Ahad, 1:45 petang
Para pelajar Sekolah Sri Merak sedang beransur-ansur pulang ke asrama selepas selesai solat Zuhur berjemaah. Masing-masing tidak sabar-sabar ke aktiviti mereka yang seterusnya; sama ada bersiap sedia untuk berjanji temu dengan ibu bapa yang datang melawat, atau tidur. Cuaca yang panas terik menambahkan motivasi mereka untuk melangkah pantas untuk pulang.
Laila juga turut melangkah pantas, namun halatujunya bukan pulang ke asrama.
Dia menuju ke padang sekolah. Tangan kanannya menjimbit kasut but dan tangan kirinya memgang botol air. Kedua-dua item tersebut sudah dipunggahnya ke surau bersama-samanya, supaya dia tidak perlu pulang semula ke asrama selepas solat hanya untuk mengambil dua item tersebut. Lagi-lagi apabila mengenangkan biliknya terletak di tingkat tiga.
Laila menjadi orang pertama yang sampai ke padang sekolah. Segera dia mencari tempat teduh di bawah pokok, walaupun dia tahu dia bakal meluangkan masa di bawah terik mentari itu juga nanti.
Beberapa ketika kemudian, ahli-ahli skuad kawad yang lain juga turut memunculkan diri. Husna dan Farah melabuhkan punggung di sebelah Laila.
“Aduh, panasnya hari ni,” Husna mengibaskan tudungnya.
“Ish kau ni, baru-baru sampai dah merungut,” tegur Laila tanpa memandang Husna, kerana dia sedang sibuk bergelut memasang butnya.
“Dahlah rancangan asal mak aku nak bawa sambal tempoyak nenek aku buat untuk aku makan hari ni. Nenek aku tengah ada dekat rumah tu. Tak pasal-pasal kena batal sebab latihan ni,” seperti tidak mendengar kata-kata Laila, Husna terus-terusan mengomel.
“Kau ingat kau sorang je ke yang ada rancangan? Aku kalau ikutkan nak mohon balik kejap, sebab nak tengokkan adik dekat rumah tu. Aku dapat tengok dia sekejap je dekat hospital masa dia lahir tu. Dah 3 bulan dah ni,” Farah turut sama meluahkan rasa hati.
Laila sekadar tertawa kecil. Dia tidak ambil pusing, tumpuannya masih pada menyarungkan butnya.
“Ha, kau tu Laila, takkan tak ada rancangan hari ni?” tanya Husna, seakan-akan tidak puas hati terhadap kebisuannya.
Tali but diikat. Dia kemudiannya memandang tepat ke arah Husna.
“Bukan kau je, semua orang pun ada rancangan kalau dah nama hujung minggu. Daripada kau buang tenaga merungut, baik kau simpan tenaga untuk latihan. Nanti kau jugak yang lagi penat.”
Farah menahan ketawa melihat mulut Husna mencebik. Laila juga. Dia tahu, Husna hanya sekadar ingin meluah sahaja. Lalu bahu Husna ditolak manja, dan dipujuknya, “Dahlah tu, lagi dua minggu je. Lepas tu habislah semua latihan ni.”
“Yelah, kita kena berlatih elok-elok untuk peringkat kebangsaan ni. Kita dapat lepas peringkat negeri hari tu pun, kira nasib baiklah. Kalau kita tak bersedia elok-elok, Mai jugak yang marah kita nanti,” tambah Farah pula.
“SKUAD!!!”
Kedengaran suara Maisarah, ketua skuad mereka melaung dari tengah padang. Ahli-ahli skuad yang lain segera mempercepatkan ke tengah-tengah padang. Latihan bakal dimulakan.
“Oh, speak of the devil,” Farah seakan takjub.
“Eh, kenapa kau panggil Mai setan???” terbeliak mata Husna memandang Farah. Tersalah faham dia terhadap peribahasa Bahasa Inggeris tersebut.
