Khamis, 5:45 petang
Hampir kesemua pelajar perempuan turun beriadah bebas di padang sekolah pada hari ini. Ada yang bermain bola, ada yang bermain dengan peralatan yang lain, ada yang berjoging, ada yang bermain dalam kumpulan.
Laila, Farah dan Husna sekadar berjalan mengelilingi padang tersebut. Mereka bertiga antara para pelajar perempuan yang lebih gemar untuk memerhati semasa waktu riadah berbanding bersenam. Sambil mereka berjalan, sambil mereka menegur mesra para pelajar yang lain.
Dalam beberapa minit berjalan, Laila terlihat Maisarah. Walaupun membelakanginya, ketua skuadnya itu senang untuk dicam. Maisarah kelihatannya tidak bergerak langsung. Hanya duduk jauh daripada hiruk pikuk pelajar lain, menghadap sawah padi yang terbentang di hadapannya, yang dipisahkan oleh pagar besi berceracak sekolah.
Laila berhenti melangkah, dan memandang Farah dan Husna. Riak risau kelihatan pada wajahnya.
Secara ringkasnya, gerakan perlawanan menentang Cikgu Fahmi yang dirancang terbubar kerana tidak mendapat sokongan yang cukup. Walaupun #MakeSchoolASaferPlace menular, masih ramai pelajar perempuan yang takut untuk bersuara. Pelajar lelaki apatah lagi, kebanyakan mereka hanya menjadi pemerhati.
Namun, daripada peristiwa tersebut, perubahan yang lebih jelas dapat dilihat ialah Maisarah bertambah murung. Dia masih kekal tampak seperti biasa, namun jelas dilihat dia kini lebih kerap mengasingkan diri. Sudah kurang bercakap dengan orang lain. Bahkan, ada beberapa orang melaporkan Maisarah kerap menangis secara sembunyi-sembunyi di ceruk-ceruk sunyi di asrama.
“Korang jalanlah dulu,” ujar Laila.
Farah dan Husna pula kini memandang sesama sendiri. Memang sejak konfontasi mereka di kantin tempoh hari, Farah dan Maisarah sendiri jadi kurang mesra. Farah kekal dengan kebengangannya terhadap Maisarah. Dan bengangnya bukan setakat pada keengganan Maisarah untuk menyertai perlawanan pelajar-pelajar perempuan itu.
Baginya, dengan memilih untuk tidak menyertai pemberontakan itu, Maisarah tidak menggunakan pengaruhnya sebagai ketua, dan sebagai seorang yang rapat dengan Cikgu Fahmi untuk mengubah keadaan. Sedangkan dia mampu. Tetapi Maisarah memilih untuk berdiam diri tanpa sebab, dan itu membakar hati Farah. Baik sebelum mahupun selepas #MakeSchoolASaferPlace tular lagi.
Farah menghela nafas. Tampak lebihnya kepada mengeluh. Namun dia hanya mengangguk memahami, dan mencuit Husna untuk menyambung perjalanan mereka. Mereka berdua berjalan meninggalkan Laila.
Laila menapak ke arah Maisarah, lalu melabuhkan punggungnya bersebelahannya. Maisarah yang sedari tadi termenung pula terkejut, sepertinya tidak menyangka bahawa dia akan ada peneman pada petang itu. Namun tiada sapaan daripadanya. Dia kembali membuang pandangan ke hadapan tanpa berkata apa-apa.
“Kau okey ke?” Laila cuba memulakan perbualan.
“Okey je.”
Seketika mereka berdua senyap, hanya hingar-bingar para pelajar di padang tersebut menjadi suara latar belakang.
“Kau masih marah dengan Farah ke?” Laila cuba memulakan perbualan, sekali lagi.
Maisarah tertawa kecil.
“Persoalannya sekarang, adakah Farah yang masih marah dengan aku lagi?”
“Aish, kita masing-masing kawan kan. Marah-marah macam tu je la,” Laila cuba menyedapkan hati Maisarah, dengan menepuk bahunya.
Maisarah tersenyum tawar.
“I’m sorry it did not turn out well. It’s a good thing that you guys initiated it though. It’ll help a lot of our students.”
“Jadi kenapa kau tak buat?”
Laila kalau ikutkan tidak mahu bertanya. Namun dia juga manusia, rasa ingin tahu sangat tinggi. Kawannya yang lama dikenali, berkarisma dan berkaliber, dan arif benar dengan situasi yang berlaku di sekolah itu. Namun untuk isu ini dia hanya berdiam diri?
