Skip to content

#BlackLivesMatter di Malaysia

Pembunuhan George Floyd, seorang lelaki berkulit hitam oleh seorang polis berkulit putih di Amerika Syarikat mendapat perhatian yang meluas, bukan sahaja dalam kalangan rakyat mereka sendiri, bahkan seluruh dunia. Tanda pagar #BlackLivesMatter sudah sekian lama digunakan, namun perkara yang berlaku kali ini mendesak semua orang untuk melakukan tindakan yang konkrit, bukan hanya setakat menularkan tanda pagar.

Tidak ketinggalan juga, ramai rakyat Malaysia yang berkongsi mesej solidariti di media sosial, yang turut bersuara agar keadilan tertegak. Yalah, kita orang Malaysia yang tak duduk sana pun boleh nampak sentimen anti kulit hitam yang semakin menjadi-jadi di sana.

Tetapi, kita di Malaysia sendiri macam mana?

Aku betul-betul baru jumpa tweet ni, dan tanda pagar #JusticeForGanapathy beberapa hari lepas.

Aku dah lama mengagak, sebenarnya police brutality juga wujud di Malaysia, dan dalam nombor yang signifikan juga. Cumanya tidak dipopularkan sahaja. Tetapi aku berharap sangat, bahawa telahan aku tidak benar.

Maka, berjumpanya aku dengan ciapan ini, membuatkan aku rasa sangat sedih dan kecewa. Bukan sahaja kerana telahan aku telah disahkan benar, malah secara jelas police brutality kita juga mensasarkan bangsa. Menghasilkan ketidakadilan yang sama dengan #BlackLivesMatter.

Maka aku percaya, kalau kita rakyat Malaysia tidak mengambil langkah yang sewajarnya, apa yang terjadi di Amerika Syarikat, boleh terjadi juga di Malaysia.

Tetapi kita masih belum terlambat. Nombor kita masih belum tinggi. Dan kita juga bertuah kerana telah menyaksikan #BlackLivesMatter depan mata. Kita ada contoh depan mata, apa yang perlu dibuat, dan yang paling penting, apa yang jangan dibuat.

Asalkan kita bertindak, kita boleh memperbaiki keadaan kita.

Jadi sebagai seorang rakyat Malaysia, marilah kita bertanya kepada diri sendiri; apakah pengajaran yang adil, dan apa tindakan yang bersesuaian, yang boleh aku ambil daripada #BlackLivesMatter?

Sebab ya, walaupun isu kita sama, kita juga tidak boleh mengambil bulat-bulat. Kerana Malaysia dan Amerika Syarikat tidaklah sama. Namun, pasti ada corak pemikiran dan perbuatan yang boleh kita perhati, dan kita implementasikan terasnya.

Walaupun police brutality itu merupakan satu isu yang tersendiri, kita boleh juga memandangnya sebagai manifestasi sebuah isu yang lebih besar, yang sudah lama bersarang di mana-mana negara yang heterogen; pada luaran nampak semua orang yang berlainan latar belakang hidup dengan harmoni, tetapi sebenarnya golongan minoriti & majoriti sama-sama memendam emosi tak puas hati sesama sendiri.

Bagaimana boleh jadi begitu?

Dalam satu masyarakat, sebanyak mungkin perbezaan yang ada pun, pasti akan ada golongan yang majoriti. Maka apabila ada satu golongan yang menjadi majoriti, maka automatik golongan yang lain menjadi minoriti.

Ketidakpuasan akan berlaku apabila golongan minoriti pasti akan ada datang bersuara kepada golongan majoriti mengenai sesuatu perkara yang pada mereka amat penting. Tetapi, golongan majoriti yang tidak merasakan bahawa hal itu penting, hanya berkata kepada mereka bahawa hal tersebut tidak penting.

Dan disebabkan sifat mereka yang bersifat minoriti, pada awalnya mereka iyakan sahaja, & memujuk diri mereka bahawa sememangnya hal itu tidak penting, dan cuba bersabar. Mereka juga tidak mahu mengganggu gugat keharmonian yang sedia ada hanya semata-mata untuk kepentingan golongan mereka sahaja.
Namun, disebabkan bahawa hal itu sememangnya penting, lama-lama penafian tersebut akan bertukar kepada kesedaran bahawa ‘mereka salah, hal ini memang penting bagi kita’, dan akhirnya bertukar kepada kebengangan kerana golongan majoriti tidak mendengar kata-kata mereka.

