Skip to content

Perkauman (Racism): Punca & Penawar

Aku dulu susun dengan teliti poin-poin ini, untuk buat YouTube Live, ketika isu papan tanda “Rohingya Dilarang Masuk” tular.

Tetapi gaya aku cakap berterabur, buat aku sendiri tak puas hati dengan penyampaian aku. Tambahan pula, pada Deepavali lalu, mereka yang berbangsa India di Malaysia mengambil peluang untuk berkongsi pengalaman bagaimana mereka didiskriminasi di tanah air sendiri hanya disebabkan warna kulit mereka.

Ah, satu demi satu isu perkauman kita dengar. Tak surut panas satu isu, berbangkit satu isu lagi.

Bagaimana sebenarnya seseorang itu boleh bersifat perkauman? Tak boleh ke masalah perkauman ini diselesaikan sebenarnya?
Mari kita telusuri isu ini bersama-sama. Mari kita kenal pasti, apakah punca dan penawar, sikap perkauman.

Aku akan gunakan kedua-dua kes ini sebagai contoh-contoh utama dalam menerangkan isi-isi aku

  • Rohingya dilarang masuk kedai
  • Orang Malaysia yang tidak dapat sewa rumah kerana dia berbangsa India

 

Okey, sekarang korang cuba bayangkan aku yang sedang menulis artikel ini.

Barangkali komputer riba sedang terbuka depan mata, ada minuman panas di sisi, ada telefon bimbit juga di tepi komputer riba itu, dan bunyi ketuk ketak yang datang daripada papan kekunci tatkala aku menaip.

Senang saja kan nak bayangkan?

Tapi, betul ke apa yang kau bayangkan tu?

Aku boleh jadi menulis daripada telefon bimbit sahaja. Atau sebenarnya orang lain yang tulis, apa yang aku cakapkan saja. Aku boleh menulis di tengah-tengah hutan belantara. Aku mungkin boleh menulis dalam kereta.

“Memanglah, tapi kebarangkalian untuk kau menulis bukan di tempat-tempat itu adalah lebih tinggi.”

Haaa… itulah dia, aku persembahkan, heuristik.

Heuristik ialah jalan-jalan pintas yang otak kita ambil, senang cerita. Melalui heuristik, otak kita membuat perkaitan dan kesimpulan secara automatik, berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan pengamatan kita yang telah sedia ada.

Contohnya tadi, apabila aku suruh kau bayangkan aku menulis, automatik kau bayangkan komputer riba, meja, dan kopi. Sebab apa? Sebab itulah yang kau selalu tengok dalam wayang, dalam drama, atau sebab kau sendiri pun kalau menulis memang itu suasana biasa kau.

Kalau aku tanyakan soalan yang sama kepada budak umur 5 tahun misalnya, dia pula akan membayangkan aku sedang menulis dengan pensel dalam buku latihan di atas meja. Kenapa? Kerana itulah pengalaman, pengetahuan, dan pengamatan dia yang sedia ada, sebagai seseorang yang berumur 5 tahun yang baru masuk tadika. Bandingkan dengan kau yang dah besar panjang, yang dah tau teknologi serba serbi, memanglah tak sama.

Samalah dengan dua contoh utama tadi. Pemilik kedai, dan penyewa rumah tersebut, telah dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, dan pengamatan mereka terhadap kedua-dua bangsa ini.

Contohnya, kebanyakan orang Rohingya yang datang ke Malaysia, terutamanya dalam kalangan generasi pertama ialah pelarian. Mereka datang daripada satu tempat. ke satu tempat yang lain, dan ke satu tempat yang lain, untuk hidup. Mereka berlari, untuk hidup. Itu sahaja.
Dokumen? Polis? Kisah apa, yang penting aku hidup.

Maka, disebabkan situasi mendesak itu, mereka juga jadi agak demanding dalam meminta sedekah. Jadi, disebabkan hal ini, wujudlah persepsi bahawa peminta sedekah Rohingya sangat demanding. Maka, dari situ, wujudlah papan tanda tular tersebut.

