Skip to content

Takut (Bahagian Akhir)

Jumaat, 6:30 petang

Amir berjalan separa laju. Pasar malam Jumaat kembali lagi dan dia mahu membeli lagi buah anggur hitam tanpa biji.

Namun, bukanlah itu sebabnya dia berjalan separa laju.

Amir perhatikan lebih kurang lima minit lepas, terdapat sekumpulan lelaki yang mencurigakan sedang mengikuti belakangnya. Sesekali tersenyum simpul memandangnya, lalu berbisik-bisik sesama mereka.

Bukan dia tak kenal, satu sekolah juga. Terkenal sebagai para pembuli yang bermaharajalela di sekolah. Segala jenis hukuman sudah dikenakan terhadap mereka, namun tiada apa-apa yang berubah. Cikgu-cikgu sendiri sudah putus akal dalam menangani mereka. Tinggal mereka menghitung hari untuk dibuang sekolah sahaja.

Dek kerana berbeza tingkatan, mereka tidak pernah bersua muka apatah lagi mencari pasal dengan Amir. Dan setahu Amir juga, tingkah laku delinkuen mereka hanya berleluasa di sekolah sahaja.

Jadi, Amir tidak mahu menaruh syak wasangka melebih-lebih. Tetapi, siapa yang tidak akan berjaga-jaga apabila berhadapan dengan mereka. Tambahan pula, baju sekolahnya masih tersarung di badan. Mungkin itu yang membuatkan Amir menjadi sasaran yang mudah untuk mereka.

“Woi, budak Merak!”

Ah.

Amir dapat mengagak dengan mudah, dia dipanggil sebagai pelajar Sekolah Sri Merak.

Namun Amir teruskan berjalan. Telinganya cuba dipekakkan.

Namun tidak berjaya; dia dapat mendengar derapan kaki menuju ke arahnya semakin pantas. Bahkan berlari-lari anak mereka.

“Woi, budak Merak, pekak ke?”

Sekelip mata bahu Amir disambar dan dipinkan ke dinding.

Ah…

“Apa ni bang?” Amir cuba untuk tidak kelihatan takut. Lagi-lagi dengan mereka tersenyum sumbing semacam.

“Eh…” pembuli yang mempinkannya dengan tangan kiri menoleh ke kiri dan kanan, dan kemudian mengesat sedikit hingusnya dengan tangan kanan.

Ew.

“Kau nak pergi beli barang dekat pasar tu ke?”

Amir tidak menjawab.

“Kalau kau nak pergi beli, kitaorang boleh belikan.”

Yelah tu. Kau nak pau duit orang je.

“Tak apalah bang,” jawab Amir. Hanya itu sahaja yang dia mampu katakan. Otaknya lebih sibuk untuk memerah keringat memikirkan bagaimana dia hendak keluar daripada situ.

“Alah, yelah, tahu la kitaorang ni jahat dekat sekolah. Kita nak buat baik ni pun, orang dah tak percaya dah,” tangan kiri pembuli tersebut melepaskan bahu Amir. Namun mereka masih mengepungnya.

“Mana ada bang…”

“Haaa kalau macam tu, bagilah kitaorang tolong,” ujar pembuli di sebelahnya pula.

Amir kekal berdiam diri.

“Haaa Mat, diam tu tanda setuju tu.”

“Haa bak sini duit, kitaorang belikan,” Mat yang mempinkannya sebentar tadi menadah tangan tepat ke arah Amir.

Amir sekadar menggeleng, yang mengundang kerut di wajah ketiga-tiga pembuli itu. 

“Ish, itulah, niat kitaorang baik, poket kitaorang pulak yang kosong. Baklah.”

Belum sempat Amir memberi reaksi, pembuli ketiga yang sedari tadi tidak bercakap cuba menyambar poket kanan Amir. Namun dia tidak berjaya, tangannya terlalu pendek. Amir terkejut lalu memegang dompetnya dengan erat, walaupun masih berada di dalam poket itu.

“Woi, macam mana nak beli barang kalau kau tak bagi duit!” suara Mat sudah separa menjerit.

Sekali lagi, belum sempat Amir bereaksi, Mat sudah menolak bahunya. Amir jatuh terjelepuk ke tanah. Respon refleksnya adalah untuk terus merengkok, melindungi dompetnya.

Tanpa melihat, Amir dapat merasakan tiga pasang tangan menerkamnya. Bukan untuk memukulnya, tetapi untuk mengambil dompetnya. Tangan Amir cuba dialihkan oleh mereka, namun dia mengeraskan tangannya.

“Woi!”

Kedengaran satu suara nyaring. Namun tidak datang daripada ketiga-tiga pembuli itu. Bahkan mereka bertiga terus terkedu dan berhenti beraksi. Kepala mereka berpaling mencari punca suara.

Hanya sesaat sahaja, sebelum tiba-tiba mereka bertiga kelam-kabut berlari.

“Lari weh, cepat!”

Amir perlahan-lahan membebaskan diri daripada posisi merengkok. Dia terus berpaling untuk mencari punca pembuli-pembuli tersebut lari lintang-pukang.

Dia melihat seorang lelaki. Berbaju tanpa lengan. Tatu menyelubungi tangan kiri dan kanannya yang berotot sasa. Bercermin mata hitam lagi, walaupun hari sudah mahu senja.

Ya, itu lelaki yang sama yang Amir temui di pasar minggu lepas.

Tatkala itu, Amir meneguk air liur. Tidak pasti sama ada dia telah diselamatkan daripada bala, atau dia bakal menerima bala yang lebih teruk. Segala pesanan dalam perbincangannya bersama-sama bapanya minggu lepas langsung tidak dapat diingati, apatah lagi dituruti, kerana ketakutan yang dialami pada saat ini.

