Skip to content

Perbezaan antara Psikiatris, Psikologis dan Kaunselor: Analogi Luka di Jari

“Apa perbezaan antara psikiatris, psikologis dan kaunselor?”

Ini antara soalan yang saya dan kawan-kawan dalam bidang psikologi dapat. Sebab memang ramai sebenarnya yang keliru tentang ketiga-tiga peranan ni. Kadang-kadang kaunselor yang dipanggil psikologis, psikologis yang dipanggil psikiatris.

Jadi jom kita tengok, apa beza sebenarnya antara ketiga-tiga kerja ni?

  • Kaunselor bekerja dengan menggunakan perbualan untuk membantu klien mereka menghadapi masalah-masalah seharian dalam kehidupan seperti pengurusan stres, memperbaiki hubungan dengan orang lain, dsb.
  • Ahli psikologi pula menggunakan kaedah yang lebih saintifik untuk diagnosis, rawatan & penyelidikan.
  • Psikiatris pula ialah doktor yang memang dilatih khusus untuk diagnosis, rawatan & penyelidikan yang abnormal.

Semuanya buat kerja yang berbeza, untuk orang yang berbeza, dengan matlamat akhir yang sama; untuk memperbaik kesihatan mental.

Sebenarnya, ramai dah pihak-pihak yang lebih pandai daripada saya lagi pun, yang dah buat artikel panjang-panjang untuk terangkan perbezaan-perbezaan ni:

Tapi penulisan ini untuk mereka yang masih kelabu-kelabu asap, masih tak faham betul-betul, masih tak dapat bayangkan apa sebenarnya perbezaan pekerjaan mereka.

Saya akan guna satu analogi senang saja; luka di jari.

Kaunselor

Bayangkan satu hari kita tengah potong bawang nak masak, tiba-tiba bilah pisau terkena jari kita, membuatkan jari kita terluka. Apa kita akan buat?

Kita akan bersihkan luka tu, kemudian tampal luka tu dengan plaster.

Kalau kita jenis yang ada pernah ikut kursus pertolongan kecemasan, mungkin lagi kemas kita buat. Basuh pun bukan setakat dengan air, siap dengan antiseptik lagi. Siap guna kapas lagi.

Apa-apa pun, pokoknya itu bukan satu masalah besar pada kita. Kita sekadar cuci dan tampal dengan plaster, lalu kita meneruskan kehidupan seperti biasa. Lama-lama, luka itu akan sembuh dengan sendirinya.

Samalah juga dengan kaunselor, mereka bertindak untuk memberikan ‘pertolongan cemas’ kepada kecederaan emosi kita. Dalam kehidupan seharian, pasti kita akan mengalami kecederaan emosi juga. Kecil ke besar, cedera tetap cedera. Maka, kita ke kaunselor untuk cari ‘plaster’ & ‘ubat antiseptik’ untuk merawat kecederaan emosi kita. Setelah dirawat sebaiknya, jika dijaga dengan baik, luka tersebut akan sembuh sendiri.

Contoh, bos hari-hari marah kita sebab kita hari-hari datang kerja lambat. Bengang sebab diri sendiri asyik datang lambat pun iya, bengang sebab bos marah pun iya. Maka, kita ke kaunselor untuk merawat rasa bengang itu. Kaunselor akan menggunakan teknik-teknik yang validate kita punya emosi, bantu kita tengok masalah tu dengan lebih objektif, dan beri saranan & cadangan tentang apa yang boleh dilakukan. Contohnya, kalau kaunselor dah habis dengar cerita & dah tahu kita memang dah cuba sebaik mungkin untuk tak lambat, maka dia mungkin akan cadangkan berunding dengan bos untuk ubah waktu bekerja.

Kita pun cubalah berunding. Walaupun susah sikit, tapi akhirnya bos bagi. Setengah jam saja beza, tapi bolehlah. Yang penting, kita boleh sampai on time & bos tak marah-marah lagi. Maka kecederaan emosi kita lama-lama akan sembuh.

Psikologis

Berbalik kepada luka di jari tadi. Katakanlah kita dah tampal plaster, dan kita jangkakan luka itu akan sembuh dalam sehari dua. Tapi apabila kita tengok, seminggu pun masih luka lambat sembuh. Lepas tu kita pun rasa demam semacam.

Maksudnya, ada kemungkinan kita terkena jangkitan (infection). Jadi apa kita akan buat?

Kita akan terus ke klinik, dan minta doktor tengokkan, betul ke tidak ada jangkitan. Kalau ya, kita dapatkan rawatan di situ juga.

Pada waktu ini, kita tahu yang luka kita dah tak sama dengan kebanyakan orang, jadi tak boleh dirawat seperti kebanyakan orang juga. Apabila kita kena jangkitan, kita tak boleh rawat diri sendiri sebab kita tak pandai bahagian jangkitan. Dan orang yang ada kursus pertolongan cemas juga, jangkitan bukan di bawah pengetahuan dan kemahiran mereka.

Kita tahu, kita kena pergi ke doktor, kerana merekalah yang dilatih untuk merawat jangkitan.

Setelah kita dapatkan rawatan, makan ubat, lama-lama jangkitan akan hilang. Dan akhirnya, luka akan sembuh.

Samalah juga dengan psikologis, mereka dilatih untuk membantu merawat kecederaan emosi yang lebih besar berbanding kecederaan harian. Apabila kita sendiri rasa kecederaan emosi kita lain macam, seperti terlebih intensiti, itu petanda kita perlu berjumpa dengan psikologis.