Maka aku faham sebenarnya kenapa tindakan tersebut berlaku (larangan secara khusus terhadap bangsa yang khusus). Bahkan, kita yang sibuk bercerita mengenai hal ini pun, boleh jadi akan buat perkara yang sama juga, kalau kita berada di tempat dia. Sebab tampak jelas di mata, bahawa mereka sememangnya demanding. Dan tuan kedai berhak untuk melayan sesiapa yang dia mahu, dan tidak melayan sesiapa yang dia tidak mahu.

Tetapi adakah itu justifikasi untuk mereka?

Ingat satu benda, dalam kes ini, orang Rohingya demanding dalam meminta sedekah, kerana mahu kekal hidup.
BUKAN sebab mereka memang jahat, bukan sebab budaya mereka memang begitu, bukan sebab ‘genetik’ mereka memang begitu.

Namun, walaupun ini ialah fakta, otak kita lebih senang mengambil jalan pintas, dan terus mentafsirkan persepsi kita tadi bahawa; orang Rohingya memang demand dalam meminta sedekah. Kenapa? Otak kita nak jadi lebih efisyen; tiap kali jumpa orang Rohingya dia tak perlu susah payah berfikir adakah orang Rohingya ini demand dalam meminta sedekah, mahupun tidak.

Mari ambil contoh kedua pula. Kita cuba ambil contoh stereotaip ‘Orang India banyak buat jenayah’

Jika kita telusuri sejarah Tanah Melayu, kita akan dapati bahawa sosioekonomi mereka yang berbangsa India memang bertaraf rendah, daripada sebelum hinggalah selepas kemerdekaan (aku tak berminat untuk terang lagi ‘apa dan bagaimana’ bab-bab ni, so I’ll leave it here.)

Maka, antara prioriti mereka adalah untuk meneruskan kehidupan. Jadi, disebabkan situasi mendesak itu dialami secara unik oleh kaum India (aku tak cakap kaum lain tak susah, aku cuma cakap ini situasi unik kaum India), adalah munasabah untuk mengagak bahawa mereka lebih senang terjebak dengan aktiviti jenayah, untuk kekal hidup. Sebab, yang penting, aku hidup.

Jadi, disebabkan hal ini, wujudlah persepsi bahawa orang India ramai penjenayah. Maka, dari situ, wujudlah sikap ‘Indians not preferred‘ dalam kalangan penyewa rumah berbangsa lain.

Maka aku faham kenapa tindakan tersebut berlaku (larangan secara khusus terhadap bangsa yang khusus). Bahkan kita yang sibuk bercerita mengenai hal ini pun, boleh jadi akan buat perkara yang sama juga, kalau kita berada di tempat dia. Sebab tampak jelas di mata, bahawa mereka sememangnya banyak terlibat dalam aktiviti jenayahDan tuan rumah berhak untuk menyewakannya kepada sesiapa yang dia mahu, dan tidak menyewakannya kepada sesiapa yang dia tidak mahu.

Tetapi adakah itu justifikasi untuk mereka?

Ingat satu benda, dalam kes ini, orang India banyak terlibat dalam aktiviti jenayah, kerana mahu kekal hidup.
BUKAN sebab mereka memang jahat, bukan sebab budaya mereka memang begitu, bukan sebab ‘genetik’ mereka memang begitu.

Tetapi, walaupun ini ialah fakta, otak kita lebih senang mengambil jalan pintas, dan terus mentafsirkan persepsi kita tadi bahawa; orang India memang terlibat dalam aktiviti jenayah. Kenapa? Otak kita nak jadi lebih efisyen; tiap kali jumpa orang India dia tak perlu susah payah berfikir adakah orang India ini penjenayah, mahupun tidak.

Nampak tak kat sini? Walaupun mungkin pada awalnya kau tak nak percaya, otak kau yang membuat jalan pintas tu. Dan hal ini akan mempengaruhi tindakan dan pemikiran kau, secara sedar mahupun tidak.

Jadi itu langkah pertama bagaimana seseorang boleh bersifat perkauman: heuristik.

Mari kita teruskan garis masa kita.

