Skip to content

Perancis

Disclaimer: Cerpen ini diinspirasikan, namun tidak diadaptasikan, daripada kejadian-kejadian yang tular berikutan sikap Perancis mengenai Nabi Muhammad.

Apa perbezaannya?

Sememangnya jika anda menelusuri kisah ini, semua wataknya anda akan dapat agak disandarkan kepada sesiapa (diinspirasikan). Namun begitu, cerita ini tidak bukan meniru, memomok atau memparodikan apa yang berlaku dalam realiti (tidak diadaptasikan). Bacalah cerita ini hanya sebagai sebuah fiksyen yang tersendiri sahaja,

Contohnya, Perancis dalam kisah ini, memang wataknya diinspirasikan daripada negara Perancis di realiti. Namun, dalam kisah ini, Perancis hanya sekadar nama seorang peniaga di kampung.
(penerangan watak-watak akan diterangkan pada pengakhiran cerita untuk pencerahan lebih lanjut)

Kritikan & pembetulan amatlah dialu-alukan. Semoga cerita ini memberi manfaat kepada yang membaca.

Kringg!!!

Rutin harian Perancis bermula seperti biasa. Bangun pagi, gosok gigi, mandi, makan sarapan, bersiap untuk keluar berniaga. Kelihatannya seperti rutin pagi biasa yang membosankan.

Namun tidak bagi Perancis, pada hari ini.

Dia bangun dengan dada yang berdebar-debar. Gosok gigi pun tak perasan terlalu kuat sehingga berdarah. Masa mandinya pula lebih lama dihabiskan dengan termenung kosong. Makan sarapan juga seperti tidak tertelan dek tekak.

Bersiap untuk keluar berniaga? Lagilah langkahnya seakan lemah.

Dia takut.

Sudah tersebar berita mengenainya kepada seluruh warga kampung itu, mengenai gurauan kasarnya kepada geng Islam. Secara khususnya, gurauan tersebut ialah mengenai ketua geng Islam bernama Muhammad. Sungguh, dia tidak menyangka, gurauan yang dia kongsikan sesama geng Eropahnya itu boleh diketahui orang lain, bahkan tersebar pula. Ah, cakap siang kena pandang-pandang, cakap malam kena dengar-dengar juga!

Sekarang, dia harus keluar berniaga seperti biasa. Mahu cari makan. Namun, sudah dia kedengaran ura-ura geng Islam mahu memboikot barang-barangannya, dan betapa mereka berusaha melobi warga kampung yang lain juga untuk berbuat demikian.

Dia sendiri pun tak tahu apakah tanggapan geng Eropah terhadapnya. Bukan dia tak tahu, ahli-ahlinya semua talam dua muka. Apabila bersama-sama dengannya memanfaatkan mereka, maka bersama-samalah mereka. Namun, di hadapan geng Islam juga, mereka turut acah-acah menghulurkan solidariti & mengutuk Perancis juga.

Bukan dia tak tahu.

“Tak apa kot, aku antara peniaga penting dekat sini. Banyak barang yang aku jual, barang keperluan ramai. Mustahillah semua orang akan tiba-tiba boikot aku macam tu saja.”

Perancis cuba menyedapkan hati sendiri. Sedar tak sedar, dia sudah berada di hadapan muka pintu.

Dia menarik nafas panjang. Hatinya cuba dikuatkan. Tombol pintu dipulas. Langkah pertama diambil.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Lewat petang, sudah banyak kedai mula mengemaskan barang-barang dan bersiap untuk pulang.

Begitu juga dengan Perancis. Dia merenung kepada barang-barangnya yang masih banyak belum laku terjual.

Tak sangka, boleh tahan menjadi juga boikot mereka.

Sepanjang hari tersebut, dia dapat rasakan suasana yang lain. Kebanyakan orang di situ hanya sekadar lalu dan tersenyum kepadanya. Berborak pun sekadar berbasa-basi, sekadar untuk bersopan. Namun tidak dibeli barang-barangnya.

Yang membeli juga tidak menampakkan riak gembira. Bahkan, ada yang tampak menyembunyikan muka, memandang curiga kanan dan kiri sebelum membeli. Senang sahaja untuk Perancis agak bahawa geng individu tersebut memboikotnya, namun dia masih memerlukan sesuatu secara khusus daripadanya.

