Skip to content

Takut (Bahagian 2)

10:45 malam.

Amir termenung kosong di katil. Sejak dia melangkah masuk ke rumah, memberikan kotak-kotak anggur kepada ahli keluarganya, selepas itu mandi, solat, dan menyiapkan kerja sekolah, peristiwa tadi masih berlegar di kepalanya.

Dia tahu dia telah melakukan satu kesalahan. Kesalahan yang kerap kali dia lakukan. Kesalahan yang sudah berapa banyak kali ayahnya tegur.

“Jangan buruk sangka dengan orang.”

“Don’t judge a book by its cover.”

“Jangan buat sangkaan sendiri hanya semata-mata kerana sifat luaran seseorang.”

Tetapi, Amir sendiri pun tak tahu, nampak sahaja lelaki berperwatakan sedemikian, dia akan terus kecut perut.

Amir akui, dia memang jenis pengecut dan penakut. Nampak serangga, dia lari pecut dulu. Rumah hantu, dia memang takkan jejak kaki ke situ. Sebarang pergerakan tiba-tiba, dia akan senang melatah. Kalau elektrik tiba-tiba tak ada di tengah malam, dia yang mula menjerit dulu.

Banyak sudah usikan dia dengar. Banyak kali dia kena buli sebab perkara ini. Tapi lantaklah, dia tak kisah. Bagi dia, mengakui bahawa dirinya itu pengecut juga merupakan sesuatu yang berani.

Jadi… kalau aku takut dengan orang-orang sedemikian, tak salah la kan? Sebab aku ni kan memang penakut.

Dia mencapai telefon bimbitnya. Pelayar internet Google dibuka.

Lagipun, memang ramai orang India memang terlibat dalam aktiviti jenayah kan? My fear is justifiable… right?

Sendiri tanya, sendiri jawab. Amir cuba meredakan hati dengan jawapan yang dia fikirkan logik.

Tetapi, dia dapat rasa, ada yang tak kena juga dengan jawapannya.

Jari jemarinya lincah menekan kekunci di telefon bimbitnya. Dia mahu mencari tentang kadar jenayah dalam kalangan orang India di Malaysia.

INDIAN GANGSTERISM: A Brief Introduction (Jabanathan, -)

The recent police operation to go after gangsters, of whom many were Indians, has raised an alarm amongst the Indian community of the severity of the problem of Indian gangsterism. Especially worrisome is to read of our Indian youths, most of whom are aged between 20-30, involved in hard core gangsterism.

Total number of gang organisations – 49
Out of this 49 organisations, 38 are Indian gangs linked to gangsterism.

Representation of the three racial groups in these
gangs: 70% Indians, 25% Chinese, 4.7% – Malays

Mata Amir membuntang.

Rising crime among Malaysian Indians worrying (Hindustan Times, 2008)

Malaysian Indian Congress (MIC) president S Samy Vellu says the community is alarmed at the recent spate of violent crimes involving its youths being reported in the media almost daily.

Hmm… jadi betullah?

Amir mengurut-urut dagu sendiri.

Psychological and criminogenic factors underlying gangsterism among Indians in Malaysia from the perspective of ex-gangsters and police personnel (Durairaja, Mat Saat, & Kamaluddin, 2019)

In recent years, gangsterism and gang related activities among Indians are perplexing and alarming.

Selama-lama tahun 2008, sehingga ke data terkini 2019, semuanya mengatakan perkara yang sama.

Logik Amir terjawab. Namun, sesuatu dalam hatinya meronta-ronta, mengatakan bukan itu jawapannya.

Amir lantas bangun meninggalkan katil dan bilik tidurnya. Dia menapak terus ke tingkat bawah ke ruang tamu.

Ayahnya sedang duduk di atas sofa, bercakap dengan seseorang di telefon. Tidak diketahuinya siapa. Yang pasti, di hujung talian ialah seseorang berbangsa Cina, kerana ayahnya sedang bercakap dalam bahasa Mandarin.