Apabila orang Rohingya semakin lama dan semakin ramai duduk di Malaysia, maka populasi mereka juga semakin pelbagai. Ada yang datang dan bermastautin terus di Malaysia. Ada yang pulang semula setelah bertahun-tahun di Malaysia. Ada yang datang bukan daripada pelarian, tetapi juga untuk bekerja seperti biasa. Ada negara-negara jiran mereka yang serupa tetapi tidak sama, turut datang ke Malaysia. Yang bermastautin terus di Malaysia, ada yang berkahwin sama ada dengan orang Rohingya juga atau orang Malaysia, lalu mempunyai anak-anak. Kelakuan dan sikap mereka juga mula berbeza-beza, mengikut kawasan mereka. Contohnya, orang Rohingya di Kelantan mungkin suka makan budu, namun tidak bagi orang Rohingya di Terengganu yang suka mengunyah kerepok lekor.

Mereka bukan lagi sekadar ‘pelarian Rohingya’. Bukan nak kata pelarian Rohingya dah tak ada langsung. Tapi identiti mereka semakin bercambah daripada hanya sekadar pelarian, dan mereka semakin keluar daripada kepompong kesusahan hidup secara kolektif. Mereka tidak sekadar lagi ‘hanya mahu hidup’, maka kebanyakan mereka sudah tidak perlu meminta sedekah secara demanding lagi. Mereka mahu kestabilan hidup. Mereka mahu fokus membina keluarga. Mereka mahu kehidupan sosial mereka sendiri. Bahkan, mereka mungkin mahu jadi orang Malaysia!

Tetapi, disebabkan oleh heuristik minda kita, apabila kita jumpa orang Rohingya (atau yang seakan Rohingya juga), kita automatik akan menjauhkan diri, walaupun tiada bukti kukuh bahawa orang Rohingya itu (kalau betul pun) jenis demanding, atau bahkan jika dia seorang peminta sedekah sekalipun.

Dia boleh jadi seorang orang biasa, yang bekerja biasa-biasa secara sah, yang sudah pun mempunyai kestabilan hidup, bahagia dengan isteri dan anak-anak di sisinya. Tetapi kita yang tak tahu, pandang dia sekali, terus ingat dia peminta sedekah, hanya semata-mata kerana bangsanya.

Dan kita tak rasa pun untuk mempersoalkan lagi, ‘betul ke dia peminta sedekah atau tidak’, sebab otak kita be like, ‘eh betullah, dulu kau jumpa orang Rohingya (/ kau dengar cerita kawan/saudara kau jumpa orang Rohingya), dia peminta sedekah! Jenis kasar pulak tu.’

Masalahnya, kau dah tak betul dah. Sebab walaupun memang masih ada peminta sedekah Rohingya, masa dah berubah, dan keadaan mereka dah berubah. Tetapi kau takkan nampak dan sedar perkara tu, sehingga kau disedarkan dan dibuktikan salah. Tapi, dalam kau berfikir-fikir macam tu, takkan ada pula orang yang tiba-tiba datang kat kau & cakap ‘eh, sekarang ni orang Rohingya dah macam-macam. Mereka tak perlu lagi minta sedekah. Sekarang, mereka lebih kurang sama sahaja dengan kita.’
Kuasa membaca minda, setahu akulah, masih tidak ada di alam realiti.

Maka, disebabkan tiada counter-argument dalam kepala kau sendiri, maka kau pun balaslah, ‘haah betullah, dulu aku tahu orang Rohingya peminta sedekah, takkanlah salah pulak.’

Ini langkah kedua: pengukuhan heuristik.

Mari ambil contoh kedua.

Kawan-kawan kita yang berbangsa India pada hari ini, ialah hasil nenek moyang mereka dulu, yang mungkin datang dan bermastautin terus di Malaysia. Yang berkahwin, sama ada sesama orang India ataupun orang berbangsa lain di Malaysia, lalu mempunyai anak-anak. Kelakuan dan sikap orang India juga berbeza-beza, mengikut kawasan mereka. Contoh yang kita selalu dengar, bagaimana orang India di kawasan Kelantan boleh jadi amat fasih berbahasa Melayu berdialek Kelantan. Tapi cubalah kita minta dia cakap dialek Terengganu pula, barangkali tidak dapat. Maka ke Terengganulah kita, di mana kita boleh temui orang India yang fasih berbahasa Melayu berdialek Terengganu di sana.

