April 2021
Seluruh Malaysia gempar apabila Ain Husniza tular mendedahkan lawak lucah yang disampaikan oleh gurunya di TikTok. Tanda pagar #MakeSchoolASafePlace turut tular. Isu tersebut diperkatakan dengan hebat.
Pelajar-pelajar Sekolah Sri Merak tidak terkecuali. Sebelum kelas bermula, semasa waktu rehat, selepas habis tempoh persekolahan, semasa membasuh baju, semasa makan di dewan makan, semasa beriadah petang, bahkan semasa mandi, masing-masing sibuk memperkatakan isu hangat tersebut.
Yang lebih menambah panas, guru-guru di sekolah tersebut seperti tidak mahu berbicara mengenai isu itu. Malah, ada pelajar yang cuba bertanya dengan baik, dan cuba membincangkan isu tersebut di kelas, namun dimarahi dan disuruh untuk tidak mengungkit isu tersebut lagi.
Hasilnya, para pelajar menjeruk rasa, dan sekolah tersebut terbahagi kepada dua; mereka yang menyokong, dan mereka yang mengecam. Tak hairan apabila golongan pertama dimonopoli para pelajar, dan golongan kedua dimonopoli para guru.
Selepas waktu persekolahan tamat pada hari itu, Laila dalam perjalanannya pulang ke asrama, terlihat Farah berkumpul bersama-sama beberapa ahli skuad kawad kaki yang lain di kantin. Farah yang juga terlihat Laila, memanggil dan menggamitnya ke mari.
“Ada apa?” tanya Laila sebaik saja melabuhkan punggungnya.
“Kau dah ada dengar ke?”
“Dengar pasal apa?” berkerut dahi Laila.
Farah memandang rakan-rakannya yang lain. Kemudian memandang sekeliling. Waktu tersebut memang para pelajar berpusu-pusu pulang ke asrama, jadi tiada pelajar lain di kantin. Namun mereka masih akan melewati kantin sekolah dalam perjalanan mereka ke asrama, jadi Farah memastikan suaranya kekal rendah.
“Dah ada budak-budak perempuan nak lawan Cikgu Fahmi.”
Not this again.
Ke mana-mana sahaja Laila pergi, dia akan mendengar isu tersebut. Dia jadi pening kepala. Bukannya dia tak suka dengan peningkatan kesedaran tersebut. Yang dia tidak suka adalah, isu tersebut telah membahagikan warga sekolah, sekaligus menjadikan suasana dan hubungan sesama guru dan pelajar tegang. Maka, dia lebih cenderung secara peribadi untuk tidak bercakap mengenainya.
Malah, dia sudah berusaha secara aktif untuk menghindari perbualan berkisarkan isu ini. Kalau ada orang berborak di sebelahnya mengenai isu ini pun, dia segera akan berlalu pergi. Nampaknya strateginya berkesan, sehinggakan dia langsung tidak tahu-menahu mengenai gerakan pemberontakan pelajar-pelajar perempuan di sekolahnya sendiri.
“Okay, and…?” Laila sendiri kalau ikutkan tidak mahu tahu, namun dia sedar dia ketinggalan satu berita yang boleh tahan besar.
“Dah ada orang datang dekat aku mintak tolong semua ahli skuad kawad turun padang sekali. Sebab Cikgu Fahmi pun cikgu penasihat kita kan?”
“Hmm…” Laila sekadar mengangguk. Dia menyandarkan tubuh pada kerusi yang didudukinya.
“Masalah kita sekarang ni, macam mana kita nak pastikan Mai join sekali?”
Maisarah merupakan satu-satunya pelajar perempuan di sekolah tersebut yang dilayan dengan baik oleh Cikgu Fahmi. Faktornya masih tidak diketahui.
Ada yang mengatakan Cikgu Fahmi berperasaan romantis terhadap pelajarnya sendiri, walaupun telah berkahwin. Dan inilah teori yang kebanyakan pelajar percaya, melihatkan perangai beliau sendiri. Namun, ada juga yang menuduh Maisarah pula telah melakukan perkara yang bukan-bukan, untuk melindungi dirinya daripada menjadi sasaran Cikgu Fahmi seperti pelajar-pelajar perempuan yang lain. Nauzubillah.
Dan meskipun Mai dikenali sebagai seorang pemimpin yang karismatik di sekolah tersebut, dia sendiri tidak pernah bersuara, untuk mengakui ataupun membela diri, mengenai hal ini. Dia lebih banyak berdiam diri.
Maka, kemungkinan untuk Mai tidak menyerai gerakan mereka, merupakan satu kekhuatiran yang ketara.
“Kau tanya aku, macam aku yang ada jawapannya?” kening Laila terangkat apabila dia menyoal kembali Farah.
“Yelah, jomlah perah otak sekali– “
“Farah!”
Suara Devi berbisik namun keras, mematikan bicara Farah.
Devi memuncungkan mulutnya ke sebelah kanannya. Kepala Farah dan Laila mengikut arah tersebut.
Kelihatan Maisarah berjalan bersama-sama Husna, melalui laluan di sebelah kantin itu untuk pulang ke asrama, seperti para pelajar yang lain.
“Mai!”
Farah memberanikan diri memanggil Maisarah.
Maisarah yang leka berbual dengan Husna memalingkan muka. Melihatkan ahli-ahli skuadnya di situ, dia melangkah menuju ke arah mereka.
