Skip to content

Empati kepada penyebar teori konspirasi.

Selalu kita berperasaan aneh apabila melihat teori-teori konspirasi menular di media sosial. Semakin aneh apabila melihat bahawa teori itu disokong dan disebarkan oleh bukan sahaja orang yang ramai, tetapi signifikan juga.

Senang sahaja untuk kita turut sama bersifat reaktif, seperti mana mereka yang menerima teori-teori tersebut turut bersifat reaktif lalu pantas menyebarkannya.

“Apalah orang-orang ni, tak ada kerja ke nak percaya teori-teori mengarut ni?”

Hari ni, aku nak ajak untuk kita fikir betul-betul, selami betul-betul, kenapa ada orang yang sangat percayakan teori-teori konspirasi.

Pertamanya, kita takkan dapat nafikan hakikat yang, kebanyakan mereka yang mempercayai teori-teori ini ialah orang-orang yang lebih berumur.

Orang-orang yang di mana semasa mereka kecil, antara perkara yang mereka pelajari tentang Islam ialah tanda-tanda kiamat; pembinaan bangunan-bangunan yang tinggi, ibu melahirkan tuan, dan sebagainya.

Dan semestinya, realiti pada masa muda mereka, membuatkan tanda-tanda yang mereka pelajari, seolah-olah sesuatu yang hampir mustahil untuk mereka bayangkan, apatah lagi terjadi.

“Nanti ada banyak bangunan tinggi? Alah, nak buat rumah 2 tingkat pun sekarang susah.”

“Ibu melahirkan tuan? Eee, aku balik rumah lambat sikit je, mak dah tunggu dengan penyapu.”

Tetapi semakin mereka membesar, masuk ke awal 20-an, ke umur 30-an, akhirnya di umur 40-an dan 50-an, satu persatu tanda yang mereka dulu rasa mustahil, terungkai sendiri dalam realiti kehidupan mereka.

“Wah, betullah dah ada banyak bangunan tinggi sekarang. Orang semakin berlumba-lumba untuk membina bangunan paling tinggi lagi.”

“Wah, betullah sekarang ibu memang melahirkan ‘tuan’. Anak senang jadi manja dan pijak kepala mak bapak sendiri tanpa takut.”

“Tak sangka betul…”

Maka, semakin mereka nampak tanda-tanda kecil kiamat ini, semakin mereka rasa rapat dengan hari-hari terakhir dunia. Semakin mereka rasa dekat dengan kemunculan Dajjal. Semakin mereka rasakan hari kiamat akan datang.

Jadi, apabila COVID-19 menyerang, yang memaksa dunia untuk berkurung dalam ketakutan dan ketidakpastian, yang menghambat keseluruhan dunia untuk menjalani satu kehidupan terpenjara yang seragam gayanya,
mestilah mereka menjadi seriau.

Mestilah mereka lagi rasa nak memperbanyakkan ibadah. Mestilah mereka semakin berhati-hati dengan kedatangan Dajjal. Dan semestinya, mereka akan berusaha untuk belajar lagi pasal Dajjal ni untuk bersiap sedia. Segala ceramah pasal Dajjal ditelaah sebaik mungkin.

Ceramah-ceramah pula disampaikan oleh ahli-ahli agama, yang baik, yang hebat. Namun mereka masih bukan ahli sains, bukan ahli teknologi, bukan ahli kemanusiaan, dan sebagainya. Jadi, teori-teori yang mereka keluarkan yang walaupun logik, mungkin boleh jadi salah.

Tetapi, disebabkan mereka yang mendengar ceramah-ceramah ini telah diselubungi perasaan takut, apatah lagi apabila teori-teori itu diakhiri dengan ‘wallahu a’lam’, ‘jangan terperdaya dengan fitnah akhir zaman’, maka mereka lebih cenderung untuk mempercayai teori-teori tersebut. Lagipun, tak mustahil untuk mereka percaya perkara-perkara seperti vaksin COVID-19 dimasukkan cip pengesan, kerana mereka dulu pun tak percaya perkara-perkara seperti anak melahirkan tuan akan menjadi kenyataan.