Paling penting, sosioekonomi juga semakin pelbagai. Sudah ramai antara mereka yang membina kerjaya profesional, daripada segenap bidang; doktor, jurutera, peguam, dan sebagaimana. Bukan nak kata sudah tiada yang menjadi penjenayah. Tapi identiti mereka semakin bercambah daripada hanya sekadar ‘terlibat dalam aktiviti jenayah’, dan mereka semakin keluar daripada kepompong kesusahan hidup secara kolektif. Mereka tidak sekadar lagi ‘hanya perlu hidup’. Mereka sudah lama membina kestabilan hidup, mendirikan keluarga dan kehidupan sosial mereka di sini. Mereka sememangnya orang Malaysia seperti kita, dan hal ini sememangnya sah diiktiraf daripada segi sosial dan undang-undang sendiri. Dan mereka juga berbangga dengan identiti mereka sebagai seorang rakyat Malaysia, seperti kita juga.

Tetapi, disebabkan oleh heuristik minda kita, apabila kita jumpa orang India (atau yang seakan India juga), kita automatik akan menjauhkan diri, walaupun tiada bukti kukuh bahawa orang India itu (kalau betul pun) jenis terlibat dengan aktiviti jenayah.

Amat tinggi kebarangkaliannya bahawa dia merupakan orang yang biasa-biasa sahaja, seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lain. Tetapi kita yang tak tahu, pandang dia sekali, terus ingat dia penjenayah, hanya semata-mata kerana bangsanya.

Dan kita tak rasa pun untuk mempersoalkan lagi, ‘betul ke dia penjenayah atau tidak’, sebab otak kita be like, ‘eh betullah, dulu kau jumpa orang India (/ kau dengar cerita kawan/saudara kau (terutamanya yang tua!) jumpa orang India), dia penjenayah!’

Masalahnya, kau dah tak betul dah. Sebab walaupun masih ada penjenayah berbangsa India, masa dah berubah, dan keadaan mereka dah berubah. Tetapi kau takkan nampak dan sedar perkara tu, sehingga kau diyakinkan bahawa memang dalam masa dan keadaan sekarang, kebarangkalian untuk seseorang berbangsa India yang berstatus penjenayah itu, amat, amat rendah berbanding masa dan keadaan dahulu. Tapi, dalam kau berfikir-fikir macam tu, takkan ada pula orang yang tiba-tiba datang kat kau & cakap ‘eh, dah berpuluh tahun merdeka, tak sedar lagi ke orang India ada kiri kanan depan belakang kau? Takkan semua penjenayah? Takkan nak kaitkan lagi bangsa dan jenayah? Soalan tu tak patut timbul pun, they’re as Malaysian as you are.’
Itu kan membaca minda namanya.

Maka, disebabkan tiada counter-argument dalam kepala kau sendiri, maka kau pun balaslah, ‘haah betullah, dulu aku tahu orang India banyak terlibat dalam aktiviti jenayah.’

Jadi itu langkah kedua bagaimana seseorang boleh bersifat perkauman: peneguhan heuristik.

“Aku fahamlah isu orang Rohingya ialah isu orang yang baru. Tapi takkan orang India, yang dulu sama-sama memperjuangkan kemerdekaan kita, kita pun fikir macam tu?”

Ya, boleh jadi. Hasil daripada banyak faktor juga; kurang kontak, kurang integrasi, tahap keterbukaan minda, dan sebagainya.

Tetapi satu sebab utama, ialah perkauman sistemik (systemic racism).

“Ish, jaga mulut! Kita mana ada systemic racism macam dekat US, sampai bunuh-bunuh orang macam tu!”

Emm, nak sampai ada nyawa melayang baru kita label perkauman sistemik ke?

Sejujurnya, aku pun bukan pakar nak menerangkan perkauman sistemik ni apa sebenarnya. Tetapi ingat balik yang kita cakap tadi; sosioekonomi mereka yang berbangsa India memang bertaraf rendah, daripada sebelum hinggalah selepas kemerdekaan.