Perbualannya dengan Itali, seorang ahli geng Eropah yang lain, yang berlaku dalam waktu tengahari tadi, terimbas kembali.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Sabarlah ya Perancis, nak buat macam mana…”

“Sabar tu sabarlah, barang ni kau tak nak beli? Aku nak makan juga. Jualan aku menjunam 60%!”

*memandang kiri kanan* “Ish, kau ni agak-agaklah, tengahari buta ni semua orang boleh nampak aku. Aku pun ada reputasi yang kena dijaga.”

*tarik muka masam* “Macam ni lah kawan ya.”

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tetapi Perancis faham sahaja. Kalau Perancis berada di tempat yang Itali, dia juga akan melakukan perkara yang sama.

Perancis menghela nafas berat. Tangannya mula lincah mengemaskan barang-barangnya.

Sepuluh minit kemudian…

“Tuan!”

Perancis mendongak. Kelihatan seseorang sedang berlari ke arahnya.

Dia menelan air liur. Kalau hari biasa, dia tidak akan ada apa-apa kerunsingan. Namun, pada waktu sebegini, dia tidak dapat mengenalpasti apa niat individu itu mendekatinya. Kawan atau lawan? Akan berkata manis atau kesat terhadapnya?

Lelaki tersebut kemudiannya berhenti berlari. Dia membongkok, termengah-mengah menghela nafas. Beberapa seketika, dia kembali berdiri tegak.

“Bawang ada?”

Mata Perancis bersinar sebentar. Pelanggan rupanya.

Tapi… ah. Kenapa masa nak kemas gerai baru dia datang?

Perkara ini memang antara yang menimbulkan perasaan yang bercampur baur dalam hati para peniaga; pelanggan yang datang pada saat-saat akhir, ketika hati dan minda peniaga sudah awal-awal melayang ke rumah. Namun, kerana duit di tangan para pelanggan, kebiasaannya diturutkan juga kehendak mereka.

Apatah lagi untuk Perancis. Satu sen pun amat berharga padanya sekarang ini.

“Ah, ada!”

Perancis segera mengeluarkan bawang yang sudahpun dikemasnya sebentar tadi, dan menunjukkannya kepada pemuda tersebut. Namun, dia dapat lihat bahawa mata lelaki tersebut hanya memandang sekilas bawang yang susah payah dikeluarkan semula. Sebaliknya, dia memandang gerai tersebut secara keseluruhan.

Betul ke dia nak beli bawang aku ni? Dalam waktu-waktu sebegini juga, tidak hairan hati Perancis akan lebih senang untuk berlaku curiga.

“Nak beli berapa banyak?” kelakuan yang biasanya menjengkelkan itu cuba untuk tidak diendahkan. Sabar, Perancis.

“Sebelum tu, saya minta maaflah datang lewat pula. Niat saya tak adalah nak datang selambat ini, tapi paip pecah di rumah pula,” pemuda tersebut menggaru kepalanya, serba salah.

“Tak apa,” Perancis sekadar tersenyum segaris. Permohonan maaf tersebut dihargai. Sepertinya pemuda tersebut dapat membaca fikirannya juga. Namun lebih baik sekiranya pemuda tersebut segera menyatakan bahawa dia ingin membeli sesuatu!

Pemuda tersebut kemudiannya memandang ke tanah. Sepertinya dia ada sesuatu yang ingin diungkapkan, namun berat di bibirnya untuk melakukan demikian. Namun, hela nafasnya kedengaran sepertinya dia mahu bercakap juga.

“Saya tahu siapa tuan sebenarnya, dan saya dah dengar apa yang berlaku. Jadi saya betul-betul niat sebenarnya nak tolong tuan, dengan membeli segala apa barang-barang yang berbaki pada hari ini.”

Perancis membeliakkan mata. Dipandangnya hampir separuh barangannya yang masih belum dikemaskannya. Dipandang semula wajah lelaki tersebut.

“Betul ke?” hanya itu yang terkeluar daripada mulut Perancis. Bersyukurnya tidak terkira.

Dia mengangguk, tersenyum segaris.

“Mari, saya tolong kemaskan sekali juga, alang-alang saya yang akan bawa semua barang” pemuda itu tiba-tiba menyingsing lengan bajunya.

“Eh, eh, tak apa…” tak menyempat pun Perancis menghalang, pemuda itu terus ligat bekerja.

“Tak apa, saya pun dulu selalu meniaga di pasar juga, saya cukup mahir untuk tolong tuan.”