Amir mengambil tempat duduk di sofa bertentangan dengan ayahnya, yang dipisahkan oleh meja kopi panjang di ruang tamu itu. Dia memandang ayahnya. Ayahnya memandangnya juga. Tiga saat mereka bertentang mata, sebelum ayahnya mengangguk dan kembali kepada perbualan.

Begitulah caranya Amir, dan keseluruhan ahli keluarganya meminta izin sesama sendiri untuk berbincang, ketika pihak yang lagi satu sedang sibuk. Sekadar bertentang masa tiga saat, sebelum pihak tersebut mengangguk, memberi isyarat bahawa mereka akan cuba menamatkan apa-apa sahaja yang mereka lakukan secepat mungkin, untuk berbicara. Amir sukakan cara itu kerana baginya privasi yang ditanya sangat terjaga, dan dia pada awalnya terkejut apabila mendapati, sebenarnya tak ramai pun keluarga yang buat begitu.

“… okey, okey, bye!” hanya tiga patah terakhir itu sahaja yang dapat difahami oleh Amir, sebelum panggilan tersebut ditamatkan.

“Ha, ada apa?” tanya Encik Zafran. Tumpuannya beralih kepada anak sulungnya itu sepenuhnya.

“Siapa dalam telefon tadi?”

“Alah, kawan lama ayah juga masa sekolah rendah dulu. Gigih pulak dia mencari nombor ayah dalam kumpulan WhatsApp sekolah tu,” kata-kata Encik Zafran diakhiri ketawa kecil. Masih berbaur perasaan tidak sangka.

“Kawan masa sekolah Cina dulu?”

“Yalah, sekolah mana lagi? Ayah mana ada pindah sekolah ke apa?”

“Kawan baik ke?”

Encik Zafran mengurut-urut dagu seketika, mengimbas kembali kenangan hampir 30 tahun lepas.

“Hmm, boleh tahanlah. Lima tahun ayah sekolah, satu darjah, tapi tak pernah nampak, perasan, atau tegur dia. Betul-betul masa darjah 6, baru ayah satu kelas dengan dia, duduk sebelah dia. Terus kitaorang ngam. Tapi itulah, setahun je la. Ayah pun ingat lagi, kitaorang sedih sangat waktu tu nak berpisah lepas UPSR. Masing-masing punyalah beria-ia berjanji nak saling berhubung. Tapi itulah kali terakhir ayah nampak dia.”

Amir hanya diam mendengar.

“Jadi yalah, kawan baik, tapi sayang setahun je,” Encik Zafran menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal.

“Baik je la dulu ayah dengan dia selama berkawan tu?” tanya Amir.

“Mmm… biasalah berkawan ni, adalah masa kita bergaduh jugak. Tapi gaduh-gaduh macam tu je la. Kan ayah cakap tadi, kitaorang pun kawan satu tahun je, masa darjah enam pulak.”

“Memang tak ada masalah? Walaupun dia lain?” tanya Amir.

“Lain apa?” kening Encik Zafran bertaut.

“Bangsa?”

Suasana senyap seketika.

Kening Encik Zafran masih bertaut. Lima saat kemudian baru dia melontarkan soalan. Sepatah perkataan, namun tidak disangka oleh Amir.

“Jadi?”

Amir pula yang terdiam.

Ayah… betul-betul tak ada rasa berbeza ke? Bergaul dan berkawan dengan mereka yang berlainan bangsa?

Satu kemungkinan mula difikirkannya.

Jadi mungkin, perbezaan antara bangsa tak adalah seketara yang aku sangka?

“Kenapa? Amir ada masalah dengan kawan ke? Masalah dengan kawan bukan Melayu?” tanya Encik Zafran lagi, masih dalam kehairanan. Bukanlah satu kebiasaan untuk seorang remaja lelaki menceritakan masalah persahabatan mereka, terutamanya dengan seorang ayah. Hal ini lebih sinonim dengan remaja perempuan bersama-sama ibunya. Namun, Encik Zafran lebih daripada sedia untuk mendengar jika itu yang diinginkan oleh anak lelakinya.