Ya, nenek moyang mereka dahulu sama-sama memperjuangkan kemerdekaan untuk kita. Ya, kita semua hidup (cukup) aman dan harmoni setelah hampir 70 tahun bersama-sama. Tetapi semua itu tidak menyebabkan kesusahan mereka lenyap begitu sahaja. Ya, semestinya status hidup mereka secara signifikannya sudah menjadi lebih baik, namun masih rendah secara relatifnya dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia. Perinciannya aku dah terang panjang semasa isu #BlackLivesMatter tular di media sosial, boleh baca di sini.

Poin aku ialah, isu mengenai kedua-dua bangsa yang aku jadikan contoh di sini, walaupun tidak serupa, mereka sama. Malah, kalau kau perasan, walaupun aku terangkan contoh kedua-dua bangsa dengan templat yang sama, aku menggunakan perkataan dan frasa yang berbeza-beza. Itu bukan saja-saja. Tengoklah balik apa yang berbeza, dan kau akan faham apa yang sama dan apa yang berbeza.

Okey, mari kita teruskan ke langkah ketiga dengan meneroka garis masa kita.

Semakin masa berlalu, semakin banyak kau akan terserempak dengan warga Rohingya di tempat kau kan? Dan makin ramai kau terserempak, makin kau perasan yang penampilan luaran mereka memang bukan penampilan ‘minta sedekah’ lagi.
Kau mungkin akan jumpa dia berbaju cantik, makan nasi dengan ayam masak kicap dengan sambal belacan seperti orang tempatan, bahkan berborak dengan orang tempatan seperti kau juga. Maka, secara kasarnya, dia boleh jadi seseorang berbangsa Rohingya yang sudah sekian lama duduk di Malaysia, dan mungkin secara sosial dan akulturasinya sudah menjadi seorang rakyat Malaysia, jika tidak secara sah pun.

Tetapi, hasil daripada peneguhan heuristik (langkah kedua), kau akan cuba menjustifikasikan heuristik kau sendiri. Jadi, walaupun sudah terang-terang kau nampak seorang berbangsa Rohingya yang bukan peminta sedekah, otak kau secara automatik juga akan mencari-cari penjelasan bahawa dia memang seorang peminta sedekah demanding yang kau fikirkan dulu.

“NGO mesti datang bagi bantuan dekat dia, bagi baju cantik-cantik.”
“Dapat duit bantuan, habis dia joli sakan kat makanan la tu.”
“Mesti dia dapat belajar bahasa Melayu hasil dia meminta sedekah dengan orang tempatan.”

Macam aku cakap tadi dalam langkah kedua, apabila dia fikir sebegitu, takkan ada orang yang boleh baca fikiran dia, lalu terus betulkan kesilapan fikiran dia. Jadi, disebabkan tiada counter-argument yang muncul dalam kepala dia (di mana hal ini akan lebih kerap berlaku setelah langkah kedua dilalui), dia pun bersetuju dengan kepala otak dia sendiri.
Maka, yang susahnya justifikasi heuristik ini ialah, susah untuk dibuktikan kepada individu ini sebaliknya, jika peneguhan heuristikya kuat. Sebab sebarang counter-argument terhadap heuristiknya, dia tak pandang sebagai bukti, atau sekurang-kurangnya sebagai hujah untuk dia fikirkan semula kebenaran heuristiknya. Dia akan pandang sebarang counter-argument sebagai perkara yang salah (walhal betul), dan dia akan pertahankan heuristik dia (walaupun salah). Ini petanda seseorang sudah pun masuk ke langkah ketiga; justifikasi heuristik.

Mari kita ambil contoh kedua. Sememangnya, sudah ramai orang India yang kita terserempak saban hari di kawasan kita. Dan penampilan mereka, sama variasinya dengan kita juga.
Kau akan nampak dia berbaju cantik, makan nasi dengan ayam masak kicap dengan sambal belacan seperti orang Melayu, bahkan berborak dengan orang Melayu dengan dialek yang sungguh fasih sekali. Tak syak lagi, dia seorang rakyat Malaysia yang biasa, yang sama statusnya dengan kita.

