Apa akan jadi pada masa depan AI?
Ada yang teruja melihat AI boleh melakukan hampir semua benda; boleh menulis, boleh bergurau senda, boleh menjadi teman dan terapis, boleh buat lagu dan menari lagi.
Namun semakin lama, kemajuannya seperti semakin di luar kawalan, sehingga membuatkan kita risau, “Macam mana kalau AI gantikan manusia nanti? Macam mana kalau satu hari nanti, AI akan berkuasa ke atas manusia?”
Sebenarnya, ini ialah kitaran sama yang akan berlaku terhadap manusia apabila mereka berdepan dengan semua teknologi. Daripada media sosial, internet, telefon bimbit, hatta ke mesin taip sekalipun!
Apakah yang berlaku kepada semua teknologi ini? Adakah mereka mengambil alih manusia?
Tidak. Tetapi apa yang berlaku ialah, mereka mengubah gaya bekerja manusia menjadi berbeza. Tidak menjadi lebih teruk. Tidak (semestinya) menjadi lebih baik juga. Hanya berbeza.
Tak percaya? Saya akan tunjukkan hal ini, melalui filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2). (Spoiler alert!)
Naik turun AI… dan naiknya semula

Semasa mula-mula AI berkembang pada peringkat komersial, orang akan kagum.
“Wah, apa ni? Dia boleh faham apa kita nak? Dia boleh hasilkan karangan, cadangan, lirik lagu sekali? Dengan senangnya? Hebat betul!”
Tapi setelah ramai manusia dengan pelbagai niat menggunakan AI, kita dapat melihat kebaikan dan keburukannya serentak. Dan disebabkan negativity bias manusia, kita secara tidak sedar akan lebih memberi perhatian terhadap keburukannya berbanding kebaikannya.
- Teknologi deepfake yang boleh digunakan di mana mana-mana; artis popular boleh ‘ada’ dalam video-video yang tidak diingini seperti video lucah, video mempromosi barang terlarang, atau video yang memalukan.
- Penipuan voice phising yang menggabungkan teknologi deepfake suara dengan permainan psikologi yang mencemaskan, membuatkan ramai orang kena scam pada tahap 2-3 kali ganda lebih banyak.
- Fenomena echo chamber yang sudah sedia teruk dengan algoritma media sosial yang hanya memaparkan konten-konten yang selari dengan kepercayaan kita, akan bertambah teruk dengan ChatGPT yang menjadi ‘pak turut’ dalam setiap interaksi kita.
Normal untuk kita berasa risau terhadap semua ini. Semestinya kita lebih risaukan keburukan-keburukan yang jika tidak dikawal selia akan semakin parah, berbanding kebaikan-kebaikan seperti penghasilan cadangan-cadangan, ataupun karangan bernas.
Dan semakin ramai yang menggunakan AI, maka semakin ramai juga orang akan mempersoalkan diri sendiri. Ramai akan rasa putus asa dengan autonomi diri sendiri.
“Nanti AI akan cukup maju ke untuk ganti manusia? Dah tu, aku nanti akan jadi tak berguna ke? Apa nasib aku nanti?”
Dalam EATM2, ayat keramat yang selalu kita dengar itu, diucapkan.
“AI takkan mampu untuk menggantikan jiwa manusia.”
Sejujurnya, saya asalnya tak suka ayat ni. Cliche! Dan kabur; apa maksud sebenarnya? Jiwa manusia itu yang mana? Pada silapnya kita, yang mengundang padah dan memang perlu diminimakan ke? Pada nilai artistik, yang kalau ikutkan AI sudah mampu tiru sekalipun ke?
Seolah-olah, ayat ini diucapkan semata-mata untuk penyedap hati saja. Ada juga unsur ‘human superiority’ di situ. Siapa boleh kata jiwa manusia itu unik sangat sampai AI tak boleh sentuh? Tetapi siapa juga kita nak mengagungkan AI, walaupun akibatnya mungkin bermakna kehancuran manusia sekalipun?
EATM2 menunjukkan secara jelas sebenarnya, bagaimana “AI tidak mampu menggantikan jiwa manusia” itu. In both good & bad ways.
