Aku dulu tak faham satu benda;
kenapa Tuhan ciptakan manusia-manusia berlainan agama?
Betul, dalam dunia ni, kita tak dapat lari daripada perbezaan.
Ada orang suka warna biru, ada orang suka warna merah.
Ada orang mazhab Syafie, ada orang mazhab Hanafi.
Tetapi bukankah nak memilih agama yang betul itu satu pertaruhan yang melampau?
Kau lahir di dunia pun bukan sebab rela, kemudian sepanjang kehidupan kau kena pilih mana satu agama yang betul. Peluang hanya ada satu. Salah pilih, ke nerakalah kau. Selama-lamanya.
Boleh saja Tuhan jadikan kita semua satu agama, dengan kepercayaan tentang tuhan yang sama. Bukankah itu lebih baik? Ya, masih akan ada manusia yang jahat, tapi sekurang-kurangnya dia tak tersalah bertuhan. Dia hanya akan dihukum berdasarkan apa yang dia tahu, bukan apa yang dia tak tahu, dan tak boleh tahu secara pasti.
Contohnya, seseorang itu dihukum di neraka kerana kesalahan membunuh; satu perbuatan yang pastinya seluruh dunia setuju mengklasifikasikannya sebagai satu kesalahan, yang sangat besar lagi.
Kebenaran itu memang sudah terang lagi bersuluh; mana-mana manusia yang waras akalnya, yang tahu mengenai hal ini, dan masih melakukannya juga, memang layak dicampak ke neraka.
Bandingkan dengan kesalahan memilih agama, yang di mana pemilihannya memang susah. Dahlah cuma ada satu peluang, kalau salah dibakar terus!
Adil ke?
Baik, mari aku berkongsi buah fikiran aku.
Penting untuk aku ingatkan bahawa ini sememangnya buah fikiran aku sahaja. Persoalan ini sememangnya membuatkan aku berfikir, dan hasilnya aku terfikirlah satu hikmah. Aku tak kata ini jawapannya, ini sekadar apa yang aku fikirkan saja.
Kalau satu dunia ni ada kepercayaan ketuhanan yang sama, maka pasti keturunan-keturunan mereka akan mempercayai perkara yang sama juga.
Contoh, katakan satu dunia berpegang kepada agama Islam. Mereka akan ajarkan kepada anak-anak mereka, “Allah ialah tuhan kita.”
Masa berlalu, dan anak-anak tersebut akan mengajarkan generasi seterusnya pula, “Allah ialah tuhan kita.”
Masa akan terus berlalu, dan generasi yang akan datang juga akan diajar, “Allah ialah tuhan kita.”
Bayangkan, generasi demi generasi diajar begitu, sehinggalah generasi yang ke-entah berapa.
Maka, kalau kita tanya mereka, kenapa mereka percaya Allah ialah tuhan mereka, kemungkinan besar akan ada hanya dua jawapan sahaja:
“Yela, dah satu dunia beragama Islam. Takkanlah salah pulak.”
“Sebab itu yang mak bapak aku ajar aku, aku ikut lah.”
Yup. This one hits me hard on the head.
Kalau kita semua ada kepercayaan tentang Tuhan yang sama, kita takkan kenal lagi Tuhan kita.
Kalau kita semua ada kepercayaan tentang Tuhan yang sama, tak kira betul atau salah, kita akan berhenti mengkaji tentang Tuhan.
Hadirnya fahaman-fahaman yang berbeza ini, untuk kita semak semula, kepada siapakah kita menghambakan diri kita sebenarnya.
Dengan adanya fahaman yang berbeza-beza ini,
kita takkan hidup bertuhan semata-mata kerana ibu bapa kita mengajarkan cara hidup bertuhan.
Kita takkan hidup bertuhan semata-mata kerana masyarakat sekeliling mengatakan bahawa itu perkara yang benar.
Kita akan hidup bertuhan betul-betul atas dasar kebenaran, berdasarkan pengkajian.
Ingat, manusia dibesarkan dengan latar belakang yang berbeza-beza, jadi tidaklah mengejutkan sekiranya dapatan kajian kita juga berbeza. Apa yang penting, kita kena terus mengkaji hakikat kehidupan kita.
Dan kajian itu bukan sesenang mencari satu tambah satu sama dengan berapa. Dan kajian ini tidak terhenti setakat sehari dua. Selagi nafas terakhir belum dihela, selagi itulah kewajipan kita kekal untuk terus mengkaji.
Maka, sebab itulah syurga disediakan buat mereka yang berada atas jalan yang benar, kerana perjalanan menuju Tuhan itu sangat sukar. Dan kerana itu jugalah, mereka yang tidak mahu mengkaji, hanya kekal dengan status quo, dan memilih berdasarkan faedah duniawi, akan dicampak ke dalam neraka.
Jadi, walau apa pun yang datang kepada kita, kajilah.
Hatta kita sudah yakin kita betul, kajilah lagi. Lagi dan lagi.