Tetapi, hasil daripada peneguhan heuristik (langkah kedua), kau akan cuba menjustifikasikan heuristik kau sendiri. Jadi, walaupun sudah terang-terang kau nampak seorang berbangsa India yang bukan penjenayah, otak kau secara automatik juga akan mencari-cari penjelasan bahawa dia memang seorang penjenayah yang kau fikirkan dulu.

“Orang penjenayah, takkanlah nak tunjuk dekat khalayak umum dia penjenayah kan?”
“Kerja dia tu cuma cover kerja-kerja gelap dia je.”
“Uish, ada tatoo besar dekat bahu dia, geng mafia mana ni?” (btw ini bukti paling lame la bahawa seseorang tu penjenayah)

Macam aku cakap tadi dalam langkah kedua, apabila dia fikir sebegitu, takkan ada orang yang boleh baca fikiran dia, lalu terus betulkan kesilapan fikiran dia. Jadi, disebabkan tiada counter-argument yang muncul dalam kepala dia (di mana hal ini akan lebih kerap berlaku setelah langkah kedua dilalui), dia pun bersetuju dengan kepala otak dia sendiri.
Maka, yang susahnya justifikasi heuristik ini ialah, susah untuk dibuktikan kepada individu ini sebaliknya, jika peneguhan heuristikya kuat. Sebab sebarang counter-argument terhadap heuristiknya, dia tak pandang sebagai bukti, atau sekurang-kurangnya sebagai hujah untuk dia fikirkan semula kebenaran heuristiknya. Dia akan pandang sebarang counter-argument sebagai perkara yang salah (walhal betul), dan dia akan pertahankan heuristik dia (walaupun salah). Ini petanda seseorang sudah pun masuk ke langkah ketiga: justifikasi heuristik.

Jadi itu langkah ketiga bagaimana seseorang boleh bersifat perkauman: justifikasi heuristik.

Lepas langkah ketiga, apa jadi?

Jumpa orang Rohingya -> peminta sedekah!
Jumpa orang India -> penjenayah!
walaupun sudah jelas dibuktikan daripada segi statistik, sosial dan sejarah bahawa nombornya tidak signifikan

Barulah terjadi perkauman, yakni melayan seseorang hanya & hanya semata-mata kerana bangsanya/kaumnya.

Daripada contoh-contoh yang diberikan, jelas bahawa kecenderungan seseorang untuk bersifat perkauman, tidak dipengaruhi oleh budaya, sejarah atau kelakuan sebenar bangsa yang didiskriminasi. Sebaliknya, hal tersebut banyak dipengaruhi oleh mentaliti seseorang itu sendiri, daripada segi darjah keterbukaannya dan betapa seseorang itu sangggup dicabar bahawa apa yang dipercayai oleh dirinya mungkin boleh jadi salah.

Jadi, bagaimana kita hendak mengelakkan sifat perkauman? Bagaimana kita tak mahu heuristik yang secara dasarnya menolong kita, bertukar menjadi senjata yang memusnahkan kita?

Ada 3 langkah juga sebenarnya.

1. Akui heuristik kita.

Akui (acknowledge) apa-apa sahaja yang kita fikirkan, dan akui bahawa apa-apa sahaja yang kita fikirkan boleh jadi salah. Ya, boleh jadi betul juga, tapi boleh jadi salah juga.

Dan kalau kau salah, mestilah kau sedih kan? Tak apa, akui perasaan itu juga.
Dan apabila sudah salah, mestilah segan untuk ubah mentaliti dan perangai diri sendiri kan? Akui perasaan itu juga.
Kalau kau tak berubah, atau perubahan kau tak membawa kesan pun, akui itu juga.

Akui sahaja, kerana walaupun kekok & susah, hal tersebut akan lebih memudahkan kau untuk berubah.

Contohnya, kau yang membaca, mungkin sedih apabila kau rasa kaulah orang yang termasuk dalam contoh aku ni. Kau yang selalu pandang semacam dekat orang Rohingya selama ini. Kau yang selalu cepat-cepat kunci pintu kereta, apabila nampak ada orang India berdekatan.