- Dalam babak Ali menggunakan Satria yang sudah dirosakkan, yang akhirnya memandunya ke arah yang salah. (Babak Ali tumbuk Alicia tu—gosh, I never saw that coming, heartbreaking!)
- Dalam babak Cero memanipulasikan persepsi Ali ketika mereka berdua di dalam alam AI itu. (Saya panggil tu babak ‘Far From Home.’ Saya pasti 100% babak itu diinspirasikan daripada filem Spiderman tersebut) (Also, I love how the AI realm is designed. Lawa!)
- Dan akhirnya, dalam babak Ali dan Alicia memanipulasi balik persepsi Cero untuk mengalahkannya. (Part Cikgu Munah tu tak boleh blah la 🤣 )
Dua babak pertama menunjukkan the dip of AI usage; kewalahan (overwhelmed). Tetapi babak terakhir itu, menunjukkan bagaimana kita boleh menang menggunakan AI sebagai manusia, jika kita tahu cara menggunakannya.

After the dip, there will be a peak. Perkembangan teknologi yang pesat, akan memaksa kita untuk berfikir kembali di mana peranan kita sebagai manusia dalam perkembangan tersebut. Setelah kita temui pemikiran dan pengetahuan yang tepat, kita akan tahu cara untuk menggunakan dan memanfaatkan AI secara objektif.
Kalau anda tak percaya sebab EATM2 ini filem kanak-kanak semata-mata (it’s not btw), saya akan ceritakan kisah benar saya sendiri. Hatta, kisah keseluruhan generasi saya.
Media sosial asalnya bermula sebagai laman permainan digital untuk kanak-kanak. Dipelopori oleh sebilangan kecil orang dewasa yang bereksperimen dengannya, kanak-kanak selepas generasi mereka menggunakannya dengan lebih meluas sebagai satu platform sosial dan permainan. Seperti perjumpaan secara fizikal di padang permainan, kami berjumpa secara digital di alam maya itu. Kami berborak, membuat hantaran yang kelakar dan menyeronokkan, bermain permainan (anyone remembers Farmville?), dan sebagainya.
Apabila kami berpindah daripada sekolah rendah ke sekolah menengah yang berbeza-beza, makin kami bergantung kepada media sosial untuk kekal berhubung. Pada masa yang sama, ‘content creation’ begin to be a thing. Di Malaysia, yang popular di YouTube ketika itu ialah Aiman Azlan, Matluthfi, dan Anwar Hadi. (MTAS, I saw your humble beginnings. I know where your name comes from—I am also familiar with that website. I (still) like (the original) Kasanova Islamik btw.)
Berjangkit ke Facebook, ramai yang memulakan page lawak dan menyediakan konten yang menghiburkan. Maka semakin lamalah masa kami meluangkan masa di media sosial.
Lama-lama, syarikat-syarikat media sosial dapat tangkap benda ni, dan mereka dapat cari jalan untuk monetize ‘content creation.’ Hal ini kemudiannya melahirkan konsep asas algoritma yang mencadangkan lebih banyak konten-konten yang serasi dengan kita, berdasarkan data yang mereka peroleh tentang konten yang kita sukai. Memang algoritma ini dibina untuk memastikan kita berada dalam media sosial selama mana yang boleh.
Konten pun sudah berkembang, bukan setakat konten lawak semata-mata. Konten edutainment dan infotainment pun semakin banyak, dan hal ini merupakan pisau berbilah dua. Sebarang informasi dan pengetahuan dapat disebarkan dengan pantas dan meluas; sama ada yang baik, mahupun yang salah. Apatah lagi jika disampaikan secara beremosi; hal tersebut akan menyebabkan kita lebih terpengaruh dengan sesetengah konten berbanding yang lainnya.
Pada masa ini, media sosial sudah menjadi lebih daripada sekarang ‘laman permainan digital.’ Ianya sudah menjadi tempat utama untuk mencari maklumat dan pengetahuan. Algorithm menyuapkan kita dengan konten-konten yang bukan setakat kita suka, bahkan yang hanya kita persetujui. Kalau kita suka A, kita hanya akan dapat konten A. Segala konten pasal B pula diapi-apikan emosinya. Maka kita pun marah-marah terhadap B, yang asal perbezaan pendapatnya tak adalah sebesar mana. Kita pun rasa semacam kita ‘menyumbang’ kepada masyarakat dengan marah-marah itu, dan rasa ‘lebih berpengetahuan’ apabila kita belajar melalui media sosial. Jadi orang nak tegur salah kita pun tak boleh.