Husna yang berada beberapa langkah di belakang Maisarah, menjegilkan mata memandang mereka. Jelas sekali Husna dapat mengagak mengapa Maisarah digamit, dan dia tidak sukakannya.
Namun jelas juga, ahli-ahli skuad yang lain tidak memberi reaksi. Suka atau tidak, hal tersebut perlu dibincangkan jua.
“Ha, ada apa?” Maisarah meletakkan kedua-dua tapak tangannya ke atas meja, dan menggunakan lengannya untuk menampung beratnya.
Laila bersandar ke belakang dan menyilangkan tangannya. Dia tidak suka keadaan ini, dan dia takkan dapat mengagak apa yang akan terjadi terhadap hubungan mereka selepas ini. Namun, dia tidak menghalang juga mereka.
Apa yang nak jadi, jadilah.
“Aku rasa, kau tahu jugak kan ada apa.”
Maisarah membuangkan pandangannya ke tempat lain. Namun dia kekal berdiam diri.
“Kau tahu kan, sebab kes viral tu, ada budak-budak perempuan, kawan-kawan kita jugak, nak ambil tindakan terhadap Cikgu Fahmi. Diorang tengah cari sokongan sekarang ni. Terutamanya daripada skuad kita, skuad kawad,” kesenyapan tersebut membuatkan Devi pula bersuara. Menerangkan dengan lebih jelas supaya semuanya tidak samar-samar semata-mata, mahupun berat diungkapkan.
“Hmm… so?”
“So… kau nak join tak?”
Farah memandang Devi dengan bengang. Ayat tersebut lebih bersifat ajakan, berbanding satu tuntutan. Dan dia tidak setuju.
Maisarah menyilangkan tangannya. Sepertinya dia sudah agak perbualan ini akan muncul.
“What do you mean ‘skuad kita’? Siapa nak join, join la. Tak nak sudah.”
“Jadi kau tak nak join?”
Maisarah menghela nafas, sebelum bersuara kembali, “Aku tahu, ramai je nak join. Tapi ada orang juga yang tak nak join, atas sebab tertentu juga. Kita tak boleh paksa satu skuad kita join kalau ada yang tak rela. My point is, don’t join as a squad. Tu je.”
“Maksud ‘orang yang tak nak join’, kaulah tu?” tanya Farah kembali. Dia bangun daripada duduknya.
“Aku dah cakap tadi kan, ada orang juga tak nak join. Bukannya aku seorang je yang ada sebab kalau aku tak nak join pun. Kau nak heret semua ahli skuad, macam kau yang yakin kita semua nak.”
“Satu sekolah tahu perangai Cikgu Fahmi macam mana, dan dah bertahun diorang sabar. Aku rasa, dalam skuad kita, kau je yang tak nak join.”
“Rasa? Kau rasa? Wau, hebat. Mana kau tahu? Mana kau tahu apa yang aku rasa? Mana kau tahu apa fikiran orang lain? Mata kau ada laser ke boleh tengok hati orang lain?”
“Defensive much?”
“Pasal tu la aku kata, siapa yang nak join, join je la. Aku cuma tekankan, jangan paksa orang yang tak nak join. Itu je. Aku pun nak lindungi ahli skuad yang lain juga.”
“Dengan biarkan lagi ramai pelajar perempuan lain jadi mangsa?”
“SHH!”
Tiba-tiba Devi memberi amaran untuk senyap. Dengan serentak, Husna menarik tangan Maisarah ke bawah untuk duduk, dan Laila pula menarik tangan Farah untuk melakukan perkara yang sama. Farah dan Maisarah masing-masing terpinga-pinga, namun kekeliruan mereka terjawab juga.
Kelihatan daripada jauh, Cikgu Fahmi sedang berjalan ke arah mereka. Bahaya besar sekiranya mereka meneruskan perbicaraan mereka.
“Hai korang, bincang apa tu?” mesra suara Cikgu Fahmi menegur apabila sampai di meja mereka. (Atau boleh jadi gatal juga)
“Tak ada apa-apalah cikgu,” Devi tersenyum menjawab pertanyaan Cikgu Fahmi, cuba menyembunyikan rasa risau di hati.
“Pasal kawad jugak ke? Rajinnya korang ni, pertandingan hari tu pun dah menang kan? Nak bincang apa lagi?”
Muka masing-masing tenang, tetapi mereka cuba menelaah Cikgu Fahmi. Adakah dia hanya buat-buat ceria dan tidak tahu tentang gerakan pelajar perempuan yang akan menentangnya?
“Alhamdulillah, semua berkat usaha Maisarah ni ha, kalau dia tak jadi ketua, tak ke mana skuad kamu semua,” tanpa segan silu Cikgu Fahmi menepuk bahu Maisarah berkali-kali. Maisarah tidak memberi reaksi.
Tepukan berubah menjadi pegangan kemas. Cikgu Fahmi kemudiannya menyondongkan badannya terhadap Maisarah, “Eh, jom jumpa cikgu dekat bilik guru kejap ya.”
Maisarah mengangguk. Dia kemudian pergi dan membuntuti langkah Cikgu Fahmi. Tidak memandang langsung ke arah kawan-kawannya lagi.
Husna sekadar memandang. Laila membatu. Farah mengeluh.
Jawapan Maisarah, walaupun tidak diungkapkan, jelas sekali.
Pingback: Diam (Bahagian 1) | Kelly Telly