Skip to content

Takut (Bahagian 3)

“Tapi kan ayah… bukan memang India sinonim dengan aktiviti gangster diorang?”

Encik Zafran melirik tajam. Tak suka dengan apa yang didengarinya.

Amir meneguk air liurnya seketika. Cepat-cepat dia membetulkan perkataannya.

“Maksudnya, bukan memang ramai orang India terlibat dalam aktiviti gangster? Ayah dengar jugak tadi kan statistik yang Amir cakap.”

Tegang pada muka Encik Zafran mengendur. Tidak pasti sama ada kemarahannya mereda atau tidak, tetapi Amir semakin berani.

“Ayah tak boleh salahkan Amir kalau rasa takut dengan mereka. Amir cuma nak jaga diri. Lagi-lagi kalau dah dibuktikan secara statistik, tak salah kan kalau ambil langkah berjaga-jaga?”

Mata Encik Zafran terpejam seketika, sambil beliau menarik nafas panjang. Buat seketika Amir keliru. Masih marah? Atau tidak? Atau ayahnya sudah berputus asa menjawab soalan yang betalu lagikan sensitif, lalu dia mahu bersedia untuk tidur sudah?

Tetapi Amir faham, soalan yang ditanyakannya bukan sebarangan. Dan ayahnya sudah pasti mahu menjawab sebaik mungkin. Itu lagi satu perkara yang disukai mengenai ayahnya; sesensitif mana pun soalan yang anak-anaknya tanya, dia akan cuba menjawab secara objektif. Tidak dimarahi, tidak ditunjuk emosi melampau.

Encik Zafran membuka matanya semula. Dia memandang Amir, mahu memulakan bicara semula.

“Soalan yang bagus. Baik, jom kita fikir sama-sama. Kenapa orang India ramai gangster? Sebab agama Hindu memang mengajar jadi gangster ke? Sebab budaya orang India memang ganas-ganas ke? Sebab genetik mereka memang genetik gangster ke?”

Tak!

Eh, ye kot…

………………………….

“Tak tahu,” setelah suasana hening seketika, Amir bersuara. Putus asa.

“Amir tahu kan bukan semua orang India begitu. Jadi macam mana Amir nak bezakan kalau jumpa mereka? Dengan badan besar ke? Dengan tatu ke?”

Amir menggeleng. Mestilah tidak.

“Exactly, you don’t know.”

Amir pula yang memejam matanya kini. Dia dapat mengagak ayat ayahnya yang seterusnya.

“So, what gives you the right to just assume every Indian you see is a gangster?”

Encik Zafran berhenti bercakap seketika, mengubah duduknya supaya lebih selesa, sebelum menyambung.

“What you’re seeing here is correlation. And correlation does not equal causation. Contohnya, katakanlah Amir duduk dekat US sekarang ni. Tahu tak di US, setiap kali Amir makan aiskrim, akan ada kebakaran jugak yang berlaku? Jadi, Amir tak boleh beli aiskrim langsung tau kalau duduk situ. Logik tak?”

Mestilah tak logik.

“Tak logik kan? Tetapi perkaitan (correlation) tu tetap berlaku. Kenapa? Amir akan membeli aiskrim, dan kebakaran akan berlaku, pada musim panas. Musim panas, yang menyebabkan tenaga haba yang lebih meningkat, yang itulah yang menyebabkan kebakaran, dan kita membeli aiskrim.”

Amir mengimbas kembali kenangan mereka bercuti di US tahun lepas, namun semasa musim sejuk kerana bulan cuti sekolah sajalah mereka mampu bercuti lama di luar negara. Namun, barangkali disebabkan tidak biasanya dia dengan cuaca salju di negara orang, dia memang asyik mengidam makanan panas-panas di sana.

“Samalah dengan kes ni. Cuba Amir tengok balik ‘Indian Gangstrerism: A Brief Introduction’ tu. Amir baca tak sebab-sebabnya?”

Jari-jemari Amir kembali menari di atas kekunci telefon bimbitnya. Dia pun sekadar membaca muka surat pertama sebentar tadi, tidak dilihat dokumen tersebut secara keseluruhannya.

INDIAN GANGSTERISM: A Brief Introduction (Jabanathan, -)

SOCIOLOGICAL FACTORS BEHIND THIS RAMPANT GANGSTERISM

1. Deprivation of educational opportunities.

2. Deprivation of economic opportunities. Economic inequality

3. Poverty

4. Social Ostracisation

5. Poor Parental Influence

6. Peer Pressure in Schools

“Perkaitan tak sama dengan sebab. Apa yang berkait, tak sama dengan sebab. Jadi, kalau kita nampak benda berkait yang tiada hubungan sebab and akibat, mesti ada pembolehubah yang ketiga. Pembolehubah itulah yang mengaitkan kedua-dua perkara tadi. Atau, boleh jadi ada pembolehubah keempat, kelima, keenam, yang buat rantaian penyebab (chain reactions of causation).”