Hampir mahu menitis air mata Perancis. Hari yang terasakan suram, tiba-tiba diselamatkan oleh pemuda ini.

“Terima kasih sekali lagi sudi membantu saya. Susah-susah saja tuan datang semata-mata ke pasar sini, dari mana?” sambil-sambil mengemas, Perancis cuba berborak.

“Saya dari kawasan timur.”

Ish, jauh tu dari timur dia datang ke pasar barat. Tak hairan juga dia terlambat datang.

Memang pasar barat selalu dikunjungi oleh penduduk segenap tempat kerana kebanyakan barang-barangan penting datang daripada sini. Namun, untuk datang jauh-jauh hanya kerana mahu membeli barang daripadanya, tatkala semua orang sedang memboikotnya? Perancis kagum.

“Dari timur, dari kawasan mana?”

“Timur, dari kawasan tengah.”

Perancis semakin terpegun. Di situlah geng Islam menetap. Itu memang semua orang tahu. Berani betul pemuda ini keluar, secara terbuka, dan berurusan dengannya pada waktu dan ketika ini.

“Geng Islam tak marahkah?” Perancis tahu dia tidak patut sibuk tepi kain orang, tetapi dia tidak dapat menahan rasa ingin tahunya daripada bertanya.

“Tak apa,” pemuda itu sekadar tersenyum, tanpa sedikit pun berlengah dalam dia bekerja dan mengemas. Sepertinya soalan itu tidak ada kesan terhadapnya.

“Umm… ketua tuan tak marah ke?” sekali lagi, selepas semua yang berlaku, Perancislah orang yang paling tidak layak untuk bertanya soalan tersebut. Lagipun, dia sendiri tak tahu, betul ke tidak pemuda ini ahli geng Islam. Walaupun geng Islam memang terkenal dengan duduknya mereka di timur tengah, namun banyak sahaja geng lain yang menetap di situ.

Namun dia mahu tanya juga.

“Tak apa,” sekali lagi respons yang cukup santai diberikan.

Perancis terdiam sebentar. Kagum.

Haish, kalau akulah, tak berani!

“Tapi itulah dia, saya nak tanya juga sebenarnya, kenapa tuan buat begitu ya?”

Perancis tersentak dengan soalan itu.

Sesaat dia terasa, sejujurnya. Namun cepat saja perasaan itu berlalu pergi.

Kedengaran jelas dalam nada pertanyaan tersebut, dia betul-betul bertanya dan betul-betul ingin tahu.

Dia tersentak, kerana tiada seorang pun yang pernah bertanyakan dia soalan tersebut.

Seluruh warga kampung tersebut hanya sekadar memboikot habis-habisan, atau berdiam diri. Namun tiada yang mendekatinya dan berusaha untuk mengetahui cerita tersebut.

Geng Eropahnya tidak bertanya kenapa dia sanggup bergurau keterlaluan begitu; mereka hanya sekadar mengikut ketawa bersama-sama pada malam itu.

Geng Islam juga tidak ada seorang pun yang datang bertanya kepadanya mengenai kejadian yang mereka dengar namun tidak mereka nampak di hadapan mata.

“Umm… kenapa tuan tanya?”

Pemuda tersebut masih kekal dengan senyumannya.

“Tuan datang membeli ni nak bantu saya, maksudnya tuan sokong sayalah kan?” melihatkan soalan pertamanya tidak dijawab, Perancis melontarkan soalan kedua.

“Saya tak sokong sesiapa. Saya datang membeli sebab saya memang nak bantu tuan. Saya bertanya sebab alang-alang saya membeli di sini, baiklah saya tahu cerita daripada empunya diri.”

Perancis mengerutkan dahi, namun tidak juga dia mampu membalas apa-apa.

Betullah apa dia cakap.

“Saya tak maksudkan apa-apa perkara buruk. Memanglah saya tak suka Muhammad tu… tapi semua orang ada juga orang yang mereka tak suka kan? Hatta sebelum semua ini berlaku, mesti ada orang yang memang tak suka saya pun. Saya okey saja!”

Pemuda tersebut mengangguk-angguk, tanda memahami.

“Ya, saya akui, lawak malam semalam agak melampau. Tapi itulah, saya sekadar bergurau dengan kawan-kawan.”

“Kenapa tuan tak suka Muhammad?”

