Keyakinan: Adakah Nature atau Nurture?
Seperti kebanyakan perkara, ramai orang sangka keyakinan diri ni adalah sesuatu yang semulajadi. Ada orang yang memang sentiasa akan yakin, dan ada yang akan selama-lamanya bergelut dengan rasa ragu-ragu terhadap diri sendiri.
Sebenarnya, keyakinan ialah satu aspek psikologi yang kompleks, dan ianya tidak datang daripada satu punca sahaja. Bahkan, ia terbentuk hasil interaksi banyak faktor yang saling mempengaruhi antara satu sama lain; contohnya seperti pengalaman hidup, kualiti perhubungan dengan orang lain, dan pencapaian diri.

Perbezaan “Faktor dengan Punca”
Apakah faktor-faktor yang boleh mempengaruhi keyakinan seseorang?
Perhatikan betul-betul soalan saya tu. Saya tak gunakan perkataan ‘sebab’ atau ‘punca.’ Ayat yang saya gunakan ialah ‘mempengaruhi keyakinan,’ bukannya ‘menyebabkan keyakinan.’
Penting sangat ke perkataan ni? Apa bezanya ‘faktor’ dengan ‘sebab’ atau ‘punca’?
Menurut bidang psikologi, apabila kita menilai seseorang, adalah penting untuk kita melihat semua faktor secara menyeluruh. Kepercayaan, emosi dan tingkah laku manusia tidak pernah datang hanya daripada satu punca atau sebab semata-mata. Bahkan, kesemuanya sentiasa dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang berinteraksi antara satu sama lain.
Contohnya, katakanlah Aminah ialah seorang wanita yang anti-lelaki. Masa zaman sekolah, tak habis-habis dia cari pasal dengan lelaki. Masa di universiti, hanya sedikit lelaki yang berani mendekat; itu pun kesemua hubungannya tidak kesampaian. Lepas bekerja pun, pantang ditanya soalan bila nak kahwin. Apabila kita selidik, rupa-rupanya Aminah dulu telah didera oleh bapanya semasa kecil.
Adakah kita boleh katakan, penderaan bapanya itu menyebabkan Aminah anti-lelaki? Kalau itu betul, kenapa ada ramai lagi mangsa dera yang tidak anti-lelaki?
Mungkin Aminah sendiri sudah berusaha untuk berfikiran positif tentang lelaki. Namun, kerana persekitarannya yang penuh dengan lelaki yang kurang baik, pengalamannya dengan mereka terus menjadi buruk. Atau sebaliknya, boleh jadi juga Aminah sebenarnya berpeluang untuk mengubah pandangannya apabila didekati oleh lelaki yang ikhlas, tetapi dia enggan berubah dan memberi alasan, “Ah, semua lelaki sama saja!”
Kita boleh tengok dekat sini, sikapnya yang anti-lelaki tidak hanya bergantung kepada pengalaman lampaunya semata-mata. Aminah juga berpeluang untuk mengubah sikapnya sendiri jika dia membuka minda dan hatinya. Tetapi pada masa yang sama, kita boleh faham juga sekiranya Aminah trauma untuk berbuat demikian.
Banyak kan faktor dekat sini?
Jadi kita tak boleh cakap penderaan bapanya menyebabkan dia jadi anti-lelaki. Tetapi kita boleh cakap, satu faktor yang mempengaruhi Aminah untuk menjadi anti-lelaki ialah penderaan bapanya.
Nampak tak perbezaannya dekat situ?
Dan pengaruh itu boleh ditambah atau dikurangkan. Sebagaimana ada faktor yang boelh mempengaruhi sesuatu kepercayaan, emosi atau tingkah laku, maka akan ada faktor-faktor lain juga yang boleh mengurangkan pengaruh tersebut.