Ugh, I lost you there.

Hati Amir meronta. Namun dia terus diam. Dia tahu, penerangan akan datang menyusul.

“Contoh aiskrim tadi. Pembolehubah keempat, cuaca panas, menyebabkan tenaga haba lebih meingkat, pembolehubah ketiga. Barulah kedua-dua insiden tadi berlaku; kebakaran dan membeli aiskrim. Macam tu juga dengan kes gangster dalam kalangan warga India di Malaysia. Ada banyak sebab yang mendesak mereka ke arah itu, yang tak dinafikan berkait dengan bangsa mereka dan gangsterism. But still, correlation does not equal causation. They did not become gangsters simply because they’re Indian.

Entah ke berapa kali ayat itu dipasak.

“Kita tak akan dapat kenal pasti pun siapa gangster sebenar kalau kita di jalanan. And it’s okay, it’s supposed to be like that. Takkanlah gangster sebenar nak tunjuk diri dia gangster di tempat awam? Gangster di Malaysia, berapa peratus je pun dalam kalangan kita. Jadi tak usah fikir berat-berat ke situ. Jadi, untuk menjawab soalan Amir tadi, kita berlindung daripada apa yang dibuktikan bahaya, bukan apa yang kita sangka semata-mata bahaya. Apatah lagi kalau sangkaan kita itu berdasarkan stereotaip berat sebelah yang dicalit perkauman.”

I’m not racist.

Naluri pertama Amir mendesaknya untuk mempertahankan diri.

Tetapi dia tahu, kalau betul pun dia bukan seorang rasis, dia perlu akui bahawa akan ada masa orang bukan rasis akan melakukan tindakan yang rasis juga. Mungkin di hati dan mindanya masih suci (itupun kalaulah suci) daripada perkauman, tetapi dia perlu bertanggungjawab terhadap perbuatannya, sama ada disengajakan ataupun tidak.

“I should not see color.”

Amir menggumam sendiri. Asalnya hanya terdetik dalam hati selepas menyaring penyataan ‘I’m not racist’ itu, tetapi terluncur jua daripada mulutnya.

Membuatkan Encik Zafran menggelengkan kepalanya. “No, you should. Identiti bangsa itu sangat penting kepada seseorang. Dan ya, dalam identiti mereka mungkin terpalit perkara negatif. Tapi identiti mana je yang tak terpalit perkara negatif? Kalau orang India di pasar malam tadi guna logik sama yang Amir pakai, dia pun tak nak dekat dengan Amir. Orang Melayu la paling ramai ambil dadah. Orang Melayu mudalah paling ramai merempit. Kalau dia buat macam tu, mesti Amir pun rasa tak adil kan?

Amir menggeleng. Dia pun baru tersedar, identitinya sebagai orang Melayu sebenarnya terpalit dengan jauh lebih banyak perkara negatif. Namun, orang-orang bukan Melayu tidak pernah pukul rata seperti mana yang dia lakukan.

Kalau mereka boleh, kenapa dia tak boleh?

“Ah, rasa bersalahnya sebab takut tanpa asas,” Amir tidak habis-habis menzahirkan rasa bersalahnya.

“Tak apa, perasaan takut itu normal. Paranoia increases survival. Otak kita memang secara semulajadi membina hubungan terhadap pelbagai perkara; macam tu lah kita sebagai manusia belajar. Cuma hubungan yang kita belajar tu, boleh jadi betul, boleh jadi salah. Jadi lepas ni, kalau katakanlah Amir terserempak dengan dia lagi, ingat la yang badan dia, tatu dia, dan yang paling penting, bangsa dia, does not validate that he’s a gangster. So you just continue to mind your own business. Kalau dia datang bawak geng, bawak pistol, ha itu barulah ya, dan berlarilah Amir selamatkan diri.”

Amir mahu ketawa, namun dia sudah kepenatan. Hanya senyum melirik yang mampu dia beri.

“Eh bapaknya, dah pukul berapa ni? Jangan seronok berbual sangat, esok Amir nak sekolah tu.”

Serentak Encik Zafran dan Amir berpaling ke belakang. Tangan kiri Puan Mastura mencekak pinggang, tangan kanannya menunjuk ke arah jam dinding. Sudah sejam rupanya Amir duduk di situ.

“Haish, yelah maknya,” ujar Encik Zafran. Dia bangun daripada kerusi tersebut.

Puan Mastura sekadar menggelengkan kepala. Suaminya apabila mula berborak, memang kena ada orang lain yang tolong ‘brekkan’ untuk dia. Mereka berdua menaiki tangga tersebut dan masuk ke bilik masing-masing.

 

Bersambung...

Leave a Reply