Lalu golongan minoriti ini ada persepsi bahawa golongan yang majoriti ini memang sengaja nak memperlakukan mereka bergitu. Maka, kebengangan tersebut dimanifestasikan, sekurang-kurangnya oleh sebahagian daripada golongan tersebut, dengan cara yang salah (seperti sengaja membangkitkan isu sensitif), untuk ‘melawan balik’.

Naratif ‘kita lawan mereka’ bermula.

Maka, apabila hal tersebut berlaku, golongan majoriti menjadi keliru, dan menyangka pula bahawa golongan minoriti juga tidak pernah puas hati dan memang sengaja memperlakukan mereka begitu. Maka datanglah pula ayat-ayat daripada golongan majoriti seperti, ‘mereka tak bersyukur, patut sedar daripada mana datang, patut sedar dulu keadaan mereka macam mana & macam mana kita boleh bersatu dulu. Sekarang mereka dah naik lemak. Kalau tak suka, tak payah duduk sini dengan kamilah!’

Naratif ‘kita lawan mereka’ diperkuatkan lagi.

Walhal punca sebenarnya adalah salah faham kepentingan suatu isu sahaja.

Inilah yang aku percaya berlaku di Amerika Syarikat. Selepas rakyat kulit hitam bebas daripada perhambaan, mereka yang berkulit putih dengan bangga bersuara, ‘Kami dah hapuskan rasism. Sekarang kami boleh hidup aman bersama-sama. Kami ada suami, ahli keluarga, guru dan rakan sekerja yang berkulit hitam lagi!’

Adakah hal ini tidak benar? Semestinya benar. Cuma, apabila ada isu-isu yang orang berkulit hitam bangkitkan penting pada mereka, orang berkulit putih buat tak endah.

Ambil contoh penggunaan kata ‘nigga’. Sudah berapa lama isu ini dibangkitkan, tetapi yang aku perhati, jawapan yang sama juga yang mereka dapat:

“Alah, itu pun nak kecil hati ke?”

Ya, mereka sangat kecil hati. Dan mereka berhak untuk memberitahu bahawa hal itu sesuatu yang mengecilkan hati, dan orang kulit putih seharusnya faham betapa hal itu penting untuk mereka.

Tetapi mereka tidak.

Jadi, isu-isu sebegini yang tidak diselesaikan, membuatkan Amerika Syarikat berkembang menjadi sebuah negara yang pada luarannya tampak aman harmoni berbilang kaum, tetapi sebenarnya ada naratif senyap ‘kita lawan mereka’ yang menjalar dalam kalangan rakyat mereka.

Dan naratif yang sama juga menjalar di Malaysia. Dan kita tahu, kita cuma pura-pura tak tahu, demi menjaga keharmonian untuk semua orang. Niat itu perlu dipuji, namun tindakan tersebut tidak akan menyelesaikan isu tersebut.

Maka di Malaysia, golongan Melayu Muslim sebagai majoriti perlu banyakkan refleksi diri. Sebagai majoriti, akan ada benda yang kita buat yang kita tak perasaan, yang akan menyebabkan kita menzalimi golongan lain yang berbeza kaum dan agamanya di Malaysia.

“Ish, sedap mulut kau je bercakap. Ada ke kita selama ni siksa maki hamun yang bukan Melayu atau bukan Muslim?”

Tidak. Semestinya tidak, dan aku pun tak ingin mahu lihat hal itu berlaku.

Zalim yang aku maksudkan di sini bukanlah begitu. Adakah zalim itu hanya terhad kepada kelakuan buruk? Aku bercakap mengikut definisi zalim menurut agama Islam juga, kerana aku seorang Muslim.

Zalim itu adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.
Dan lawan kepada zalim adalah adil, yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Jadi maksud aku apabila aku cakap kadang-kadang aku rasa golongan Melayu Muslim sebahagai majoriti menzalimi golongan lain yang berbeza kaum dan agamanya di Malaysia, adalah maksudnya aku rasa golongan ini hanya memberi apa yang kita rasa mereka mahu & perlu, bukannya apa yang mereka betul-betul mahu & perlu.