Maisarah diam.
Laila mengeluh. Dia menundukkan kepala. Kelihatannya dia takkan dapat jawapan yang diinginkannya. Tak apalah, silap juga dia barangkali tergesa-gesa bertanya. Laila faham yang tak semua benda dia tahu pasal hidup orang lain, buat apa mahu menghakimi.
Maisarah mula bangkit daripada duduk. Fabrik baju di bahagian bawah torso dikibas-kibas, menebarkan kotoran debu tanah.
“Everyone keeps asking me why I don’t help the victims. Not once people have asked me, are you the victim?”
Kata-kata tersebut diluah, namun sepertinya tidak kepada Laila. Lebih berbentuk monolog. Namun tetap cukup kuat, seperti disengajakan untuk didengari Laila juga.
Maisarah berlalu pergi, membiarkan Laila keliru dengan kata-katanya sendiri.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
2 minggu kemudian
Eh, eh, apa tu?
Laila sedang berjalan pulang ke asrama apabila suasana hingar bingar itu berlaku. Dia antara pelajar yang paling lewat pulang hari itu, ada mesyuarat pelajar yang perlu dihadirinya.
Dia terlihat kerumunan para pelajar di belakang sekolah. Pada mulanya dia gusar mahu mendekati. Namun melihatkan hampir separuh daripada kerumunan tersebut ialah rakan-rakannya yang baru juga dia temui sebentar tadi dalam mesyuarat pelajar, dia memberanikan diri juga.
“Kenapa ni?”
“Shh!”
Soalan Laila dijawab dengan riak risau mereka. Laila meneguk air liur, akur mendiamkan diri dan memerhati.
Dia tidak memahami sepenuhnya apa yang berlaku. Apa yang dia lihat, hanyalah dua kereta polis di hadapan bilik guru lelaki. Dan ada juga suara bising-bising datang daripada dalam bilik guru lelaki tersebut. Seketika kemudian, satu pemandangan yang mengejutkan terbentang.
Cikgu Fahmi keluar dari bilik guru tersebut, diiringi dua orang pegawai polis, dengan tangannya yang digari.
Sesaat kemudian, pengetua juga keluar daripada bilik guru tersebut, sekadar memerhati.
“Apa korang buat ni hah? Balik asrama!”
Laila dan kerumunan pelajar tersebut terkejut. Suara guru disiplin yang muncul entah dari mana pula menyergah tiba-tiba. Masing-masing mula berpecah dan melarikan diri. Laila juga tidak terkecuali.
~~~~~~~~~~~~~
“Mai! Mai!”
Laila yang baru tiba di perkarangan asrama, terlihat Maisarah yang baru keluar dari dewan makan.
Muka Maisarah pula berkerut, terkejut apabila namanya dipanggil tiba-tiba. Laila tidak mengendahkannya, dia mencapai tangan Maisarah dan menariknya ke tepi, di tempat yang kurang didengari pelajar lain.
“Hah, apa?”
Laila tidak menjawab. Bukan tidak mahu, tetapi masih belum mampu. Dia baru berhenti berlari dari disergah guru disiplin. Nafasnya masih termengah-mengah. Masih terkejut disergah tiba-tiba. Namun dia lebih-lebih lagi terkejut dengan pemandangan yang dilihatnya sebelum sergahan itu berlaku.
“Kau nak air?” Maisarah tersenyum segaris, menahan tawa seketika. Walaupun dia tidak tahu apa yang membuatkan Laila penat sebegitu rupa, dia tetap terhibur.
Soalan yang diutarakan sekadar jenaka, namun kebetulan Maisarah tiba-tiba bertaut mata dengan Farah yang juga baru keluar dari dewan makan. Matanya menancap botol air di tangan Farah.
“Farah!”
Entah, dia sendiri tak tahu kenapa dia tiba-tiba mahu memanggil kawannya yang barangkali masih berjauh hati dengannya. Namun, mungkin kerana kesunyian, dia melaung, menggunakan Laila yang memerlukan air sebagai alasan.
Kening Farah juga bertaut apabila namanya tiba-tiba dipanggil Maisarah. Sejujurnya, rasa bengang sudah tiada, namun syak wasangka tidak dapat dihilangkan dari hatinya. Namun dia mengatur langkah juga meluru ke arah mereka.
“Bagilah air kau dekat Laila ni, kesian dia, kena kejar hantu agaknya.”
Farah tertawa kecil. Botol air diserahkan kepada Laila. Laila pantas meneguk.