Maka, akui bahawa kau pernah terfikir sesuatu yang salah. Dan perkara itu sendiri tidak salah, kerana otak kau membina heuristik secara automatik.
Akui bahawa kau sedih apabila kau dapat tahu perkara itu salah.
Akui bahawa kau segan nak berubah, atau segan apabila kau nampak tak berubah, mana-mana yang kena pada kau.

Katakan, selepas kau dah baca artikel ini, dan tahu bahawa kau salah, tetapi kau masih rasa takut & masih kunci pintu kereta apabila ada orang India berdekatan. Tak apa, akui juga perkara itu.
‘Ah, aku dah tahu perkara sebenar, tetapi masih takut. Tak apa, emosi aku bukan aku yang adakan, dia cuma datang. Aku pun masih kunci kereta. Aku tak patut buat begitu lagi. Aku buat sebab aku takut. Tak apa, aku akan cuba untuk tak buat lagi.’

Aku pandang, pengakuan-pengakuan sebegitu seperti pelincir. Rasa melekit di jari, tak selesa. Tetapi pelincir itu perlu ada dulu untuk kita baiki pintu yang berkeriuk. Apabila pelincir ada, baru kita boleh betulkan pintu.

2. Cuba neutralkan bahasa.

Baik dalam minda, mahupun dalam perbualan.

Dan benda ni takkan jalan kalau tiada kesedaran dan pengakuan diri. Sebab tu langkah pertama tadi penting, kena buat dulu.

Contohnya, dalam kes viral ‘Rohingya dilarang masuk’, aku setuju dengan sesetengah pihak bahawa perkataan ‘Rohingya’ itu ditukar kepada ‘peminta sedekah’. Sebab dalam kes ni, memang pemilik kedai tidak mahu peminta sedekah masuk. Dan ya, mungkin pemilik kedai itu nampak macam semua peminta sedekah yang datang ke kedainya orang Rohingya. Tetapi jelas bahawa, individu yang tidak dikehendaki itu ‘peminta sedekah’, bukan ‘orang Rohingya’.

Hal ini penting, supaya kita tak masuk ke langkah kedua. Atau kalau dah termasuk pun, boleh keluar balik. Dalam kes ini, apabila dibuang perkataan Rohingya itu, kita akan lagi senang belajar bahawa orang Rohingya di Malaysia sekarang ini bukan hanya sekadar peminta sedekah/PATI/pelarian. Mereka ada juga yang bekerja dalam buruh mahir, mereka ada budaya mereka sendiri, mereka ada keindividuan mereka sendiri, dan sebagainya.

Atas sebab yang sama, dalam kempen Buy Muslim First, aku cukup tak suka dengar frasa ‘beli produk Melayu & boikot barang Cina’. Pertamanya, walaupun betul kebanyakan perusahaan besar di Malaysia dimonopoli orang berbangsa Cina, hal itu langsung tidak menjustifikasikan frasa tersebut, di mana kita memukul rata satu bangsa, hanya kerana sebahagian orang berbangsa Cina yang menggunakan kuasa ekonomi mereka untuk menghalang bangsa lain (bukan Melayu sahaja) mendominasi, yang di mana secara realitinya, nombor mereka berapa kerat sahaja.
Ini sentimen perkauman yang jelas lagi nyata.

Keduanya, kalau aku asyik guna bahasa ini, setiap kali aku nampak orang berbangsa Cina, aku takkan terfikir perkara-perkara seperti
‘nak minta tolong uncle ni kejap’,
‘uncle ada duit pecah ke?’,
‘wah cantik baju uncle ni, mana dia beli’,
dan sebagainya.
Aku hanya akan fikir ‘kena boikot barang dia’.

Padahal, apa salah dia, seorang lelaki rawak berbangsa Cina yang aku jumpa di jalanan, yang aku kenal pun tidak, dengan jurang ekonomi yang berpunca daripada penjajahan Tanah Melayu selama beratus-ratus tahun, yang baru sahaja kita mahu pulih daripadanya selama hampir 70 tahun?
Kesian dia.