Hal inilah yang semakin mengasingkan kita. Dan membuatkan kita jatuh dalam kemurungan dan keresahan (depression & anxiety). Yalah, hari-hari hadap konten yang membuatkan kita ‘mabuk emosi.’ Kemudian kita rasa sunyi melihatkan update 500 kawan di Facebook, tetapi di dunia nyata nak cari 5 orang kawan pun susah.
This is the dip. Penurunan media sosial ini dialami sepanjang saya berada di universiti, sehinggalah pandemik COVID-19 meletus.
Apabila dunia perlahan-lahan kembali kepada normal, saya dapat kesan satu perubahan yang berlaku kepada generasi saya.
Konten-konten motivasi mencanak naik sambutannya. Kami saling memotivasikan diri sendiri agar tidak jatuh ke lembah kemurungan dan keresahan. Kami menggalakkan masing-masing untuk menjauhi rasa putus asa terhadap kemanusiaan. Terhadap hidup. Terhadap diri sendiri.
Kami mula (benar-benar) sedar bahawa media sosial tidak mencerminkan realiti sebenar. Seperti cermin mata hitam yang menapis cahaya dan warna, kami perlu menanggalkannya untuk melihat realiti yang sebenar.
Dan realiti yang sebenar itu… berbeza. Bukan lebih baik, bukan pula lebih buruk. Sekadar berbeza. Kami sedar kami tidak perlu murung dan resah sepanjang masa, tetapi pada masa yang sama kami tidaklah juga perlu asyik melompat gembira. Realiti sebenar pada kebanyakan masa membosankan dan tanpa emosi… membuatkan kami sedar bahawa setiap emosi itu sendiri, betapa tinggi atau rendahnya perasaan itu, hanya sekadar satu emosi yang akan berlalu pergi.
Contohnya, mungkin apabila berdepan dengan orang yang berbeza pendapat di media sosial, gaduhnya akan bergaduh sakan. Semua orang seperti tiada sensitiviti, main cakap saja apa yang mereka nak cakap. Tetapi di alam sebenar, semua orang itu sama-sama beratur di kaunter pembayaran dengan aman; tiada yang memprovokasi sesiapa. Jika perbualan tentang perbezaan pendapat dimulakan pun, kita akan cenderung menutupnya dengan keseimbangan pendapat antara kedua-dua pihak. Dan kalau ada di antara kita yang berkeras untuk terus berdebat, ada tempat dan masa spesifik untuk melakukannya.
Maka sekarang, saya lihat generasi saya yang kini sudah mendewasa sepenuhnya, sedang menggembleng tenaga untuk mengadakan aktiviti fizikal secara aktif. Media sosial hanya medium untuk mewar-warkan keberadaan mereka di dunia nyata. They are literally using social media… to get people out of social media. Bukanlah kerana media sosial itu jahat, tetapi kerana mereka sedang memecahkan tabiat terlalu hidup di alam maya sehingga tidak hidup di dunia nyata.
Contohnya, saya suka ke BerseMukha, sebuah acara bulanan di TTDI yang menjemput orang ramai daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsikan kisah dan pendapat mereka tentang sesuatu topik (yang ditentukan setiap bulan). Makin lama, saya lihat makin ramai yang menyertai acara ini. Mereka semua memang datang dengan matlamat untuk membina hubungan dan jaringan tulen; yang tidak terikat dan tanpa sebarang jangkaan seperti networking kerja dan sebagainya. Dan BerseMukha memberikan ruang untuk mereka melakukan sedemikian.
This is the peak.
Jadi, saya tak percaya yang kemanusiaan akan merudum kerana AI. Seperti mana teknologi media sosial mengalami penurunan selepas penggunaannya secara meluas, AI juga sedang melalui fasa yang sama. Kita akan melalui penurunan ini, lalu kita akan menaik. Sebagaimana selalunya kita naik turun dengan perkembangan teknologi merentas zaman.