Kerana besar kemungkinan kita dah cuba ‘plaster’ sendiri, dan bercakap dengan kaunselor pun seperti masih tidak membantu. Maka langkah seterusnya adalah untuk berjumpa dengan psikologis.

Contoh yang sesuai ialah kematian ibu. Itu bukanlah sesuatu perkara yang biasa, tidak berlaku hari-hari. Kecederaan emosi seseorang yang kematian ibunya, bukanlah satu perkara ringan yang boleh ‘diplaster’ begitu sahaja.

Kefungsiannya akan terjejas. Dia takkan mampu bekerja macam biasa. Akan sangat susah untuk dia keluar daripada kesedihannya. Maka, psikologis sesuai untuk membantu orang seperti ini.

Psikologis akan bantu dia untuk proses peristiwa tersebut dengan sihat secara mental. Yakni, psikologis itu pun tidak akan sekadar beri nasihat dan jangkakan dia akan ‘sembuh’. Psikologis tahu, perkara seperti ini perlu diproses, dan hal ini sangat peribadi kepada seseorang individu. Seperti doktor yang merawat jangkitan, psikologis juga ada formulasi sendiri untuk mengendalikan orang yang kematian orang yang tersayang. Apabila dikendalikan dengan baik, lama-lama kemurungan itu akan dapat diproses, dan akhirnya barulah kecederaan emosi itu boleh pulih.

Psikiatris

Sekali lagi kita berbalik ke luka di jari tadi. Setakat ni kita faham, kedua-dua situasi luka di jari ini, memang untuk orang yang normal. Orang yang normal memang biasa akan terluka jarinya sekali sekala. Dan walaupun jarang, setiap orang normal juga ada kebarangkalian untuk kena jangkitan akibat daripada luka. Pendek kata, semua itu masih dalam lingkungan orang normal, dan cara rawatannya juga normal.

Tapi, adakah sama situasi jari terluka untuk orang yang normal, dengan orang yang ada… kencing manis?

Umum mengetahui, penyakit kencing manis antara penyakit yang mempengaruhi segenap kehidupan seseorang. Kalau dah didiagnos, dietnya perlu diubah, senamannya kena lebih rajin. Dan terutama sekali, luka pesakit kencing manis jauh lebih lambat sembuh, dan jauh lebih berisiko untuk terkena jangkitan. Jadi luka mereka perlu dirawat dengan lebih intensif. Yakni, rawatan yang mereka ambil tak sama dengan rawatan orang yang normal.

Katakanlah seorang pesakit kencing manis mengalami situasi yang serupa, di mana dia terlukakan jarinya, maka dia akan mungkin terus ke hospital bahagian kecemasan. Dia akan terus berjumpa dengan doktor untuk dirawat. Dan doktor itu juga tak boleh merawat pesakit tersebut seperti pesakit lain. Beliau perlu ada ilmu dan kemahiran khusus bagaimana untuk mengendalikan luka pesakit kencing manis.

Sama juga dengan psikiatris. Psikiatris ialah doktor, yang memang dilatih untuk merawat kecederaan mental dan emosi di luar kebiasaan. Mereka memang dilatih untuk merawat penyakit abnormal, dan kesan-kesan yang berkaitan dengannya.

(Ingat, psikiatris memang doktor perubatan, sedangkan kaunselor & psikologis BUKAN doktor perubatan. Perbandingan psikologis sebagai doktor dalam contoh sebelum ini, hanya untuk analogi ini sahaja, yang menjelaskan kemahiran mereka. Psikologis hakikatnya bukan juga seorang doktor perubatan.)

Katakanlah kita ambil contoh, seseorang yang memang didiagnos ada Major Depressive Disorder.

Mungkin ada orang yang mahu tolong dengan cuba menasihatkan, “hidup ni tak boleh sedih-sedih, kau kena belajar fikir positif ni.” Bukanlah nasihat ini tidak betul, tetapi nasihat tersebut bersifat seperti plaster untuk membalut luka kecil di jari. Tak sesuai untuk mereka yang memang ada ‘jangkitan’ dalaman, apatah lagi untuk mereka yang memang ada penyakit abnormal. Sekeping plaster tidak akan mampu merawat penyakit abnormal.

Mungkin juga dia akan dibawa ke psikologis. Maka, psikologis tersebut kena sentiasa pastikan bahawa beliau tidak menggunakan rawatan yang normal, kerana pesakitnya itu pesakit abnormal. Dan kalau perkara itu sememangnya di luar pengetahuan dan kemampuan psikologis itu sendiri, beliau bertanggungjawab untuk merujuk pesakit itu kepada pakar psikiatri.

Psikiatrislah yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang mencukupi, untuk mengendalikan mereka yang abnormal.

Jadi harapnya lebih jelaslah sekarang perbezaan antara kaunselor, psikologis & psikiatris. Selepas ini, harapnya boleh buat penilaian kendiri, kepada siapa mahu pergi untuk merawat kecederaan emosi & mental, sesuai dengan keadaan diri.

Jangan segan-segan untuk meminta bantuan untuk kesihatan mental sendiri.

Seperti mana jika terluka jari, kita tidak malu untuk mencari plaster.

Seperti mana jika kita terkena jangkitan, kita tidak malu untuk berjumpa doktor.

Seperti mana jika kita ada sakit kencing manis, kita tidak malu untuk meminta rawatan kecemasan sekiranya terluka.

Sebagaimana anda ubati luka di jari,
ubatilah juga luka di hati.

Leave a Reply