Contohnya, mungkin faktor utama sikap anti-lelaki Aminah ialah penderaan bapanya. Selain itu, pengalamannya bercinta dengan lelaki-lelaki yang teruk juga menyumbang sedikit sebanyak. Tetapi pada masa yang sama, sebenarnya dia ada seorang pakcik yang menjaganya dengan cukup baik. Maka, oleh sebab adanya kehadiran pakcik ini sebagai father-figure menggantikan bapa kandungnya, sikap anti-lelaki Aminah tidaklah menjadi terlalu teruk.
Ini satu contoh faktor penghalang; faktor yang menghalang pengaruh faktor lain daripada mengukuhkan sesuatu kepercayaan, emosi atau tingkah laku.
Inilah pentingnya kita gunakan perkataan ‘faktor’ berbanding ‘punca’ atau ‘sebab.’ Segala kepercayaan, emosi dan perbuatan kita boleh dipengaruhi oleh pelbagai perkara. Ada faktor yang menggalakkan, ada juga faktor yang menghalang.
Kehidupan ialah Interaksi Faktor-faktor yang Saling Mempengaruhi
Berikut merupakan jenis-jenis faktor yang perlu dipertimbangkan dalam menilai psikologi seseorang:
- Persekitaran individu (contoh: tempat tinggal, tempat kerja)
- Hubungan sosial (dengan kawan, keluarga, rakan sekerja, dsb)
- Latar belakang (contoh: pendidikan, pengalaman semasa kanak-kanak)
- Kesihatan: fizikal (contoh: tahap kecergasan, stamina badan) dan mental (contoh: kecenderungan (predisposition) seseorang untuk mengalami kemurungan, keresahan, dsb)
Ya, sampai kesihatan badan yang pada luarannya macam tak ada kaitan dengan psikologi pun, kena ambil kira. Hakikatnya, apabila badan kita lemah secara fizikal, minda kita pun boleh jadi lemah dalam menghadapi stres. Hal ini akan membuatkan kita lebih terdedah dengan masalah-masalah kesihatan mental.
Subahanallah, begitulah Allah menciptakan kita; kesemua aspek kehidupan kita saling berkait. Kesihatan fizikal, mental dan spiritual perlu dijaga keseluruhannya, kerana mereka saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Berbalik kepada topik asal kita, iaitu keyakinan. Apakah faktor-faktor yang boleh mempengaruhi keyakinan kita?
Faktor pertama: Persekitaran (Environment)
Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa yang baik akan mampu mendidik anak-anak yang bagus. Kanak-kanak yang membesar dengan sihat dan ceria tanpa trauma, mindanya akan berkembang dengan sewajarnya. Di sekolah, kalau seseorang pelajar itu diberi peluang untuk meneroka bidang yang diminati, disokong oleh guru-guru yang membimbing, dan dimasukkan pula dalam pertandingan-pertandingan untuk menyalakan motivasi, hal ini boleh memupuk keyakinan seseorang.
Itulah faktor-faktor yang ideal lagi indah. Realitinya, tidak semua unsur kehidupan kita itu sempurna. Sebagaimana ada banyak faktor yang boleh membina keyakinan kita, ada banyak juga faktor yang boleh meruntuhkannya.
Ada ibu bapa yang asyik melemahkan semangat si anak, tetapi hal itu ditebus oleh guru-guru dan kawan-kawan di sekolah yang tidak putus meniupkan keazaman. Sebaliknya, ada juga ibu bapa yang sangat menyokong anaknya untuk maju ke depan dalam kehidupan. Tetapi dia dikekang oleh halangan lain seperti persekitaran sekolah yang tidak kondusif, masalah kewangan, dan sebagainya.
Ada juga kes ibu bapa sudah baik, guru-guru dan rakan-rakan juga sudah menyokong. Tetapi diri sendiri pula tidak mahu ke depan. Dirinya sendiri yang tidak yakin untuk meraih pencapaian. Memang dalam kes ini, sebaik mana pun faktor luaran seseorang itu, takkan mampu membangkitkan keyakinannya selagi dia tidak menyelesaikan isu dalamannya sendiri.