“Kena kejar hantu? Biar betul, siang-siang ni ada ke hantu?” Farah menyambut jenaka Maisarah.
Walaupun syak wasangka masih bersisa, tiada sebab untuk dia tidak berlaku baik kepada Maisarah pada waktu itu. Farah teringat akan leteran yang Laila berikan kepadanya; kita kawan lama mana pun takkan tahu sepenuhnya pemikiran seseorang tu macam mana. Dan bukan kawan namanya kalau kita menghakimi hanya berdasarkan satu tindakannya yang kita tidak faham.
Botol air ditutup. Laila menarik nafas, cuba mengatur nafasnya agar kembali ke kadar yang normal. Namun debar di hatinya tidak dapat dikurangkan, apatah lagi apabila Farah pula tiba-tiba muncul, sedangkan dia bercadang untuk memberitahu Maisarah sahaja.
Tapi dia tahu, lambat laun berita ini akan sampai ke seluruh pengetahuan warga sekolah juga.
Maka dia meluahkan juga, dengan nada separa membisik.
“Aku nampak Cikgu Fahmi dah kena tangkap.”
“What?”
Muka Farah terus berubah. Termenung dia buat seketika.
“Wait… what? How? Kau nampak dekat mana?” Farah mengulang, dan menambah soalannya.
“Tadi aku kan ada mesyuarat. Nak balik, tiba-tiba aku nampak ada orang kerumun bilik guru lelaki. Sekali aku nampak tangan Cikgu Fahmi bergari kena masuk kereta polis. Lepas tu cikgu disiplin datang marah kitaorang. Tu yang semua orang lari macam tak cukup tanah tu, aku pun.”
“But… how? Benda yang kita rancang tu pun tak jadi kan? Kalau ada yang bergerak sendiri pun, semua statement akan masih di peringkat pertuduhan. Macam mana secepat ini pulak boleh– “
“You’re welcome.”
Laila dan Farah serentak memandang Maisarah. Tangannya disilangkan, matanya sekadar memandang dengan pandangan toya. Barulah mereka berdua perasan, Maisarah sebenarnya langsung tidak terkejut dengan berita tersebut. Sepertinya sudah dapat diagak berita itu akan sampai kepadanya.
Maisarah mula mahu mengatur langkah pergi daripada mereka berdua, seperti mahu meneruskan rutin kehidupannya seperti biasa, seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Mai!” Farah memegang pergelangan tangan Maisarah, menghalangnya daripada berlalu pergi. Mulutnya melopong. Tidak percaya dengan situasi yang dialaminya.
“What did you do?”
Tiada kata-kata keluar di bibirnya. Dia hanya tersenyum, dan mengangkat jari telunjuknya ke bibirnya. Maisarah kemudiannya mengalihkan tangan Farah, dan berlalu pergi, dengan muka toya.
Namun muka toya tersebut hanya seketika
Terlindung daripada pandangan mata Laila dan Farah, air mata Maisarah menitis. Namun tiada raungan. Air matanya menitik dengan senyuman.
~~~~~~~~~~~~~~~
Sehari sebelum penangkapan Cikgu Fahmi.
Tuk! Tuk! Tuk!
Puan Zabedah bangun dari kerusi pejabatnya dan berjalan ke arah pintu. Pintu dibuka tetapi tidak luas, hanya sedikit untuk memastikan siapa yang mengetuk pintu itu.
Juwita.
Orang yang ditunggu sudah sampai.
Barulah pintu tersebut dibuka lebar, dan Juwita dijemput masuk. Juwita yang menjimbit fail, terus duduk di hadapan meja pejabat Puan Zabedah, dan meletakkan fail tersebut di atasnya, Bersama-sama dengan banyak lagi helaian kertas yang lain.
Sesiapa sahaja yang memandang meja tersebut pasti akan rasa serabut. Namun dokumen-dokumen tersebut penting.
Puan Zabedah terkenang setahun lepas, apabila beliau menyandang posisi pengetua sekolah Sri Merak. Tidak sampai dua jam selepas majlis perlantikan dengan para pelajar tamat, beliau terus diasak oleh guru-guru penolong kanan mengenai Cikgu Fahmi dan kelakuannya.
