Skip to content

Elak Kongsi Berita Palsu dengan 2 Langkah Ini!

Memang agak susah untuk bezakan antara berita palsu dengan berita betul sekarang ni. Orang main forward2 dekat WhatsApp & Facebook, tahu-tahu je dah sampai kat kita.

Saya bukanlah pakar nak bezakan secara mutlak antara yang betul dengan yang salah. Tapi kalau kita perhatikan betul-betul, berita-berita palsu ni, akan ada satu jenis ayat, yang buat orang ‘triggered’ untuk terus share.
Dia akan suruh share secara berlebih-lebihan dan dramatik sekali.

“Kalau anda sayang Islam, anda akan share. Kalau anda pengikut syaitan, anda akan abaikan.”
“Sila share kalau anda sayang keluarga anda & tak mahu nyawa mereka melayang.”

Wow. Relakslah. Siapa pulak penulisnya nak menentukan kita sayang Islam atau pengikut syaitan hanya dengan sebuah berita? Siapa orang asing ni nak menentukan tahap kasih sayang kita terhadap ahli keluarga kita sendiri?

Benda ni lebih kurang sama je dengan surat berantai yang muncul era tahun 2000 dulu.

“Sebarkan surat ini. Encik X telah menyebarkannya, dan sekarang dia duduk banglo harga RM1 billion. Encik Y tidak menyebarkannya, dan dia telah mati akibat demam malaria.”

Eh dia ni siapa nak tentukan kita duduk banglo atau mati demam malaria? Tuhan?

Tenang-tenang saja. Sini saya sediakan 2 tips yang saya sendiri pakai dalam menentukan adakah sesuatu berita itu wajar dikongsikan ataupun tidak.

1. Beri tumpuan pada kandungan berita tu sendiri.

Usah pedulikan ayat2 yang bermain dengan emosi seperti:
“Sharelah supaya pahala sedekah jariah anda mengalir…”
“Syaitan pasti membisikkan supaya anda tidak share post ini. Anda mahu kalah dengan syaitan?”
“Ini ialah kebenaran hakiki, share supaya tidak terjerumus ke dalam fitnah!”

Tak payah kalut dengan ayat-ayat ni. Dia tak cakap pun, kita tau la pasal sedekah jariah, godaan syaitan, dan kepentingan menyebarkan kebenaran ni.

Tengok isi dia. Berfakta tak? Faktanya betul tak? Ada data yang menyokong? Data tu betul tak? Siapa yang menulis? Di bawah organisasi apa dia menulis? Apa tujuan dia menulis? Ada kemungkinan berlaku konflik kepentingan (conflict of interest) ke dalam tujuan mereka menulis tu?

Bukanlah saya kata semua berita yang ada ayat-ayat ni salah. Ada je yang betul.
Cuma ingat; kebenaran boleh tertegak dengan sendirinya. Maka, untuk pastikan kebatilan berdiri di taraf yang sama, elemen-elemen tambahan perlu ada. Sebab itu mereka main ayat emosi dan Islamik.

Maka, pentingnya untuk kita fokus pada kandungan itu sendiri. Sesuatu berita itu perlu dikongsi berdasarkan kebenarannya, bukan ada atau tidak ayat-ayat ni.

2. SELIDIK. Malas? BIARKAN.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” – Surah Al-Hujurat, Ayah 6

Ada dengar berita? Siasat sebelum sebar.
Ya, rasanya ini common sense. Semua orang tahu.

Tetapi marilah kita jujur kepada diri sendiri; apabila kita nampak sesuatu berita, rajin ke kita pergi ke Google nak cari balik benda tu, dari mana datangnya? Lagi satu, kalau rajin pun, sempat ke?
Kebanyakan masa tidak. Kebanyakan orang begitu. Saya pun begitu kalau ikutkan. Dan hal ini okey saja.

Jadi, kalau kita tidak dapat selidik sesuatu berita, jangan sebarkan berita itu. Biarkan saja.

“Tapi… macam mana kalau berita tu betul? Penting pulak tu!”

Kalau berita tu berita betul, maka akan ada orang yang lebih berautoriti yang akan membawa berita tu.

Dan berdasarkan surah Al-Hujarat ayat 6 tadi, saya tak maksudkanlah pula kawan-kawan dan saudara-saudara kita yang kongsikan berita palsu itu golongan yang fasik. Bukan! Kita pun kenal mereka macam mana.

Golongan fasik ni merujuk kepada sesiapa yang mulakan dan ciptakan berita tu. Kawan-kawan dan saudara-saudara kita ni pula sangatlah dan amatlah prihatin orangnya. Mereka hanya mahu menyebarkan perkara yang (mereka sangka) baik dan betul.

Jadi, kalau berita tu benar-benar betul, tak usah risau untuk membiarkannya sahaja, kerana kita pasti akan dengar berita tu lagi di tempat yang lebih sahih seperti berita dan laman web yang dipercayai. Daripada kita terus menyebarkannya sebelum jelas benarnya kepada kita, kalau salah dikira menyebar fitnah kepada mereka yang tidak bersalah.

Terima kasih kerana membaca. Moga yang membaca & menyebarkan penulisan ini akan sama-sama mendapat manfaat.

Eh, anda pun ragu-ragu nak share mesej ni?

1. Perhatikan kandungan
2. SELIDIK. Malas? BIARKAN.

Senang kan? 😃

Leave a Reply