Memandangkan aku tak jumpa pautan ke keratan akhbar ini, aku kongsikan saja ciapan Bukhari Ramli ini di sini.
Apa perkara pertama yang terlintas dalam fikiran kau apabila kau dengar berita ni?
“Anak muda sekarang, pantang nampak duit, terus tak nak sambung belajar!”
Ah, senangnya kita yang dewasa ini menghakimi.
Walhal, jika kita berada di tempat mereka, jawapannya terang lagi bersuluh.
Kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) meningkat daripada tahun RM908 pada tahun 2016, kepada RM2,208 pada tahun 2019.
Hanya dalam 3 tahun, nombor tersebut telah meningkat lebih dua kali ganda. Belum ambil kira situasi pandemik lagi.
Bayangkan kau sedang sesat di padang pasir, dan sedang sangat kehausan. Tiba-tiba dengan pertolongan Tuhan, kau terjumpa sebuah botol air yang ditinggalkan, dengan air minuman yang berbaki suku. Lalu kau segera minum air tersebut. Bukan semata-mata untuk kelegaan, bahkan untuk menyelamatkan diri.
Tiba-tiba ada orang lalu di sebelah kau dan berkata, “Alah, lemah! Sikit lagi jalan depan tu dah ada orang jual air sirap kot.”
Di mana keutamaan kau pada masa itu; meneruskan perjalanan yang tidak pasti untuk air sirap yang sedap dengan risiko mati sebelum sampai, atau minum air mana yang dapat jika jumpa dulu untuk elak mati kehausan?
Samalah dengan para remaja sekarang. Mereka memilih untuk minum dahulu air yang ada (bekerja lepas SPM dalam bidang buruh mahir, dengan ilmu & pengalaman yang sedikit), daripada meneruskan perjalanan untuk air sirap kerana mereka tahu mereka tak larat (meneruskan pendidikan tertiari yang akan memakan wang, masa & tenaga, tanpa jaminan ‘kerja tinggi’ yang kukuh).
Sistem ‘belajar tinggi-tinggi supaya dapat kerja bagus’ sudah tidak berkesan. Zaman di mana pendidikan diberikan kelebihan (privilege) telah lama berlalu, di mana tangga sosioekonomi boleh dinaiki dengan mudah melalui subsidi pendidikan, daripada segi kewangan mahupun peluang pekerjaan.
Pada waktu sekarang ini, sistem ini tidak lagi menjamin pekerjaan. Bahkan sebaliknya, sistem ini telah menjadi satu perjudian; dengan risiko yang amat besar dan peluang kejayaan yang amat tipis.
Maka kenapa perlu berjudi? Salah ke untuk bermula dengan apa yang ada, lalu perlahan-lahan membina kehidupan?
‘Kerja bagus’ itu sendiri bukan sesuatu yang mereka tujukan atau impikan. Hidup bersederhana itu kurang tekanannya, membolehkan mereka untuk menerokai kehidupan sebenar-benarnya; mendalami sistem kepercayaan mereka, mencuba perkara baru yang mungkin menjadi minat mereka, atau hanya sekadar untuk bersuka ria. Kehidupan itu yang lebih menjadi idaman.
Macam aku cakap tadi, amat senang untuk kita yang dewasa menghakimi mereka. Walhal, sebab mereka memilih untuk terus bekerja selepas SPM, ialah sebab yang sama mengapa The Great Resignation sedang berlaku sekarang, sesuatu yang kita juga orang dewasa sedang lalui.
Bezanya, kalau kita mengalami The Great Resignation, mereka mengalami The Great ‘never applying in the first place,’ bak kata GaryVee.
Kita yang dewasa ini, telah membesar dengan peluang yang sangat tipis untuk kita bertanya mengapa ibu bapa kita suruh masuk ke sekolah sekian, dapatkan gred sekian dan masuk ke universiti sekian. Kebanyakan kita akan rasa ditekan untuk mengikut arah kehidupan yang ibu bapa kita tunjukkan.
Walaupun kita tidak ingin mengikuti arah tersebut. Walaupun jika benar kita tidak dipaksa ibu bapa kita sekalipun, kita tidak nampak lagi arah lain. Barangkali menjadi seorang Muslim di negara Asia Timur, setiap butir kata ibu bapa seperti arahan keseluruhannya, walaupun mereka mungkin hanya memberikan cadangan atau pendapat.
Hakikatnya, sebelum kita membuat keputusan untuk diri sendiri, kita perlu mengenali diri sendiri terlebih dahulu. Jadi, apabila kita tiada peluang untuk mempersoalkan arah kehidupan yang ditekankan kepada kita, kita hilang peluang untuk membentuk kesedaran diri kita (self-awareness). Untuk mengenali diri sendiri.
Dan harga yang perlu generasi kita bayar untuk mendapatkan kesedaran diri itu semula, ialah sebuah pandemik.
Dalam krisis kesihatan yang tenat, yang memberi kesan kepada ekonomi, yang mengubah landskap kerjaya ini, baru kita sedar bahawa arah kehidupan di dunia terdapat pelbagai, dan bersifat anjal, yakni boleh berubah-ubah.
Sejauh mana rasa sayang kita terhadap ibu bapa kita, sejauh mana kita mahu memuliakan hasrat mereka, sejauh mana kita rasa kita perlu ikut tahap piawai masyarakat, kita sendiri pun tak tahan untuk melakukannya selamanya, selagi kita tak rasa arah yang mereka bawakan itu padan dengan nilai-nilai yang kita percaya.
Semasa dunia berkrisislah, baru kita sedar peri pentingnya untuk hidup berlandaskan nilai-nilai kita, dan tidak bergantung kepada nilai-nilai orang lain.
Sebab itu masa wabak ini barulah kita berani menghulurkan surat letak jawatan yang selama ini bertahun-tahun tersimpan dalam beg galas kita.
Dan siapa yang memerhati semua ini?
Remaja kitalah.
Jadi, setelah mereka dapat keputusan SPM, dan akhirnya setelah 17 tahun hidup mereka ada peluang untuk menentukan arah kehidupan mereka,
adakah mereka akan lakukan kesilapan yang sama?
Mestilah tidak.
Dan kerana itulah, aku sangat gembira untuk mereka.
Aku sangat gembira kerana mereka berpeluang untuk belajar pengajaran yang amat berharga, tanpa mereka perlu lalui apa yang kita lalui.
Dan aku ada hadiah untuk mereka.
Tolong sampaikan ebook percuma ini kepada mereka.
Dalam ebook ini terdapat langkah-langkah yang boleh mereka lakukan sebaik saja mereka dapatkan keputusan SPM mereka. Langkah-langkah bukan setakat untuk mendapat kerja, bahkan untuk mereka merealisasikan kerjaya impian mereka.
Sebab aku percaya, dalam keputusan mereka untuk hidup bersederhana, impian tinggi mereka tidak pernah padam. Maka sampaikan ebook ini kepada setiap remaja yang kau kenali, untuk kita bantu mereka mencapai impian mereka, tanpa mereka perlu melalui kesilapan-kesilapan kita.
Terima kasih.