Ada satu lagi fenomena menarik yang saya lihat, kini sebagai seorang dewasa, terhadap kanak-kanak dan remaja pada zaman sekarang. Ada sesetengah teknologi yang mereka memang sengaja tak nak guna, dan mereka akan gunakan alat yang lebih analog; semata-mata untuk keseronokan dan estetika.
Contohnya, saya tak faham trend kamera filem dan polaroid sekarang. Saya dulu, yang membesar dengan kamera-kamera tersebut, sudah masak dengan segala kelecehannya. Tak boleh nampak gambar yang diambil. Kena tunggu lama nak cuci. Lepas tu, kalau ada gambar yang tak menjadi, buat bazir filem saya.
But apparently kids nowadays love the process? Barangkali kerana terlalu biasanya mereka dengan teknologi kamera dan gambar digital, mereka mencari kelainan melalui medium fizikal. Itu tekaan saya, sebagai seseorang yang sebenarnya tak faham sangat. Tapi lantaklah kalau saya tak faham sekalipun. Kalau mereka suka melakukannya, biarkanlah mereka. Kalau saya tak suka, saya tak payahlah guna. Biarlah saya kekal dengan kamera dan gambar digital saya.
Lihat dunia melalui lensa kebenaran, bukan lensa AI
Jadi… apakah akhirnya masa depan AI? Adakah mereka akan menjadi sentient seperti dalam cerita Terminator? Where there will be a robot apocalypse and we humans will be their slaves?
Jawapan ini terlalu simplistik untuk saya.
Dan… soalan ini tidak relevan sebenarnya.
Soalan yang saya rasa lebih relevan untuk ditanya adalah: bagaimana kita sebagai manusia boleh menjadi lebih baik dan kekal berada atas prinsip kebenaran?
Contohnya, saya mengaku yang saya ada gunakan ChatGPT untuk membantu saya menulis buku saya, You Are Deserving. Cop, jangan melatah dulu! Saya tak maksudkan saya taip ke ChatGPT, “Tolong tuliskan saya buku tentang sekian sekian…” lalu saya copy & paste semuanya dan hantar untuk diterbitkan. Tidak!
Pada proses awal, ChatGPT membantu saya merangka buku tersebut. Semasa menulis, saya menggunakannya untuk mengembangkan isi sedia ada dan mengemaskan penulisan saya, terutamanya dalam memastikan nada buku itu konsisten. Sebab sebagai seorang penulis yang menulis pelbagai perkara dalam pelbagai medium, nadanya juga pelbagai. Maka saya semak dengan ChatGPT agar nada penulisan saya kekal konsisten.
Maka saya akui, ada sesetengah masa… memang ada ayat ChatGPT yang lebih cantik daripada apa yang saya dah tulis.
Akan wujud dilema di situ. Adakah saya perlu salin saja ayat itu? Atau, perlu saya ubah walaupun saya tahu berdasarkan kemahiran dan pengetahuan saya sebagai seorang penulis, bahawa ayat itu sudah sedia cantik? Kalau saya salin saja, itu dikira ‘menulis menggunakan ChatGPT.’ Tapi kalau saya ubah, saya telah melepaskan peluang untuk para pembaca membaca ayat yang terbaik itu.
Semakin saya berfikir, semakin saya sedar, secara relatifnya… tak kisah mana-mana yang saya pilih pun.
Sejujurnya, saya tak kisah pun kalau ada sesetengah ayat atau perenggan, ChatGPT tulis lebih baik berbanding saya. Sebab apa yang saya fokuskan dalam menghasilkan sebuah penulisan adalah, adakah penulisan itu benar dan bagus? Sebagus mungkin dan benar fakta dan rujukannya, maksud saya. Ada perkara yang saya sendiri boleh buat dengan lebih baik, maka saya buat sendiri. Ada perkara, model AI lain boleh buat lebih baik, maka saya biarkannya buat.