Perancis teragak-agak seketika. Pemuda ini sendiri dia tidak tahu siapa. Namun, terdapat rontaan kecil dalam hatinya yang mahu meluah semua kekecewaannya pada hari itu kepada pemuda tersebut. Rasa terhutang budi, barangkali. Kebengangan ditinggalkan kawan-kawan rapat sendiri, itu satu hal juga.

“Bukan setakat Muhammad, saya memang tak suka geng Islam sebenarnya. Tengoklah gaya kehidupan mereka, sangat berbeza! Takut pula saya, barangkali mereka semua taksub dengan Muhammad, sehingga seakan-akan membentuk satu kultus yang tersendiri.”

“Jadi, tuan tak suka mereka sebab mereka berbeza daripada tuan?”

Ajaib sungguh pemuda ini, bagaimana dia mampu bertanyakan soalan-soalan sebegitu sensitif, dengan ikhlas sekali.

“Iya, macam saya cakap tadi kan, salah ke kalau tak suka seseorang?”

“Tapi itu tidak menjustifikasikan gurauan kasar tuan, kan?”

“…ya.”

“Okey.”

Seketika, suasana senyap kembali. Hanya tangan masing-masing yang ligat bekerja.

Namun, jauh di sudut hati, Perancis berpuas hati. Dapat meluahkan apa yang terpendam di hati, itu satu. Yang mengagumkannya, pemuda ini berpegang kepada kata-katanya; dia sekadar mahu tahu apa yang berlaku. Dia tidak memarahinya, tidak mencercanya, tidak juga diberikan nasihat atau bersyarah tanpa dipinta.

Lima belas minit kemudian, mereka berdua selesai berkemas.

“Terima kasih banyak-banyak sekali lagi tuan sudi membeli semua barang saya hari ini. Em, minta maaf pula tiba-tiba jadi sesi meluah pula,”Perancis menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Saya ada hadiah untuk tuan sebenarnya.” pemuda tersebut mencapai beg silangnya.

Hadiah lagi?

“Eh, tak payah tuan! Tuan berbudi banyak lagi dengan saya hari ini, tak sanggup saya nak menerima apa-apa lagi,” Perancis cemas menolak.

“Tolonglah terima, tuan. Saya memang bawakan dari rumah khas untuk tuan,” sebuah buku dikeluarkan daripada beg silangnya, dan diberikan kepada Perancis.

Perancis berkerut memandang muka depannya. Tajuk bukunya dalam bahasa asing, yang tidak dapat dibacanya.

Syama’il Muhammadiah.

“Dan kalau betul tuan ingin membalas budi, datanglah ke timur tengah dan buatlah permohonan maaf secara rasmi kepada kami,” pemuda itu tersenyum, sebelum perlahan-lahan melangkah pergi, bersama-sama segala barangan Perancis.

Perancis dihentam perasaan dan pemikiran yang bercampur baur. Keliru dengan buku yang diberikan sebagai hadiah yang dia tidak pasti apakah isinya. Sedikit keinsafan menerpa; ya, nak tak nak, dia memang perlu meminta maaf kepada geng Islam, dan kepada Muhammad, secara terbuka dan terang-terangan.

Yang paling penting…

Kami? Dia sebut ‘kami’? Maksudnya dia ahli geng Islam ke sebenarnya?

“Tuan! Tuan geng Islam ke?” dalam kekeliruan, Perancis melaung kepada pemuda tersebut yang sudah lebih kurang seratus meter di hadapannya.

Dia tidak menoleh.

“Siapa nama tuan?” Perancis berlari-lari anak sambil bertanya. Barangkali dia tidak dengar kerana jarak sudah jauh.

Kali ini dia menoleh.

“Muhammad.”

Apa?

Perancis berhenti melangkah secara mendadak.

Dia Muhammad?

Dia ketua geng Islam?

Dia yang aku kutuk habis-habisan malam tadi?

Pemuda tersebut, Muhammad, sekadar melempar senyum segaris, sebelum dia kembali menoleh ke depan dan meneruskan perjalanan.

“TUNGGU!”

KRINGG!

PRANGG!!!

Tubuhnya daripada terbaring terus 90 darjah terduduk di atas katil.

Kedengaran seseorang berlari-lari anak menuju ke bilik tersebut. Beberapa saat kemudian, pembantunya datang masuk.

“Tuan Presiden? Tuan tak apa-apa?”