Dan tahu tak? Kita memang sepatutnya takut pun secara umumnya dengan perkara-perkara yang bakal berlaku pada akhir zaman ini. Kita memang patut pun risau. Sebab kita memang dah berada di akhir zaman pun.

Tetapi kerisauan dan ketakutan kita perlu dikawal supaya tidak menjejaskan pertimbangan akal dan hati kita.

Sebab kalau itu yang berlaku, bukankah itu juga tidak diredhai Allah? Bukankah itu juga membuka ruang kepada kita untuk termakan kepada hasutan fitnah? Tak kisahlah kalau bukan Dajjal pun.

Kita semua nakkan kebenaran. Setuju kan?

Maka, kita perlu akui bahawa emosi akan memainkan peranan terhadap persepsi kita terhadap kebenaran (apa yang kita rasa & yakin betul). Baik ketakutan, mahupun ego darah muda. Dua-dua sama saja.

Jadi, kita kena ingat, apa-apa pun perasaan kita terhadap kebenaran, benda tu tak mengubah langsung kebenaran tu sendiri.

Apa yang salah, itulah yang salah. Walaupun kau rasa betul.

Apa yang betul, itulah yang betul. Walaupun kau rasa salah.

Apa yang mungkin salah atau betul, selagi tak dibuktikan, kita takkan dapat tahu secara pasti. Usahalah sebaik mungkin untuk tahu & bertindaklah berdasarkan apa yang kita rasa terbaik.

Kami anak muda pun faham, anda yang sudah melalui berpuluh tahun pengalaman lebih lama, semestinya telah membina kebijaksanaan yang jauh lebih baik berbanding kami.

Namun, sebagai seseorang yang pernah muda juga, pasti anda fahami bahawa semakin bertambah usia, semakin kurang berhubung seseorang itu dengan realiti semasa.

Renungkanlah juga semasa anda muda seusia kami. Renungkanlah realiti semasa 20, 30 tahun lepas. Ada perkara yang ibu bapa anda sendiri (yang seusia anda sekarang) pada waktu itu, yang mereka betul-betul percaya betul, walhal anda tahu itu ialah perkara yang salah. Nak terangkan kepada mereka susah, namun kalau ikutkan, kalau tak terangkan pun anda tahu itu ialah perkara yang salah. Anda tahu.

Apakah kemungkinannya yang anda juga sedang mengalami perkara yang sama?

Dan ini bukan salah sesiapa pun, itu memang fitrah kehidupan manusia; semakin bertambah usia, semakin kurang berhubung seseorang itu dengan realiti semasa. Hal ini akan berlaku kepada semua orang. Hal ini telah berlaku kepada ibu bapa anda, hal ini sedang berlaku kepada anda, dan hal ini akan berlaku pada kami juga. Kami juga nanti, apabila meniti usia tua, akan ada perkara yang kami rasa & yakin betul, padahal salah sebenarnya.

Jadi mari bersetuju yang kita ada kekangan masing-masing yang mungkin membuatkan kita tidak boleh nampak kebenaran sepenuhnya. Baik anak muda yang tiada pengalaman hidup untuk melihat dunia secara holistik, mahupun mereka yang semakin berusia dan kurang berhubung dengan realiti semasa.

Dan siapa je yang boleh nampak kebenaran sepenuhnya pun?

Maka, tanamkan kepercayaan terhadap diri masing-masing bahawa setiap daripada kita sedang melakukan apa yang terbaik, walaupun dengan kekangan yang kita ada.

Tanamkanlah kepercayaan bahawa kita masing-masing akan memberi maklum balas, untuk memberi imbangan & semak silang (balance & cross check), terhadap apa yang kita yakini benar, dan apa yang sebenarnya benar.

Paling penting, kalau kita tak mampu menghalang perasaan kita daripada mempengaruhi apa yang kita rasa betul (kita memang takkan mampu pun), sekurang-kurangnya kita perlu sedari perkara tersebut.

“Oh, aku rasa betul. Aku betul-betul rasa betul. Tapi hakikatnya tak/belum dibuktikan betul. Tak apa. It’s okay. It’s okay to feel this way. Emotion is an insight, but not a determinant.”

Harap penulisan ini memberi manfaat.

Leave a Reply