Kita ada niat untuk hidup dengan mereka dan cuba untuk menolong yang terdaya. Namun apabila mereka bangkitkan isu yang penting untuk mereka namun tidak penting untuk kita, kita senang untuk mengenepikannya begitu sahaja.

Contohnya, #JusticeForGanapathy bukan kes pertama. Namun tiada liputan mengenainya di media massa Malaysia. Mengapa?

Kerana hal ini (secara kasarnya) bukan isu yang penting oleh mereka yang bukan berbangsa India. Dan mereka yang berbangsa India pula, sudah terlalu biasa isu mereka didiamkan begitu sahaja, walau seserius mana pun. Maka isu ini tidak pernah mendapat perhatian yang sewajarnya.

Nampak kan sekarang apa aku cuba cakap?
Berdasarkan apa yang berlaku di Amerika Syarikat, nampak kan sekarang, kalau kita tidak beri perhatian yang sewajarnya, apa yang akan terjadi pada Malaysia?

Sekarang kalau dah nampak, aku percaya kau juga akan bersetuju, kalau kita rakyat Malaysia tidak mengambil langkah yang sewajarnya, perkara yang sama lambat laun boleh terjadi juga di Malaysia.

Tetapi itulah, apa langkah yang sewajarnya yang perlu diambil?

1. Jangan rasa sudah cukup tahu mengenai isu golongan lain.

Biar aku ambil contoh diri aku sahaja.

Sejujurnya, aku dulu tak tahu perkataan ‘k*ling’ adalah perkataan yang sensitif untuk orang India. Jujur, memang aku tak tahu. Aku ingatkan itu hanyalah antara nama lain yang digunakan untuk merujuk kepada kaum India.

Masa bila aku tahu? Apabila aku nampak orang India sendiri di Twitter merungut mengenainya.

Maka aku pun terfikir, “Eh, kenapa terasa pula? Gurau-gurau takkan tak boleh?”

Tapi kemudian aku terfikir balik isu, apabila orang Melayu dan India bergaduh teruk, perkataan ‘keling’ akan banyak digunakan, dan akan dibalas oleh orang India dengan makian mengenai orang Melayu pula.

Itulah cara kebengangan tersebut (tidak mahu gelaran ‘keling’) dimanifestasikan, sekurang-kurangnya oleh sebahagian daripada golongan tersebut (bukan semua orang India begitu!), dengan cara yang salah (memaki golongan Melayu), untuk ‘melawan balik’.

Maka, apabila hal tersebut berlaku, golongan majoriti menjadi keliru, dan menyangka pula bahawa golongan minoriti juga tidak pernah puas hati dan memang sengaja memperlakukan mereka begitu (memaki golongan Melayu).

Keesokannya, keluarlah berita di muka hadapan ‘Melayu dan India bergaduh besar’, dan banyak pihak yang mengeksploitasi hal ini seperti ahli politik rasis dan aktivis yang ekstrimis untuk makin mengapikan naratif ‘kita lawan mereka’.

Baru aku faham, aku sebagai seseorang yang bukan India, tidak perlu terlalu menyiasat kenapa & bagaimana perkataan tersebut ialah perkataan yang sensitif. Cukup apabila ada yang mengadu bahawa perkataan tersebut sensitif, maka aku tidak akan menggunakannya lagi.

Perkara ini juga mengajar aku bahawa sebenarnya banyak sahaja lagi ilmu mengenai agama, bangsa dan latar belakang golongan yang berlainan dengan aku yang aku tak tahu lagi.

Ilmu pun baru seciput, siapalah pula aku untuk aku kata hal mana yang kecil & hal mana yang besar?

2. Tidak perlu terlalu masuk campur urusan golongan lain.

Terutamanya di Malaysia, aku tengok antara perkara yang kita sungguh-sungguh buat, untuk menunjukkan betapa 1Malaysianya kita, adalah kita cipta imej semua orang terlibat secara ekstensif dengan kehidupan masing-masing walaupun berbeza agama & kaum.
Ada majlis perayaan, sama-sama pergi. Jiran lain bangsa/agama, bertukar ucapan & hadiah. Urusan agama masing-masing pun saling membantu.