“Bukan…” Amir menghela nafas berat di hujung kata-katanya.

Macam mana nak cerita ya?

Ah, cerita je la semua benda!

Maka Amir menceritakan kesemua benda.

Tentang perbezaan sikap dalam berniaga yang dia lihat antara peniaga Melayu dan peniaga bukan Melayu.
Tentang lelaki India yang dijumpainya yang berpenampilan gangster.
Tentang statistik signifikan yang ditemuinya

Paling penting, tentang ketakutan dan rasa bersalahnya.

“Oh…”

Hanya bunyi itu yang keluar daripada mulut Encik Zafran sepanjang Amir bercerita, diselang-selikan dengan mengangguk-anggukkan kepalanya. Baru dia faham, apa sebenarnya yang mahu dibincangkan oleh Amir.

“Okey, okey, faham, faham,” Encik Zafran mula membetulkan duduknya. Amir yang melihat terus mendiamkan diri dan bersedia untuk mendengar. Sebab dia tahu, apabila ayahnya mula membetulkan duduknya, itu petanda bahawa dia akan bercakap untuk tempoh masa yang lama.

“Okey, cuba ambil contoh dekat pasar malam tadi. Katakanlah memang ada gangster dekat situ. Sekarang ayah nak tanya, kebarangkalian yang lebih tinggi; orang Melayu di pasar malam tu, atau orang India berbadan besar bertatu yang Amir nampak tu?”

“Orang India tu la.”

Duh.

“Salah.”

Hah?

“Kenapa?”

Encik Zafran tidak menjawab. Dia sekadar tersenyum simpul, seolah-olah berkata ‘cuba fikir balik betul-betul’.

Amir mengalihkan pandangan daripada wajah ayahnya. Ditenungnya ke sofa di belah kanannya dalam-dalam, macamlah di atas sofa itu ada jawapannya. Sel-sel otaknya dipaksa untuk berhubung. Namun dia masih kekaburan.

Ayah main teka-teki apa pula malam ni?

“Okey, sini.”

Amir kembali memandang ayahnya.

Encik Zafran menayangkan telefon bimbitnya. “Mana satu kebarangkaliannya lebih tinggi?  Satu, telefon ayah ada aplikasi WhatsApp. Dua, telefon ayah ada aplikasi WhatsApp, Facebook, Shopee, Lazada, Trivago, Muslim Pro, Grab, FoodPanda…”

“Ah…” Amir mula faham. Mestilah kebarangkalian telefon mempunyai aplikasi WhatsApp lebih tinggi. Semakin banyak lagi aplikasi yang ayahnya akan senaraikan, semakin itu mengurangkan kebarangkaliannya bahawa telefon Encik Zafranlah telefon yang dimaksudkannya.

“Lagi satu, katakanlah Amir sekarang tengah pening kepala. Mana satu kebarangkaliannya lebih tinggi? Satu, Amir pening kepala sebab stress belajar. Kedua, Amir pening kepala sebab barah otak. Mana satu?”

Secara semulajadinya, hati Amir meronta ke arah jawapan yang kedua. Namun dia tahu, hatinya salah. Tapi, pelik juga. Amir merapatkan tapak tangannya ke dadanya sendiri. Walaupun aku tahu aku salah, aku sangat rasa jawapan tu betul.

“Ini antara satu salah anggapan (fallacy) kita; pengabaian terhadap kadar asas (base rate neglect); di mana gambaran terperinci yang diberi membuatkan kita terlepas pandang terhadap statistik yang sebenar (Dobelli, 2013).”

Amir sedikit keliru, apabila keluar sudah istilah-istilah yang kelihatan berat. Namun dia kekal mendiamkan diri, kerana dia tahu ayahnya takkan berhenti menerangkan kepadanya sehingga dia yakin bahawa Amir faham.