“Oh my god, that’s not… nevermind, I’ll tell you later,” Farah membatalkan niatnya untuk menerangkan dan bergegas untuk menyertai ahli skuad yang lain di tengah-tengah padang.
“Maiii!!! Farah panggil kau setan!!!” Husna dengan selamba melaungkan aduannya kepada ketua skuad yang juga merupakan rakan sekelasnya itu.
Farah cuba menekup mulut Husna, tetapi terlambat.
“Apa???” Maisarah membeliakkan mata
Laila menepuk dahi. Baru nak mula latihan, mereka sudah buat Maisarah baran.
Nampaknya, petang ini akan terasa lama sekali.
4:45 petang
Skuad kawad Sri Merak sedang duduk keletihan. Tenaga mereka sudah habis diperah hampir tiga jam tanpa henti. Maisarah yang biasanya tegas juga, menamatkan latihan 15 minit lebih awal atas ihsannya. Itupun, masing-masing tidak berebut untuk pulang ke asrama seperti biasa. Bahkan, semuanya terduduk di tepi padang melepaskan lelah. Masing-masing sendiri tidak berborak seperti selalu. Hanya nafas mereka yang termengah-mengah kedengaran.
“Hai, baru berlatih sikit dah penat?”
Serentak kepala keseluruhan skuad berpaling. Kelihatan Cikgu Fahmi sedang bercekak pinggang. Maisarah yang lepas habis latihan tadi tidak kelihatan, berada dua tapak di belakangnya. Patutlah tidak kelihatan, rupa-rupanya dia pergi mendapatkan guru penasihat mereka.
“Baru berlatih tiga jam, mengahnya dah macam ‘malam pertama’. Saya dulu berlatih, lagi lama, lagi teruk tau!”
Farah mengerutkan dahi. Husna menyembunyikan muka lalu menjulingkan mata. Laila hanya berdiam kekal duduknya. Tidak banyak beza reaksi mereka dengan ahli-ahli skuad yang lain.
“Haish, kalau macam ni pun penat, tak boleh kahwin la korang. ‘Malam pertama’ pun tak tahan, macam mana nak lalui malam-malam seterusnya, hahahahahaha,” Cikgu Fahmi ketawa terbahak-bahak, macamlah kelakar sangat lawaknya.
“Oh, my, god…” Farah menggumam di bawah nafasnya. Menyedari perkara tersebut, Laila pantas menggenggam tangan Farah. Kuat.
Diam.
Keseluruhan ahli skuad tersebut memang tidak menyukai Cikgu Fahmi. Kepada pelajar perempuan, beliau keras, tak ada timbang rasa, tak ada simpati. Sentiasa merendahkan mereka. Lain benar layanannya terhadap pelajar perempuan dengan pelajar lelaki yang dilayan sebegitu baik sekali. Acap kali pelajar lelaki dan pelajar perempuan di sekolah tersebut bertelagah berbeza pendapat apabila nama Cikgu Fahmi naik dalam perbincangan, bahkan perbualan.
Di samping itu, lawak-lawak lucah beliau juga turut memanaskan telinga. Sudah banyak kali ditegur oleh para pelajar, sudah banyak diberi amaran oleh pihak atasan, namun masih tidak dihiraukannya. Yang pelik juga, guru tersebut tidak pernah dikenakan tindakan disiplin, apatah lagi dipecat atas perbuatannya itu.
Laila dan Husna sendiri malas mahu ambil pusing sangat, namun mereka tahu Farah senang ‘meletup’ apabila mendengar lawak-lawak tidak lawak daripada Cikgu Fahmi. Tidak pernahlah pula Farah berkonfrontasi berhadapan dengan beliau, namun Laila masih risau kalau Cikgu Fahmi akan terdengar apa-apa yang akan Farah katakan kepadanya.
Lebih baik diam.
“Husna, Laila, jom balik.”
Laila dan Husna memandang kepada Farah yang mencadang, kemudian memandang sesama mereka.