Ya, itu adalah ideal. Tetapi itu bukan standard. (Apa perbezaannya? Klik sini)

Contohnya, katakanlah ada jiran bukan Islam aku yang buat majlis Deepavali, dan aku tak nak pergi, adakah itu bermakna aku seorang yang tidak 1Malaysia? Aku rasa tak, sebab aku tak nak pergi, hanya kerana aku tak sambut Deepavali. Itu sahaja.
Samalah juga, kalau aku ada buat majlis Hari Raya Aidilfitri, dan jiran aku tak nak pergi, aku tak perlu terasa hati. Dia tak sambut raya pun. Tanpa jemputan pun, aku berhak untuk menyambut perayaan tersebut dengan orang yang merayakannya.

Nak mengundang? Nak mengajak? Boleh, bagus lagi! Tetapi kena ingat, kalau ajakan tersebut dipanjangkan, penerima tersebut ada hak juga untuk menolak untuk pergi, hanya semata-mata kerana dia tidak menyambutnya. Contohnya, kalau aku jemput jiran bukan Islam aku ke majlis Hari Raya Aidilfitri, dia ada hak untuk tolak jemputan tersebut kerana itu bukan perayaannya. Samalah, kalau dia ada jemput aku ke majlis Deepavali, aku ada hak untuk tolak jemputan tersebut kerana itu bukan perayaan aku. Dua-dua tak perlu kecil hati sesama sendiri.

Sebab itu dari dulu aku pelik sebenarnya, kenapa aku asyik diagah ‘jangan buat orang kecil hati’ kalau aku tak nak salam orang bukan Islam, atau tak nak terlibat dalam majlis berbilang kaum, walaupun kalau aku tak ada, majlis tu jalan je pun. Sedangkan pada masa yang sama, isu perkauman di Malaysia seperti tulisan Jawi, kes seperti kes arwah Adib sang bomba penyelamat yang tidak perlu aku sebutkan butirannya, ada sahaja pihak yang tidak mahu isu tersebut diselesaikan cara baik.

Mana yang lebih mengecilkan hati ni?

Adakah kita lebih suka kita ‘nampak’ harmoni tetapi hakikatnya mempunyai isu-isu yang jauh daripada penyelesaiannya, daripada kita ada batas-batas sendiri tetapi sebenarnya kita lebih harmoni begitu?

Inilah maksud aku kalau kita rakyat Malaysia tidak mengambil langkah yang sewajarnya, perkara yang sama lambat laun boleh terjadi juga di Malaysia.

3. Dengar dengan benar & selesaikan isu yang sebenarnya.

Sebab apa aku kata, jangan rasa cukup tahu, tidak perlu terlalu ambil kisah, dan adakan batas-batas yang sewajarnya dengan golongan yang lain?
Sebab akan jadi lebih senang untuk kita mendengar dan menyelesaikan masalah yang sebenar, jauh daripada permainan sentimen kaum.

Daripada kita bantai campur adukkan semua urusan bersama, lepas itu bila ada isu, tertipu dengan fantasi, “Alah, kan kita ni aman je duduk sama-sama tanpa masalah, kau je yang saja naikkan isu ni.”

Aku bagi contoh yang lain pula ya. Antara satu perkara yang Islam tegaskan larangannya untuk melibatkan diri dalam upacara keagamaan agama lain. Maka, common sense la, kalau orang Islam nampak ada upacara agama lain sedang berlangsung, mereka akan menjauhkan diri. Sebab benci? Tidak, hanya kerana common sense. Lagipun, memang kami tak sambut pun, dan kalau kami tak ada, berjalan juga majlis tu kan?

Tetapi kadang-kadang ada orang bukan Islam yang turut mengajak orang Islam untuk turut serta. Dan walaupun dizahirkan penghargaan kerana kesudian mereka untuk melibatkan orang Islam, orang Islam tetap menolak dengan hati yang berat.
Lepas tu, agak-agak, ayat pujuk mereka macam mana?

“Alah come on la, kita dah biasa borak sama-sama, kerja sama-sama, makan sama-sama, awat tak boleh datang?”

Lagi-lagi dengan budaya orang Melayu yang tak suka buat orang kecil hati ni, maka diturutkanlah juga permintaan mereka.

