Pendaratan pertama di bulan dirakam di studio.
MH370 diambil alih & dan yang menaikinya dibunuh beramai-ramai.
Vaksin tidak merawat apa-apa, bahkan semakin menyakitkan kita..
Bidang perubatan moden ialah bidang yang makin buat orang sakit, dengan meyakinkan kita bahawa mereka menyembuhkan penyakit.
Pernah dengar kan semua konspirasi ni?
Maka, izinkan aku untuk menambah lagi satu konspirasi;
Entah-entah semua konspirasi ini sengaja dicipta, untuk menyibukkan kita dengan hal-hal yang tak perlu dirisaukan.
Ya, aku tak pernah suka apabila orang bercerita tentang teori konspirasi secara umumnya.
Kenapa? Ada 3 perkara:
1. Ketiadaan bukti sebab & akibat yang boleh disahkan.
Ya, memang wujud perkaitan yang kuat, malahan sangat kuat. Sangat kuat, sehinggakan siapa yang tak percaya lagi macam tak ada akal yang logik.
Tetapi perkaitan tidak menunjukkan hubungan sebab & akibat (correlation does not equal causation). Sebarang perkaitan yang kita temui, tidak boleh kita simpulkan terus sebagai hubungan sebab & akibat.
Aku pun tak cakap benda tu salah juga. Aku cuma cakap itu hanya bukti perkaitan, bukan bukti sebab & akibat.
Contoh, kalau aku cakap, semakin banyak aiskrim yang terjual, semakin banyak kebakaran yang berlaku. Adakah itu logik? Adakah maksudnya, setiap kali aku memberi satu aiskrim, aku akan membakar sebuah rumah?
Mestilah tidak. Ada pembolehubah yang ketiga di sini; cuaca panas. Yakni, apabila cuaca panas, semestinya aiskrim makin banyak dibeli, dan semakin banyak kebakaran akan berlaku.
Jadi, selagi belum kita nampak dengan jelas pembolehubah ketiga itu, atau selagi hubungan perkaitan itu tidak dibuktikan sebagai hubungan sebab dan akibat, kita tak boleh dengan yakin mendakwanya sebagai hubungan sebab dan akibat.
2. Mendorong rasa takut & menghindar secara pasif.
Ambil contoh konspirasi di atas tadi. Apa antara reaksi pertama kita apabila kita dapat tahu tentang hal tersebut?
“Taknaklah naik kapal terbang lagi, nanti kalau kena dekat aku macam mana?”
“Jangan makan ubat doktor, kita kena cari ubat herba.”
Maka semua reaksi kita bersifat pasif & berpunca daripada ketakutan.
Tiada reaksi yang bersifat proaktif & berpunca daripada mentaliti penambahbaikan.
3. Mendorong untuk menyalahkan pelbagai pihak.
Salahkan itu, salahkan ini.
Konspirasi itu sebenarnya ialah sebuah kepercayaan. Yakni, tiada bukti sebab (bukan kolerasi) yang boleh disepakati oleh semua orang, tetapi ramai yang percaya (kerana ada bukti kolerasi).
Tak apa, percayalah apa yang anda mahu percaya.
Cuma anda tidak berhak untuk memaksa orang lain mempercayai apa yang anda percaya.
Yang penting, adalah apa tindakan kita selanjutnya.
Daripada salah-menyalahkan pelbagai pihak, lepas tu terus hidup dalam ketakutan & pengasingan?
Seperti yang aku cakap, kebanyakan kali kita berbicara tentang konspirasi, tiada ilham produktif yang kita dapat bawa pulang. Bahkan, rasa takut & paranoid memanjang & tanpa asas.
Jangan begitu. Allah pasti takkan menginginkan kita begitu; takut & bersembunyi semata-mata.
Bukankah kita ada Allah? Bukankah Allah itu tuhan kita?
Dia pasti kita menginginkan kita untuk mengosongkan segala ketakutan kita terhadap apa-apa selainNya. Dia pasti menginginkan kita untuk berhadapan dengan apa yang kita takuti itu dengan “Aku ada Allah.”
Tak ke?
Inilah yang aku maksudkan bila aku cakap aku tak suka orang bercerita tentang teori konspirasi.
Bukan kerana aku tak percaya. Ada sahaja teori yang aku pun percaya.
Tapi aku faham, oleh kerana tiada pembuktian sebab walaupun terdapat bukti perkaitan yang tinggi, maka teori itu hanya terhad sebagai apa yang aku sahaja percaya, tanpa mengira orang lain.
Dan walaupun aku percaya, hal tersebut tak adalah nak buat aku masuk lubang menyorok sepanjang masa. Aku akui realiti yang ada, hidup dalam kemampuan, dan gunakan peluang yang ada untuk meningkatkan diri.
Bukan menyebar ketakutan semata-mata.
Bukan tunduk takut kepada mereka.
Tak ke?