“Eh, tak sopan la nak gerak balik, cikgu baru sampai tu ha,” ujar Husna.
“Dia tak ada nak sopan dengan kita, kita je sibuk nak bersopan dengan dia,” kata-kata Farah lebih berunsur kepada monolog, daripada ditujukan kepada kedua-dua rakannya.
Husna menghela nafas. Laila masih berdiam diri.
Farah melirik. Dia tahu, setidak selesa mana mereka dengan Cikgu Fahmi, lebih tidak selesa lagi mereka apabila bercakap mengenai Cikgu Fahmi itu sendiri. Bagi mereka, seperti mengumpat cikgu sendiri.
Farah mengubah posisi duduk. Dia cuba memparafrasakan kata-katanya, tidak mahu kelihatan ajakannya itu hanya semata-mata kerana mahu mengelak Cikgu Fahmi.
“Alah, kita dah habis latihan dah pun. Tengok tu, Cikgu Fahmi bukan nak cakap apa-apa pun dengan kita. Dia nak datang tengok kita berlatih je. Nak buat apa lagi kita duduk-duduk sini? Baik kita balik, cepat-cepat makan, cepat-cepat mandi.”
Laila memandang Cikgu Fahmi kembali. Ya, dia tidak lagi bercakap-cakap dengan ahli skuad; hanya dengan Maisarah sahaja selaku ketua, yang sedari tadi tekun mengangguk-angguk mendengar bicaranya.
“Eh, kau nak balik jugak ke, Farah?” Devi yang duduk berdekatan dengan Farah tiba-tiba mencelah.
“Haah? Cikgu tak ada nak pesan, umumkan apa-apa kan?”
“Jomlah, kitaorang pun nak balik, tapi segan.”
Tanpa berlengah, Farah terus bangkit apabila Devi dan kumpulan rakannya bangun. Skuad tersebut, melihatkan sudah beberapa orang bangkit bersedia untuk pulang, baru berani untuk bersiap sedia untuk pulang secara kolektif.
Laila dan Husna juga turut bangun, setelah menyedari sudah hampir separuh daripada skuad tersebut mengosongkan padang itu.
Ahli-ahli yang lain sekadar lalu dan tunduk hormat kepada Cikgu Fahmi, sebelum berlalu pergi. Cikgu Fahmi tidak ambil pusing, dia masih kekal bercakap dengan Maisarah. Namun Laila dapat lihat, matanya tidak memandang Maisarah. Beliau memandang secara khusus ke arah bahagian belakang tubuh ahli-ahli skuad tersebut. Apa sebenarnya yang dipandang, walaupun dapat diagak, Laila tidak mahu tahu.
Sampai giliran mereka berdua mendekati Cikgu Fahmi, mereka juga tunduk sebelum berlalu pergi. Tampaknya seperti tiada apa-apa berlaku. Bangunan asrama hanya 400 meter di hadapan mereka. Mereka meneruskan perjalanan seperti biasa.
Tetapi Laila dapat rasa pandangan Cikgu Fahmi di belakangnya.
Dia bukan tidak mahu bersuara. Dia bukan mahu jadi pemboleh (enabler) kepada tindakan-tindakan Cikgu Fahmi. Tetapi apa lagi yang mereka boleh buat? Sedangkan pihak sekolah sendiri seakan-akan sudah berputus asa. Lebih baiklah fokus untuk tidak mencetuskan lagi isu di sekolah. Cikgu Fahmi bukanlah pusat sekolah, bukan pusat hidup dia. Ada banyak lagi perkara lain yang berlaku, yang perlu difokuskan.
Lebih baiklah diam.
Pingback: Diam (Bahagian 2) | Kelly Telly
I may need your help. I’ve been doing research on gate io recently, and I’ve tried a lot of different things. Later, I read your article, and I think your way of writing has given me some innovative ideas, thank you very much.
Thank you for reading