditegur secara lembut atau tegas, rasa kekecewaan itu akan mula-mula naik. So they need to be able to go someplace to vent that frustration and regulate their emotions.
Let that place be Allah.
Dengan rendah diri, beritahu mereka yang kita orang dewasa sendiri memang takkan 100% betul. Tetapi Dialah yang akan 100% betul dan akan tunjukkan jalan yang betul kepada mereka. Kita yang dewasa pun kadang-kadang tak cukup sabar dengan kerenah mereka. Tetapi Dia Maha Sabar. Kita yang dewasa pun takkan sepenuhnya dapat faham mereka. Tapi Dia faham.
Ini sangat penting untuk kestabilan emosi mereka, dan apabila mereka hidup dalam era yang mereka rasa mereka tak boleh percayakan sesiapa. Sesungguhnya, Allah Maha Pemberi Hidayah yang akan menunjukkan apa yang benar kepada sesiapa yang dikehendakinya.
Apabila anak-anak kita faham benda ni, mereka akan boleh melakukan regulasi emosi dengan selamat, dan mereka boleh proses teguran kita. Kalau apa yang kita tegur tu betul, mereka akan ambil. Kalau cara yang kita tegur tu pula terlebih kasar disebabkan kekurangan kita, they will be able to see past that. Mereka akan buang yang keruh dan ambil yang jernih.
Kesimpulan
Semua orang baru hidup pertama kali di dunia. Sebagaimana anda yang pertama kali mengalami usia 50, 40, 30, dan 20 tahun, mereka juga baru pertama kali mengalami usia 1 bulan, 1 tahun, dan 10 tahun.
Sebagai seseorang yang lebih dewasa, bukankah lebih patut untuk kita melihat secara holistik isu mereka lalu bantu mereka dengan berkesan, daripada menempek label ‘malas’ atau ‘lembab’ lalu berlalu pergi dan fikir kita sebagai orang dewasa sudah menjalankan tugas kita dengan ‘menegur’ mereka?
Maybe that’s just me, I don’t know. Saya pun banyak salah silapnya, apa yang saya tulis takkan 100% betul. Buanglah yang keruh, ambillah yang jernih. Akhirnya, kita semua memainkan peranan untuk mencorakkan hidup anak-anak kita. Berusahalah kita sebaik mungkin dan sebetul mungkin, dan serahkan selebihnya kepada Allah SWT.