Kita rasa kita dah boleh tahan lama merdeka bersama-sama. 50 tahun kot. Usaha bukan setakat bangsa Melayu, tetapi bangsa-bangsa lain yang asalnya bukan penduduk Tanah Melayu juga. Itu merupakan pencapaian yang besar. Dan jujur aku cakap, aku bangga dengan fakta tersebut, dan aku bangga dengan keharmonian yang telah kita capai selama 50 tahun.

Tetapi 50 tahun secara relatifnya adalah masa yang singkat untuk kita terus kata harmoni sudah hidup kita dan takkan ada lagi isu yang akan terhasil daripada perbezaan pendapat, budaya & kepercayaan. Amerika Syarikat sudah melebihi 200 tahun mereka berdiri sendiri; tengoklah mereka sekarang.

Jangan sombong. Terimalah kenyataan yang kita sememangnya hanya dalam proses permulaan dalam mencapai keharmonian. Yang minoriti tidak peru rasa bersalah atau terbeban untuk mematuhi majoriti. Suarakan permasalahan anda dengan yakin, sebab kalau tidak, golongan majoriti takkan perasan, apatah lagi membuat perubahan. Yang majoriti juga tidak perlu rasa terancam apabila minoriti bersuara. Dengar suara mereka dan selesaikan isunya dengan objektif dan rasional.

Itu sahaja formulanya. Ringkas. Tak bermaksud mudah, tetapi itulah dia; ringkas.

Aku akhiri penulisan ini dengan sebuah cerita benar. Bukan lagi contoh-contoh yang aku sekadar keluarkan dari kepala. Cerita benar. Hadam dan ambil pengajaran.

Dalam lebih kurang tahun 600 M, pada zaman khalifah Umar Al-Khattab, gabenor Mesir ketika itu hendak mendirikan sebuah masjid, tetapi keinginannya itu terhalang dengan adanya rumah yang harus dirobohkan, dan rumah tersebut ternyata dimiliki oleh seorang Yahudi tua.
Maka puaslah gabenor memujuk Yahudi tersebut untuk menjual tanahnya, namun dia tak nak. Maka, gabenor terpaksa menggunakan kuasa vetonya untuk merobohkan rumah tersebut dan mendirikan masjid. Kecewa, Yahudi tersebut mengembara dari Mesir ke Madinah untuk berjumpa terus dengan Khalifah Umar.

Dia berceritalah dengan Khalifah Umar, betapa dia susah payah dari zaman mudanya mengumpul wang untuk membeli tanah dan akhirnya mendirikan rumahnya. Dan betapa remuk hatinya apabila rumah tersebut dimusnahkan begitu sahaja. Mendengar cerita tersebut, Khalifah Umar marah gila. Pendek cerita, gabenor tu panik dan suruh masjid itu dibongkar semula dan dibinakan semula rumah Yahudi tersebut. Pendekkan cerita lagi, kagum dengan akhlak mereka, Yahudi itu akhirnya meredhakan juga tanah tersebut dan masjid itu kekal tanpa perlu dibongkarkan.

Dalam cerita ni, boleh je Khalifah Umar cakap, “Pembinaan masjid sangat penting bagi umat Islam. Kamu di bawah naungan Islam, berkorbanlah sikit, sebab kami yang menjaga kamu sekarang. Kami boleh berikan rumah yang lain. Kamu seharusnya bersyukur.”

Tetapi beliau tidak.

Rumah seseorang (kalau Muslim sekali pun) secara relatifnya kurang penting berbanding pembinaan sebuah tempat ibadat (kalau bukan Muslim sekali pun). Tetapi beliau tahu, apa yang penting pada lelaki tersebut, walaupun tidak penting baginya, perlu dijaga.

Kerana beliau tahu, tugas beliau sebagai Khalifah adalah untuk menjaga rakyatnya. Tak perlu dibangkitkan soal perbezaan agama, bawah naungan siapa, siapa yang bersyukur atau tidak, majoriti atau minoriti. Jika orang tersebut adalah rakyat beliau, maka tanpa berlengah atau keraguan, beliau akan menjaga rakyatnya.

Fikir-fikirkanlah.

Sebagai kesimpulan, aku tegaskan bahawa ini ialah buah fikiran aku, berdasarkan pengamatan dan pemikiran aku. Semestinya tidak 100% benar, tapi aku percaya tidak 100% salah. Sebarkan apa yang benar & tegurilah apa yang salah.

Terima kasih.

Leave a Reply