“Adik okey ke?”

Amir sekadar mengangguk.

Lelaki tersebut menghulurkan tangannya, ingin membantu Amir berdiri. Amir menyambutnya.

 

7:00 petang

Dari pasar malam, sehingga pulang ke rumah, Amir berjalan pulang ke rumah bersama-sama Kumar. Kumar berkeras mahu menemani Amir sampai ke rumah, kerana bimbang pembuli-pembuli tadi akan muncul semula.

Maka, sepanjang mereka berjalan, mereka berkenalan.

Ternyata Kumar ialah seorang artis underground yang mempunyai pengikut yang boleh tahan ramai di media sosialnya, namun kini sedang bergelut kerana pandemik COVID-19 sememangnya memberi kesan yang hebat kepada mata pencarian para artis.

“Syukurlah semua perbelanjaan saya boleh kawal. Saya cuma risau tak dapat bayar sewa rumah saja. Bukan saja saya bakal kehilangan rumah, nak cari rumah sewa baru pun akan susah nanti.”

“Kenapa?” soal Amir.

“Masih ramai tuan rumah yang tak mahu sewakan rumah kepada orang India. Adik saya yang kerja di restoran sana pun, dah berbulan-bulan cuba cari rumah sewa. Kalau dia pun dah susah, lagi-lagi dengan penampilan saya macam ni? Tuan rumah saya sekarang pun, nasib baiklah orang India juga. Sebab itu saya senang sikit la berunding dengan dia.”

“Oh…” Amir terdiam seketika.

“Itulah, tak adil kan? Salah ke saya orang India? Salah ke saya suka bertatu? Saya cuma nak tempat berteduh, itu sahaja. Rumah tu pun saya jaga elok-elok. It’s 2021 and Malaysians are still caught up in the outdated stereotypes. Honestly, it’s so disappointing!” Kumar melepaskan kegeramannya, tanpa dia mengetahui individu yang ditolongnya itu juga sedang melawan ketakutannya terhadap stereotaip lama. Amir hanya sekadar mengangguk.

Seketika kemudian, Kumar menghela nafas.

“Tak apalah, saya pun tak sepatutnya terus bangkitkan isu bangsa juga. Mungkin memang ada kelemahan diri saya yang saya masih perlu baiki,” Kumar tersenyum hambar sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“…mana ada. If people won’t see past you as an Indian only, it’s their fault.

Terasa macam hipokrit. Tekak terasa tegang ketika mengeluarkan kata-kata tersebut. Namun Amir tahu, untuk pastikan diri dia tidak terjerumus ke perangkap yang sama, dia perlu kuat dalam menegakkan apa yang betul.

I need to own my mistakes, by doing what’s right.

Kumar tersenyum memandang Amir. Langsung tidak mengesyaki apa-apa, langsung tidak dapat melihat debaran yang cuba diselindungkan Amir.

Thanks. Your words mean a lot. Selain orang India sendiri, tak ramai yang faham, atau paling kurang pun… cuba faham.”

Sekali lagi, Amir terasa tubuhnya tidak selesa. Namun entah mengapa, senyuman Kumar itu sendiri mendatangkan satu perasaan baru. Perasaan terharu; lebih menguasai berbanding perasaan tidak selesa tadi.

Mereka telah tiba ke destinasi. Amir memberhentikan langkah. Kelihatan ayahnya masih di luar rumah, namun sedang membelakanginya dan sedang menapak untuk masuk ke rumahnya.

Kumar turut memberhentikan langkahnya apabila menyedari Amir juga telah tiba ke destinasi.

“Oh, ini rumah awak, ya?”

Encik Zafran memalingkan kepalanya.

“Haah, ya dah sampai dah. Terima kasih banyak-banyak ya, susah-susah saja sudi teman saya sampai balik rumah,” Amir tersenyum. Dia meletakkan tangan kanannya di dada kiri, dan menunduk sedikit. Kumar membalasnya dengan melakukan perkara yang sama.

“Kumar?”

Amir terkejut. Entah bila, Encik Zafran yang dilihatnya bakal masuk ke rumah, tiba-tiba terpacul di sebelah mereka.

“Eh… Zafran ke ni?”

“Ayah kenal?” tanya Amir dalam kekeliruan.

“Ish… mana tak kenal, kawan sekolah jugak ni!”

Oh my god!

Terus mereka berbicara dalam bahasa Mandarin. Amir tidak faham sepatah, namun dapat mengagak pasti soalan-soalan dan komen-komen klise antara kawan-kawan lama sedang diutarakan seperti ‘eh tak sangka awak duduk sini’, ‘makin hensem la awak ni’, dan ‘kalau masa lapang jemput la datang rumah’.

“Mehlah, basuh tangan, masuk rumah kejap.”

“Eh, korang bukan senja-senja ni nak solat dah ke?”

“Ah, takpa takpa, masuk je. Mas! Oooo, Mas!” Encik Zafran dengan gopoh menarik Kumar masuk, memanggil isterinya untuk bersedia menerima tetamu. Kelihatan terlalu gembira dia.

Mereka berdua masuk ke rumah. Sepertinya terlupa langsung Amir yang masih berada di luar rumah dan memerhatikan acara tersebut dengan terpegun. Rasa terkejut. Rasa bersyukur. Rasa lucu pun ada.

Amir tertawa kecil dan menggelengkan kepalanya sendiri. Dia pun mengatur langkah untuk masuk ke rumahnya, sambil menggumam sendiri.

“Ya Allah, kenapalah aku takut dengan dia? Tak patut langsung.”

Tamat.

Leave a Reply