Skip to content

Takut (Bahagian 1)

6:45 petang.

Masih berbaki beberapa belas minit lagi untuk Amir berjalan di pasar malam tersebut. Bukan selalu, hanya pada hari Jumaat sahaja pasar malam itu dibuka. Maka memang kebiasaannya Amir tidak mensia-siakan peluang tersebut dengan menyinggah ke situ sebelum dia pulang ke rumah, yang hanya mengambil masa 5 minit berjalan kaki daripada pasar malam tersebut.

Bunyi eksos generator. Bunyi para peniaga dan menjaja melaung “mari, mari! murah, murah!”. Bunyi dengusan para pekerja mengangkat kotak berat-berat. Bunyi mainan-mainan, dan lagu-lagu yang dipasang oleh peniaga yang menjual gadget dan elektronik.

Hanya di sini sahaja Amir boleh bertoleransi dengan bunyi-bunyi tersebut. Dia kebiasaannya hanya suka duduk di rumah, dan tidak menggemari bunyi bising. Adiknya pasang bunyi yang lantang sikit di telefonnya pun, dia sudah mengugut untuk membaling apa-apa sahaja di sekelilingnya sebagai senjata.

Tetapi di sini, sepertinya dia tidak kisahlah. Entahlah, mungkin sebab norma dan kebiasaan, membuatkan dia automatik menyesuaikan diri.

“Mari, mari! Buah-buah semua murah!”

“Satu kilo, lima ringgit, satu kilo, lima ringgit, SATU KILO, LIMA RINGGIT!”

Ah, bingit.

Namun sedikit pun tidak menggoyahkan Amir. Bahkan dia mula mendekati, kerana dia sudahpun nampak apa yang diingini olehnya.

Buah anggur hitam, tanpa biji.

Uncle, nak rasa.”

Lelaki yang kelihatannya berusia dalam pertengahan 50-an itu lantas membuka bekas yang berisi anggur itu, dan menyerahkan kepada Amir.

Amir tidak makan terus. Diperiksa segenap segi buah itu, dibelah dahulu untuk memastikan betul ke tak ada biji. Dan apabila sebiji dimakan, Amir mengunyah perlahan-lahan, mahu memastikan keseimbangan tahap kemanisan dan kemasamannya.

Kenapa sebegitu cerewet? Sebab dia tahu, apabila dia menjumpai buah anggur hitam, tanpa biji, dia harus membeli dalam kuantiti yang banyak. Kerana seluruh ahli keluarganya akan menyerbu dek kesukaan mereka terhadap buah yang satu ini. 

Setelah sekian lama merasa, Amir akhirnya menganggukkan kepala. Kelihatannya dia bersetuju untuk membeli. Namun, satu soalan keramat mesti diutarakan dulu; harga.

“Kalau ambil empat kotak, berapa ringgit?”

“RM40”

Mahalnya!

Mata Amir membulat.

Meja sebelah sana sibuk laung sekilo lima ringgit, takkan empat kotak ni RM40!

Baru sahaja Amir mahu membuka mulut membantah, tiba-tiba dia diselubungi satu bayang-bayang hitam besar. Pantas dia menoleh ke sebelah, untuk melihat apa yang menghalang lampu kalimantang daripada menyinarinya lagi. 

Lelaki. Berbaju tanpa lengan. Tatu menyelubungi tangan kiri dan kanannya yang berotot sasa. Bercermin mata hitam lagi, walaupun hari sudah mahu senja.

“Eh Kumar! Lama tak nampak, apa cerita?” penjaja tersebut menyapa lelaki tersebut.

“Pandailah kau Leong, aku baru dua minggu tak datang,” lelaki tersebut menyapa kembali.

Tanpa dia sedari, Amir di sebelahnya sudah seperti cacing kepanasan. Niatnya yang mahu tawar-menawar berhenti begitu sahaja. Melihatkan kemesraan mereka berdua, Amir takut sekiranya dia diapa-apakan kalau-kalau dia cuba bercakap apa-apa. Penampilan dan perwatakannya, membuatkan Amir risau; mungkin orang ni gangster kawasan sini.

Amir mengintai penjaja-penjaja lain. Memang pada kebanyakan masa, dia akan cuba membeli daripada penjaja Melayu juga. Baginya, dijamin halal kebersihan dan urusannya apabila membeli daripada penjaja Melayu. Malangnya, disebabkan pandemik COVID-19, kebanyakan peniaga Melayu sudah malas turun padang; menyebabkan lebih banyak peniaga bukan Melayu memonopoli pasar malam tersebut. 

“Adik!”

Amir tersentak. Mengelamun rupanya dia, entah berapa lama.

“Jadi beli tak ni?” penjaja tersebut bertanya.

“Err… ha, saya beli empat kotak,” pantas Amir bersetuju. 

Lelaki yang dipanggil Kumar tadi masih di sisinya. Kelihatannya kini dia lebih fokus untuk memilih buah-buahan di depan mata. Buah-buahan manga yang terletak betul-betul di sebelah kotak anggur hitam itu, dipegang dan ditelitinya satu persatu.

Penjaja yang dipanggil Leong tadi pula pantas dan tangkas membungkus keempat-empat kotak buah anggur hitam, tanpa biji tersebut. Amir juga dengan pantas menghulurkan tepat-tepat RM40.

Selesai barangan bertukar hak milik, Amir cepat-cepat angkat kaki. Semakin jauh dia berlalu, semakin normal ritma jantungnya terasa.

Namun, setelah dalam 30 saat menapak, Amir terhenti sendiri. Dia mengetap bibir.

Aku buat lagi.

Dia meraup muka.

Aku rasis.

Dia menghela nafas berat.

Ketakutan pada makhluk mula beredar daripada hatinya. Kini dia takut, apa agaknya persepsi Tuhan terhadap dirinya.

Bersambung...

1 thought on “Takut (Bahagian 1)”

  1. Pingback: Takut (Bahagian Akhir) – Kelly Telly

Leave a Reply