Dia terkelip-kelip seketika, sebelum kemudian mengangguk, “Ya, ya, saya tak apa-apa.”

Peliknya mimpi tadi.

Tiba-tiba daripada menjadi seorang presiden negara Perancis, dia menjadi orang kebanyakan yang menjual di jalanan. Namanya juga bertukar menjadi nama negara sendiri! Bertambah seram apabila apa yang sedang berlaku di negaranya, turut ikut masuk ke mimpinya.

Emmanuel Macron mencapai jam loceng yang dia tertepis tadi, yang membuatkannya jatuh ke lantai. Bunyinya dimatikan, dan diletakkan atas meja lampunya. Ketika itu dia ternampak sebuah buku, yang membuat matanya terbuntang.

Buku yang baru dia lihat beberapa minit lepas, dalam mimpinya.

Syama’il Muhammadiah.

“Buku apa ni? Macam mana buku ni boleh ada dekat sini!” Emmanuel Macron bertanya kelam-kabut.

Pembantunya itu memaparkan muka serba salah. Tuan presidennya baru saja bangun tidur, takkanlah dia mahu terus menyemakkan kepalanya dengan bercerita tentang hal bersangkut paut dengan masalah negara.

Namun dia menjelaskan jua.

“Em, disebabkan isu yang sedang tular mengenai negara kita… mengenai lukisan nabi orang Islam… pihak Kedutaan Malaysia menghadiahkan buku tersebut kepada kita.”

“Kedutaan Malaysia datang malam tadi? Kenapa saya tak tahu?”

“Eh tidak. Pembantu mereka sahaja yang datang. Baru tadi sebenarnya. Saya pun letak terus di bilik tuan tadi sebab tidak manislah juga kalau ramai orang yang nampak. Nasib baik juga dia hantar pagi-pagi. Baru saja saya keluar dan turun tangga, saya terdengar bunyi prang tadi, itu yang saya terus dapat datang. Betul ke tuan tak apa-apa ni?”

Soalan pembantunya dibiar tidak berjawab. Dia terus berlalu ke tingkap biliknya. Jika benar apa yang dikatakan, maka pembantu kedutaan tersebut masih belum meninggalkan perkarangan rumah.

Telahannya tepat. Setibanya dia di tingkap, dilihat seseorang sedang bersembang dengan pengawal keselamatan yang menjaga rumahnya. Seketika kemudian, datang sebuah kereta lain, untuk menjemputnya pergi.

Maka sembang-sembang pagi mereka dihentikan di situ. Pembantu tersebut tersenyum melambai kepada pengawal keselamatannya. Secara automatik pula dia terlihat Emmanuel Macron yang berada di tingkap. Mereka bertaut pandangan.

Matanya sekali lagi membuntang. Muka pembantu tersebut, saling tidak tumpah seperti Muhammad dalam mimpinya.

Pintu tingkap dibuka luas.

Dia melaung.

“MUHAMMAD!”

Pemuda tersebut sekadar tersenyum segaris, sebelum masuk ke dalam kereta. Kereta tersebut perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah presiden Perancis.

 

TAMAT.

Penerangan watak-watak

  • Watak Perancis dalam kisah ini diinspirasikan daripada negara Perancis di realiti. Namun, dalam kisah ini, Perancis hanya sekadar seorang peniaga di kampung.
    [Dan selepas mimpi berakhir, watak Presiden Emmanuel Macron, kekal sebagai watak dalam cerita fiksyen ini. Segala perlakuan watak tersebut yang ditulis hanya sekadar untuk cerpen ini, tidak diadaptasikan daripada perlakuan-perlakuan Presiden Perancis yang sebenar]
  • ‘Geng-geng’ dalam kisah ini diinspirasikan daripada kelompok-kelompok negara yang sedia ada di realiti (cth negara-negara Eropah, negara-negara Islam), sama ada berdasarkan geografi atau kepercayaan. Namun, dalam kisah ini, ‘geng-geng’ merujuk kepada kelompok-kelompok penduduk kampung sahaja.
  • Muhammad dalam kisah ini diinspirasikan daripada Nabi Muhammad, pesuruh terakhir dalam Islam. Namun, dalam kisah ini, Muhammad hanya merujuk kepada ketua ‘geng Islam’ di kampung.
    [Dan selepas mimpi berakhir, Muhammad juga merujuk kepada pembantu Kedutaan Malaysia di Perancis sahaja.]

Leave a Reply