“Contohnya di pasar malam tadi. Ayah tak bagi apa-apa maklumat lain, melainkan bangsa sahaja. Ayah tak cakap pun faktor sosioekonomi mereka diambil kira, latar belakang keluarga mereka diambil kira. Ayah beritahu bangsa saja. Jadi, kalau kita tanya kebarangkalian, mestilah bangsa yang paling tinggi nombornya yang paling tinggi kebarangkalian untuk jadi gangster. Yakni dalam contoh tadi, orang Melayu!”

Amir tersentak.

“Dan, mestilah bangsa yang kurang nombornya, kurang kebarangkaliannya juga untuk menjadi gangster. Yakni dalam contoh tadi, orang India tu. Itupun Amir bagi lagi butiran, dia bertatu dan sebagainya. Maka semakin kuranglah kebarangkalian dia untuk jadi gangster.”

Amir mengangguk. logik itu sudah mula difahaminya dengan lebih teliti. Malah, kini dia mampu meneliti dirinya sendiri, tidak terkiranya dia menghakimi insan-insan berlainan bangsa yang ditemuinya yang dijalanan, yang hakikat sebenarnya mungkin salah sama sekali. Orang India tadi bukan orang pertama.

Amir meraup mukanya.

“Contoh kedua tadi pula misalnya,” Encik Zafran menyambung lagi. “Ayah tak cakap telefon ayah ada WhatsApp sahaja. Itu dah kira butiran yang sangat khusus. Berapa ramai manusia dekat dunia ni yang ada aplikasi WhatsApp je dalam telefon kan? Mesti Amir pun tak percaya jugak kan?” Encik Zafran tertawa kecil seketika.

Amir turut ikut tertawa.

“Tapi kalau ayah cakap, satu daripada aplikasi-aplikasi yang ayah ada ialah WhatsApp, itu barulah boleh percaya. Sebab ramai kan juga orang, yang di mana satu aplikasi yang mereka ada ialah WhatsApp. Tapi kalau ayah sambung lagi, WhatsApp dan Telegram. Mungkin masih boleh percaya. Ayah sambung lagi, Facebook, Shopee, Lazada, Trivago, Muslim Pro, bla bla bla. Ha, makin skeptik lah Amir, sebab Amir tahu, kebarangkalian semakin berkurangan apabila aplikasi yang disenaraikan semakin panjang.”

“Haih, susah lah kalau macam tu…” Amir menggelengkan kepalanya. Terasa tidak mungkin dia akan terlepas daripada melakukan kesalahan yang sama.

“Ya, jangan risau. Ini kesilapan yang biasa. Dan memang tak disengajakan, sebab ini ialah antara kesan sampingan bagaimana otak memastikan bahawa tahap kefungsiannya optimum. Contoh pening kepala tadi kan, kebanyakan pelajar perubatan akan diingatkan dengan fenomena pengabaian terhadap kadar asas ni. Kalau tidak, nanti mereka kerja dekat hospital, Amir datang dengan sakit kepala biasa, sekali kena diagnos dengan kanser otak pulak!”

Seram sejuk tengkuk Amir mendengarnya. Besar impak pengabaian kadar asas rupanya.

Dia semakin faham. Namun itu juga menimbulkan tanda tanya yang lain.

Bagaimana dengan statistik yang dilihatnya?

Bersambung...

Rujukan:

Durairaja, S., Mat Saat, G., & Kamaluddin, M. (2019). Psychological and criminogenic factors underlying gangsterism among Indians in Malaysia from the perspective of ex-gangsters and police personnel. Psychological Thoughts, 74-92.

Dobelli, R. (2013). The art of thinking clearly: better thinking, better decisions. Hachette UK.

Hindustan Times. (2008, August 17). Hindustan Times. Retrieved from Rising crime among Malaysian Indians worrying: https://www.hindustantimes.com/india/rising-crime-among-malaysian-indians-worrying/story-gXLfoPkPAa10Zo078kqcyJ.html

Jabanathan, G. (-). INDIAN GANGSTERISM: A Brief Introduction. -: -.

 

Leave a Reply