Macam mana nak jadi yakin?
Ada yang mencari yakin melalui buku-buku, video-video YouTube atau konten-konten motivasi di media sosial. Ada yang mencari di aktiviti-aktiviti bungee jumping atau memandu ATV, tetapi masih sukar menemuinya apabila perlu bercakap di atas pentas atau insan yang mereka jatuh hati terhadapnya.
Pendek kata, mereka tunggu nak yakin dulu, baru bermula.
Tetapi tahukah anda, keyakinan sebenarnya akan datang hanya apabila anda telah bermula?
Yakni, selepas kita melangkah keluar dari ketakutan itu sendiri.

“Boleh ke aku yakin?”
Why do people always look outward in finding confidence?
Sebab sejujurnya mereka rasa dalam diri mereka, tidak ada apa-apa yang perlu dibanggakan. Mereka tidak dibesarkan dalam persekitaran yang memperkasakan mereka. Dan apabila direnungkan kehidupan sendiri, sepertinya mereka ada lebih banyak kegagalan berbanding pencapaian.
Jadi, timbul satu persoalan. Bolehkah kita membina keyakinan jika semua faktor luar tidak membantu?
Jawapannya: boleh.
Kerana kunci ketiga untuk membina keyakinan bukan datang dari luar, tetapi dari tindakan diri sendiri.
Betul, memang susah kita nak cari bukti yang membangkitkan semangat, apabila kita berada dalam persekitaran yang asyik meruntuhkannya. Memang susah nak cari bukti apa yang kita raih, jika kita asyik dibentangkan dengan kegagalan kita.
Jadi jika anda keyakinan anda tidak dapat dibina daripada persekitaran atau pencapaian, maka binalah keyakinan tersebut melalui perbuatan.
Dalam hidup ini, sebenarnya ada banyak perkara asas yang kita sudah pun lakukan dengan yakin, sama ada kita sedar atau tidak. Keyakinan ini memang dah ada sebab kita telah pun mahir melakukan perkara tersebut. Hasilnya, kita secara semulajadinya akan mahu untuk terus melakukannya.
Contohnya, menunggang basikal. Jika saya jemput anda untuk tunggang basikal, anda akan melakukannya tanpa ragu-ragu jika anda memang tahu cara menunggangnya. Malah, mungkin anda akan menunggang dengan seronok dan gembira! Hal ini maksudnya, anda yakin untuk naik basikal itu kerana anda memang sudah tahu cara melakukannya. Lalu anda akan mahu lagi menunggang basikal pada masa hadapan.
Tetapi pada masa yang sama, jika ada perkara yang kita tak yakin kita tak boleh buat, kita takkan mahu buat langsung. Contohnya, anda mungkin yakin untuk menunggang basikal. Tetapi adakah anda yakin untuk menunggang ekasikal (unicycle)? Tidak, bahkan anda akan rasa takut. Anda tak pernah ada pengalaman menunggang ekasikal. Macam mana nak imbangkan diri? Mesti banyak kali jatuh nanti! Jadi, walaupun menunggang ekasikal mungkin memerlukan kemahiran yang lebih kurang sama dengan menunggang basikal, anda tetapi tidak yakin untuk melakukannya kerana anda tidak tahu caranya. Lalu anda tak mahu melakukannya.
Macam mana nak bina keyakinan untuk menaiki ekasikal dalam kes ini?
Buat saja.
“Buat dulu? Bukan kena tunggu confident dulu ke baru boleh buat? Dari man nak datang keyakinan untuk nak mulakan, kalau kita nak mula terus pulak?”
Ya, ini satu mitos yang dipegang oleh ramai orang. Untuk perkara-perkara yang kita tak berapa biasa nak buat, kita biasa nak tunggu ketakutan pergi dan keyakinan datang dulu, baru kita nak buat.
Biar saya beritahu fakta yang sebenarnya.
Apabila kita mula cuba membuat sesuatu perkara walaupun dalam ketakutan dan kerisauan, hal itulah yang akan mendatangkan keyakinan kita. Sebab kita telah pun mengatasi ketakutan kita.
Ya, keyakinan itu datang hasil daripada mengatasi ketakutan.

Apabila keyakinan kita bercambah daripada memberanikan diri mencuba perkara yang baru, kita akan lebih mudah untuk mencuba lagi perakra tersebut. Ya, sekali lagi. Walaupun dalam keadaan takut, kita cuba lagi.
Kebiasaannya apabila kita mencuba buat kali kedua, hasilnya akan lebih baik berbanding percubaan kali pertama. Kita dah ada ilmu dan kemahiran yang relevan, walaupun sedikit. Jadi dalam percubaan kedua, kita akan lebih cenderung untuk berjaya. Atau paling tidak, kurang gagal.
Makin kita buat, makin kita yakin. Makin kita yakin, makin kita buat.
Itulah namanya kitar keyakinan-kecekapan (confidence-competence loop).

Jadi, macam mana kita nak bina keyakinan, terutamanya untuk perkara-perkara yang kita tidak yakin lagi? Buat saja. Cuba dulu.
Kita takkan yakin selagi kita tak mahir. Dan kita takkan mahir selagi kita belum bermula.
Langkah Kecil, Perubahan Besar
Untuk mula masuk ke dalam kitar keyakinan–kecekapan, cuba lakukan perkara ini hari ini:
- Pilih satu perkara kecil yang anda takut atau ragu untuk lakukan.
Contohnya, bercakap di hadapan kumpulan kecil, atau menulis sesuatu yang anda tak biasa. - Lakukan walaupun takut.
Ingat: keberanian bukan tiada rasa takut, tetapi tetap melangkah walaupun takut. - Raikan percubaan, bukan kesempurnaan.
Setiap kali anda mencuba, anda sedang melatih otot keyakinan anda. - Ulang.
Cuba lagi, walaupun gagal. Gagal bukan tanda anda lemah, ia tanda anda sedang belajar.
Kerana setiap tindakan kecil yang konsisten akan membuka jalan kepada perubahan besar.
Kesimpulan: Mula Dulu, Baru Yakin
Jangan tunggu untuk yakin baru mula.
Mula dulu, dan keyakinan akan menyusul.
Sama seperti sebuah benih yang kecil. Ia tidak tahu bagaimana untuk tumbuh, tapi ia tetap akan berusaha menolak tanah untuk mencari cahaya. Begitulah kita, manusia yang perlu berani menolak ketakutan kita untuk menggapai keyakinan.
Kerana keyakinan tidak datang kepada yang menunggu, tetapi kepada yang berani melangkah.
Dapatkan “Yakinlah, Allah Ada” di sini!

Anda mungkin tidak boleh mengawal masa lalu anda, tetapi anda boleh mengawal langkah pertama anda hari ini.
Apa yang anda baca di sini hanyalah secebis daripada buku saya, Yakinlah, Allah Ada, sebuah buku yang melakarkan perjalanan membina keyakinan diri yang sebenar.
Dalam buku ini, saya berkongsi dengan lebih mendalam tentang bagaimana untuk keluar dari kitaran takut dan tidak yakin; dengan pendekatan psiko-Islamik.
Jika anda pernah rasa tidak cukup, takut gagal, atau terlalu keras pada diri sendiri, buku ini adalah untuk anda.
✨ Kerana setiap langkah kecil anda, walaupun dalam takut, tetap berharga di sisi Allah.