Kita kena belajar yang AI bukan ChatGPT saja. Terdapat pelbagai jenis model AI, lagi-lagi semakin teknologi ini maju nanti. ChatGPT ni jenis generative AI model (it’s the G in GPT); jadi kita gunakannya untuk generate sesuatu (e.g. rangka buku, contoh penulisan, cadangan idea, dsb.) ChatGPT bukan model untuk fact-check. Sebab tu kalau kita suruh ChatGPT fact-check, dia dengan konfidennya akan beri jawapan yang salah! Bukan sebab ChatGPT jahat, tapi sebab kita yang tersalah guna. Sebab kerjanya generate, bukan menyemak. Jadi, kita kena belajar lagi jenis-jenis model AI ni.
Berbalik kepada You Are Deserving, sejujurnya saya tidak dapat nafikan bahawa saya bangga dengan buku tersebut. Memang buku itu antara penulisan terbaik saya. Yang telah saya semak baiknya dan benarnya sedaya upaya saya. Baik usaha asal tersebut datang daripada saya sendiri, mahupun dibantu oleh ChatGPT.
Maka… datang satu soalan cepumas kepada saya.
“Macam mana nanti kalau satu hari, AI boleh tulis buku macam You Are Deserving? Bahkan, mungkin mereka boleh tulis macam-macam lagi buku yang lebih baik?”
‘Ish, takkanlah benda macam tu boleh jadi…’ itu respon pertama saya.
Tetapi makin lama saya berfikir, makin tidak mustahil sebenarnya kemungkinan itu. Dan baik buruknya kemungkinan tersebut terletak kepada bagaimana kita akan menggunakan teknologi itu, kalaulah benar ia akan datang satu hari nanti.
Kalau AI berkembang pada tahap ia boleh menghasilkan pelbagai buku berkualiti (yakni, yang sudah disemak benar dan bagus), bukankah itu satu perkara yang baik untuk kita? Kalau teknologi ini nanti akan membawa kepada pengkayaan industri buku dengan buku-buku berkualiti, daripada kedua-dua manusia dan AI, maka hal ini akan menjadi sesuatu yang bagus. Tetapi kalau teknologi ini akan membawa kepada manusia malas terus untuk membaca dan menulis, lalu bergantung harap kepada penulisan AI 100%, tanpa mereka semak baik dan bagusnya, maka hal ini akan menjadi sesuatu yang tidak baik.
Betul, biasanya manusia memang cenderung menjadi malas; mereka akan pilih apa yang memudahkan kerjanya. Tetapi pada masa yang sama, fenomena anak-anak muda memilih kamera filem berbanding kamera digital yang telah saya ceritakan tadi, mengingatkan saya bahawa manusia ini makhluk yang kompleks psikologinya. Manusia ada 1001 sebab untuk menulis. Maka saya kira jika satu hari AI boleh menulis dengan hebat sekalipun, manusia takkan berhenti menulis.
Kenapa kita perlu pilih dua ekstrim; antara anti dengan pro AI? Bukankah lebih selamat dan seimbang apabila kita memilih jalan tengah di antara duanya?
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pertengahan (/pilihan lagi adil), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)” – Al-Baqarah 2:143
Manusia memang Allah ciptakan untuk memilih jalan yang pertengahan. Sebab biasanya, memang jalan itulah yang terbaik, dalam kita berpegang kepada kebenaran dan menyebarkan kebaikan.
Sebab itu saya fokus terhadap kedua-dua perkara tersebut. Apa-apa saja yang saya lakukan (atau tidak lakukan), jika mendorong ke arah kedua-dua perkara itu, sudah pun bagus. Dan saya akan gunakan apa-apa alat yang saya ada untuk melakukannya, termasuk AI. Namun, jika dalam situasi bahawa saya perlu untuk TIDAK menggunakan AI, maka saya akan tidak menggunakannya. Godaan untuk menyenangkan kerja itu mungkin ada, tetapi saya akan berusaha sehabis mungkin untuk melawannya, Insya Allah.
It is as simple as that. But simple is not necessarily easy. Nak buat benda ni, kita sendiri yang kena fact-check dan muhasabah diri sentiasa. Kita yang kena runtuhkan ego sendiri hari-hari. Kita kena mengaku yang kita ada kemungkinan untuk salah, sepanjang masa. Hanya dengan cara itulah, baru kita boleh mencari tahu kebenaran dan kebaikan.
Kesimpulannya, lihat dunia melalui lensa kebenaran, bukan lensa AI.