Tidak seperti sangkaan kebanyakan pelajar, kebanyakan para guru memandang serius perbuatan tersebut, lebih-lebih lagi guru-guru penolong kanan. Dan guru tersebut sebenarnya sudah banyak kali hampir dikenakan tindakan. Namun, oleh sebab dia pandai menjaga hubungan dengan penyumbang besar dana sekolah tersebut, beliau tidak mempercayai bahawa guru yang baik di hadapan matanya itu melakukan perbuatan sedemikian rupa, dan enggan melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Puan Zabedah sendiri masak dengan situasi ini, sebelum dia naik menjadi pengetua lagi. Oleh kerana itu, dia tahu, bukan mudah untuk menegakkan kebenaran. Strategi kena ada.
Maka, selama setahun dia senyap-senyap mengumpulkan bukti dan testimoni. Dan semua itu perlu dilakukan dengan teliti dan sembunyi-sembunyi, sehinggakan Cikgu Fahmi sendiri tidak boleh syak. Maka, para guru diarahkan untuk berpura-pura untuk tidak terlalu ambil pusing dengan Cikgu Fahmi, bahkan ada yang ditugaskan untuk berpura-pura menyebelahinya.
Bukti demi bukti dikumpulkan. Gadis demi gadis ditemuinya. Namun, mangsa terbesar situasi itu sendiri tidak terjangka.
Maisarah.
Pada tahun lepas, entah bagaimana, keluarga Maisarah yang sebenarnya dalam kesempitan kewangan, menawarkan anak mereka sebagai isteri kedua Cikgu Fahmi dalam rahsia. Perkahwinan tersebut asalnya semestinya ditentang hebat oleh Maisarah sendiri, dan kakaknya Juwita.
Namun, oleh kerana ditekan keluarga sendiri, Maisarah memberi syarat bahawa dia sanggup berkahwin dan merahsiakannya jika Cikgu Fahmi berhenti menganggu para pelajar perempuan yang lain. Sebagai tukaran, Maisarah menghabiskan terlalu banyak masa dengan Cikgu Fahmi di sekolah. Hasilnya, walaupun mata tidak mampu dijinakkan dan mulut tidak mampu ditutup, laporan Cikgu Fahmi mengacau murid perempuan yang lain tiada lagi.
Selama setahun itu juga, Maisarah hidup berbekalkan banyak pil perancang, dan tawakkal kepada Tuhan. Sehabis mungkin dia cuba memastikan tiada yang menyesaki apa-apa yang pelik pada dirinya. Sehabis mungkin dia cuba menjaga diri dia, supaya tidak berlaku apa-apa yang akan menjejaskan kesihatannya dan pelajarannya, dalam dia melalui kemelut tersebut.
Semua ini ditemui oleh Puan Zabedah sendiri apabila dia berjaya menjejaki Juwita. Juwita yang menerangkan segala-galanya.
Maka, Puan Zabedah dan Juwita turut bergerak mengumpul bukti secara diam-diam. Tambahan pula, Juwita menolong menguruskan proses permohonan penceraian daripada mahkamah Syariah; jelasnya berlaku kezaliman dalam kes ini. Dalam proses tersebut, Maisarah juga diminta berdiam diri, menyembunyikan kegiatan mereka daripada Cikgu Fahmi sendiri, dan berpura-pura untuk menyebelahinya. Paling tidak pun, mendiamkan diri sahaja.
Apabila #MakeSchoolASaferPlace tular, Maisarah diasak dari pelbagai sudut untuk bersuara. Dia sedih apabila dia perlu berdiam diri, sekaligus mengundang kemarahan rakan-rakannya yang lain. Namun semua itu ditahannya. Mungkin bagi orang lain, bersuara ialah jalan keluar yang terbaik. Namun Maisarah yang mengetahui strategi di belakang tabir, tahu bahawa berdiam diri baginya ialah jalan yang terbaik.
Namun tak bermakna dia suka.
Tuk! Tuk! Tuk!
Sekali lagi pintu pejabat Puan Zabedah diketuk. Sekali lagi Puan Zabedah menguak pintu.
Orang kedua yang ditunggu sudah sampai.
Maisarah.
Maisarah masuk ke dalam bilik tersebut. Terpampang jelas di matanya pelbagai jenis kertas-kertas berunsur bukti kesnya. Dan yang paling menarik perhatiannya ialah fail yang dibawa oleh kakaknya sebentar tadi. Tidak perlu untuk dia ambil dan selak, sudah terpampang jelas perkataan di hadapan fail itu.
PERMOHONAN LULUS.
Air mata Maisarah mengalir. Juwita terus bangun dari tempat duduknya dan memeluk adiknya.
“Semuanya akan berakhir hari ini.”
Maisarah mengangguk. Dia tersenyum segaris.
Sudah lama dia berdiam diri. Kini, dia tidak perlu lagi.