Ingat, kesemua faktor ini perlu dilihat secara menyeluruh. Kemudian, kita boleh tolong di bahagian yang kita boleh usahakan. Dalam contoh ini, kalau ada ibu bapa yang perlu ada usaha lebih untuk meyakinkan si anak, maka fokus di situ. Kalau tiada peluang di sekolah, carikan peluang untuknya di luar sekolah. Itulah antara cara-cara kita boleh meningkatkan pengaruh sesuatu faktor untuk meningkatkan keyakinan seseorang.

Faktor kedua: Pencapaian (Achievement)
Hal ini juga jelas; semakin banyak pencapaian yang kita dapat, semakin bertambah keyakinan kita. Terutamanya kalau kita ada individu-individu yang hampir serupa dengan kita untuk kita bandingkan.
Lagi-lagi kalau kita dalam pertandingan; sama ada pertandingan itu ialah satu acara yang nyata berlaku, atau ‘pertandingan’ yang kita sendiri ciptakan dalam kepala kita dengan orang lain.
Contohnya, katakanlah kita menang dalam pertandingan lumba lari. Keyakinan diri kita akan meningkat. Yalah, kita sudah berlari selaju mungkin untuk mengalahkan peserta lain yang juga laju-laju belaka. Jadi apabila kita menang, maksudnya kita telah diiktiraf sebagai yang terbaik antara yang terbaik! Mestilah kita akan bertambah yakin.
Tetapi apabila kita pulang ke kampung, makcik-makcik akan mula membandingkan kita dengan sepupu-sepapat lain. Kejayaan kita dalam pertandingan tadi tidak dipandang mereka, sebaliknya mereka berusaha mencari setiap kelemahan kita. Belajar tak pandai. Masak tak reti. Kulit tak putih. Macam-macamlah.
Haish… kita ni pun, bukannya nak bersaing dengan sepupu sendiri. Tetapi keadaan sekeliling (seperti kata-kata makcik-makcik tadi) yang mencetuskan (trigger) rasa ‘bertanding’ dalam kepala kita secara tidak sengaja. Sedikit sebanyak, kita pun akhirnya akan terpengaruh lalu berfikir sendiri, “Aku ni apa je yang ada? Sepupu lain semuanya lagi bagus, aku je yang teruk.”
Ini satu contoh yang berlawanan daripada situasi pertandingan tadi; di mana keyakinan boleh menurun apabila kita dibandingkan dengan orang lain, lalu kita rasa kita tidak sehebat mereka.
Kesimpulan
Kedua-dua faktor—persekitaran dan pencapaian—saling melengkapi.
Persekitaran menyediakan ruang dan peluang, manakala pencapaian memberi bukti kepada diri bahawa kita mampu.
Jika hari ini anda merasa tidak yakin, ketahuilah bahawa perasaan tersebut tidak kekal. Setiap perubahan kecil dalam persekitaran dan tindakan anda adalah faktor yang sedang memperkukuh keyakinan dalam diri.
Tidak perlu tergesa-gesa. Keyakinan tidak dibina dalam sehari, tetapi melalui perjalanan yang penuh kepercayaan dan kasih sayang terhadap diri sendiri.
Teruskan Perjalanan Keyakinan Anda
Apa yang anda baca di sini hanyalah sebahagian kecil daripada perbualan jiwa yang lebih dalam yang telah saya huraikan sepenuhnya dalam buku saya, “Yakinlah, Allah Ada!”

Dalam buku ini, saya menulis secara komprehensif tentang topik keyakinan, dan bagaimana keyakinan sebenar hanya akan hadir apabila hati bersandar kepadaNya 💜
Teruskan perjalanan anda dalam membina keyakinan dengan mendapatkan buku ini.
✨ Kerana anda layak untuk yakin.