Etnik Cina, seperti yang kita tahu, sangat pelbagai di Malaysia. Sebagai etnik kedua terbesar di Malaysia (24.6%), agama mereka, budaya mereka, kepercayaan mereka, mempunyai pelbagai variasi. Siapa yang ‘baik’ dan siapa yang ‘jahat’ juga mempunyai variasi mereka yang tersendiri, seperti etnik Melayu juga. Kenapa perlunya kita gunakan perkataan yang bersifat menyerang secara keseluruhan?

Kekalkan sahaja bahasa seneutral yang boleh. Contoh dalam Kempen Buy Muslim First, cukuplah kita cakap, ‘beli produk Muslim & sokong perniagaan Muslim sebanyak mungkin’. Tambahlah juga kalau mahu, ‘jangan beli produk bukan Muslim’ atau ‘elakkan produk dan perniagaan bukan Muslim’. Itu pun bukan dalam konteks membenci, tetapi dalam konteks kepada siapa kita memilih untuk menyalurkan sumber kita yang sudah sedia terhad.

3. Akui apa yang kita percaya, sebagai apa yang kita percaya sahaja

Nampak lebih kurang sama dengan langkah pertama kan? Ya, sebab benda ini perlu ditekankan lagi, dan perlu dilakukan sepanjang masa, sepanjang kita bertemu dengan perkara-perkara yang mencabar apa yang kita percaya.

Contohnya tadi, apabila aku suruh kau bayangkan aku menulis, automatik kau bayangkan komputer riba, meja, dan kopi. Senang saja untuk kau membayangkan begitu, walaupun tiada bukti bahawa aku mungkin menulis di dalam belantara dengan monyet berpaut di atas bahu aku.

Tapi tak apa, kau boleh saja percaya apa yang kau percaya, sebab aku tak adalah pula betul-betul cakap aku dalam hutan.
Dan kalau aku cakap aku dalam hutan pun, kau boleh saja percaya bahawa aku menipu.

Tetapi itulah hadnya. Kau hanya boleh percaya (atau tidak percaya) kata-kata aku. Kau tidak boleh buktikan pun di mana aku sebenarnya, sekurang-kurangnya dalam masa dan di posisi kau sekarang, sebagai seseorang yang sedang berbaring di atas sofa dan membaca artikel ini. (But hey, I could be wrong, right? 😉)

Kita hanya bertindak berdasarkan bukti, bukan semata-mata berdasarkan apa yang kita percaya sahaja.
Dan bercakap pasal isu perkauman ni, pada kebanyakan masa, kita tak perlu buat apa-apa pun.
Kita sekadar fikir, akui apa yang kita fikir dan apa hadnya, dan teruskan kehidupan.

Contoh tadi, apabila aku nampak orang Rohingya berbaju segak, makan dan berbual seperti orang tempatan.
Aku boleh saja fikir, ‘dia peminta sedekah!”
tapi kemudian ‘oh, aku rasalah dia peminta sedekah, tak tahu betul ke tak.”
kemudian teruskan sahaja apa yang aku buat tadi tanpa menghiraukannya lagi. Barangkali aku juga sedang menjamu selera juga, seperti dia.

Ya, penerangan punyalah panjang. Apa yang kau perlu buat? Dua dialog itu sahaja. Ringkas.

 

Kesimpulan:

3 langkah bagaimana seseorang boleh ada sifat perkauman:

  1. Heuristik

  2. Peneguhan Heuristik

  3. Justifikasi Heuristik

Dan 3 langkah untuk mengelak menjadi seseorang yang ada sifat perkauman:

  1. Akui heuristik

  2. Cuba neutralkan bahasa

  3. Akui limitasi apa yang minda kita percaya

Heuristik; kau takkan mampu mengawal kewujudan mereka dalam minta kau, tetapi kau mampu mengawal kesedaran kau terhadap mereka.

Akhir kata, moga pembacaan ini dapat memberi manfaat. Ambil apa yang baik, tinggalkan apa yang buruk. Sebab aku percaya, aku memang tidak 100% betul, tetapi aku takkan 100% salah. Malah, tinggalkan pendapat anda juga mengenai hal ini sekiranya mahu, agar kita dapat saling memperbetulkan dan saling memperbaiki diri masing-masing.

Terima kasih.

Leave a Reply